Wednesday, April 25, 2012

Kembar tiga lahir guna cara IVF


FONG THENG (kiri) dan Keng Long mendukung anak mereka yang dilahirkan menerusi kaedah IVF di Ipoh semalam.


IPOH - Seorang wanita telah melahirkan tiga bayi kembar menerusi rawatan kesuburan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini baru-baru ini.

Kelahiran dua bayi lelaki dan seorang perempuan pada 18 April lalu itu sekali gus menamatkan penantian tujuh tahun Lee Fong Theng, 30, dan suaminya, Chan Keng Long, 33, untuk memperoleh cahaya mata.

Bayi lelaki pertama seberat 2.1 kilogram (kg) dilahirkan wanita itu melalui pembedahan kira-kira pukul 8.46 pagi diikuti bayi perempuan seberat 2.8 kg dan bayi lelaki seberat 2.7 kg masing-masing selang seminit kemudian.

Fong Theng berkata, dia tidak mempunyai tiub fallopio (saluran peranakan) selepas kedua-dua saluran itu yang tersumbat telah dipotong pada 2010 selepas mereka berkahwin selama lima tahun.

"Ketika itu, saya gagal hamil biarpun sudah mencuba pelbagai cara. Pembedahan membuang saluran itu hampir membuatkan kami putus asa untuk memperoleh zuriat sendiri.

"Saya kemudian disaran mencuba rawatan IVF di HRPB pada Mac tahun lalu dan saya disahkan mengandung anak kembar kira-kira enam bulan kemudian," katanya pada sidang akhbar di wad bersalin hospital berkenaan di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: