KUALA SELANGOR – Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) merancang membuka lebih banyak cawangan kedai buku secara francais atau pelesenan pada masa akan datang.
Timbalan Pengerusinya, Muhammad Nasir Hamzah berkata, Karangkraf kini mengintai lokasi terbaik bagi tujuan itu, selepas Kedai Buku Sinar Bestari yang terletak di One Plaza di sini, mendapat sambutan menggalakkan sejak beroperasi tiga bulan lalu.
Menurutnya, buat masa ini, tumpuan lokasi penubuhan premis hanya di sekitar Selangor, sebelum melebarkan sayap ke kawasan lain.“Kedai buku di sini dilengkapi dengan 10,000 judul buku pelbagai genre termasuk agama dan falsafah. Kita berhasrat untuk menambah judul buku antarabangsa supaya kedai buku ini menjadi lengkap di daerah ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kedai Buku Sinar Bestari, di sini, yang disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohd Misri Idris, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azhari Sairin; Presiden Puncakmas Marketing Sdn Bhd yang merupakan syarikat penyedia portal pendidikan Mystar, Mohd Norzuzafre Zulkifle dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor, Mt Saafien Kassim.
Dalam pada itu, Muhammad Nasir menyifatkan perasmian kedai buku itu sebagai satu majlis bersejarah buat Karangkraf kerana pertama kali menceburi bidang peruncitan, setelah menerbitkan 27 majalah dan sebuah akhbar, sejak ditubuhkan hampir 34 tahun lalu.
“Kuala Selangor dipilih menjadi lokasi pertama kerana hasil kajian yang dijalankan, terdapat 28,000 penduduk di sini dan mereka mempunyai pendapatan stabil yang mempunyai kuasa beli,” katanya.
Mengulas mengenai buku terbitan Karangkraf, Muhammad Nasir berkata, ia menepati kehendak semua lapisan masyarakat dan peringkat umur.
Sementara itu, Mohd Misri dalam ucapannya menyokong kewujudan kedai buku itu yang digelar sebagai ‘gudang ilmu’ di daerah ini.
“Lokasinya agak strategik kerana terletak bersebelahan dengan tempat komersial, tetapi agak jauh ke belakang yang mungkin sukar untuk dilihat orang lain.
“Mungkin Karangkraf boleh berbincang dengan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) selepas ini bagaimana untuk memberitahu tentang kewujudan kedai ini,” katanya.
Pada majlis itu, Muhammad Nasir turut menyerahkan sumbangan bahan bacaan dan alat tulis kepada 1,060 pelajar terpilih serta buku untuk pusat sumber kepada 80 sekolah terpilih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: