JITRA - Seorang ibu bersyukur kerana penderitaan anaknya, Mohd. Alif Haikal Juhari yang mengalami penyakit kulit ekzema psoriasis sejak masih bayi sudah berakhir dengan keadaan kanak-kanak itu kini semakin sembuh.
Menurut Noor Hasimah Mahmud, 40, anaknya itu menjalani rawatan kulit selama 18 hari pada Januari lalu menerusi bantuan seorang pengamal perubatan tradisional dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
"Rawatan itu dilakukan menerusi kaedah sapuan air campuran pelbagai herba ke atas kulit Mohd. Alif," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gajah Putih, Padang Sera di sini semalam.
Kosmo! pada 23 Januari lalu menyiarkan kisah Mohd. Alif, 6, yang menderita penyakit kulit ekzema psoriasis sejak berusia enam bulan walaupun keluarganya telah melakukan pelbagai usaha untuk memulihkannya.
Penderitaan kanak-kanak itu turut menarik perhatian Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang menyumbangkan RM5,000 akhir Januari lalu bagi membantu proses pemulihan kanak-kanak tersebut.
Menurut Noor Hasimah, nasib malang anaknya itu mendapat perhatian pengamal perubatan tradisional itu yang datang melawat mereka dan seterusnya merawat Mohd. Alif Haikal dengan menggunakan cecair mengandungi pelbagai jenis herba termasuk dari Asia Barat.
Katanya, ubat cecair yang digunakan itu adalah hasil kajian pengamal perubatan itu selama 10 tahun.
Hasil rawatan itu, Mohd. Alif kini lebih yakin untuk bergaul berbanding sebelum ini dia agak malu dengan keadaan kulit yang menggelupas.
"Badan anak saya tidak lagi gatal pada waktu malam, malah bulu roma juga sudah tumbuh di tempat yang sebelum ini dijangkiti sakit kulit," katanya.
Ibu kepada enam orang anak itu amat berterima kasih kepada pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib anaknya menerusi sumbangan berupa ubatan tambahan dan wang tunai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: