|
APABILA melihat kenderaan berpusu-pusu masuk ke bangunan pusat beli-belah IOI Mall di Jalan Puchong, Selangor, Suresh Kumar Palaniaaappan tidak sangka ia berpunca daripada hari jualan kad setia Jusco AEON di bangunan itu. Selepas tersekat dalam kesesakan kira-kira tiga jam, sekembalinya dia di rumah, Suresh nekad mahu mendapatkan sekeping kad setia itu.
Pengalaman yang berlaku enam tahun lalu itu menyebabkan joki radio Time Highway Radio (THR) Raaga (aliran bahasa Tamil) itu mahu memiliki kad setia kerana dia sedar, apabila anda setia, anda dihargai.
Fenomena kad setia di Malaysia bermula sejak lebih sedekad yang lalu. Antara yang terawal ialah BonusLink. Kad tersebut memberi peluang kepada pelanggan mendapat mata ganjaran apabila berbelanja di pusat-pusat beli-belah tertentu. Layanan, penghargaan dan sambutan yang diberikan oleh kad setia ini terus mengembangkan pengaruhnya. Pada hari ini, hampir sebahagian besar pusat beli-belah, restoran, kafe, pusat kesihatan, pusat dan produk kecantikan, hotel dan lain-lain menawarkan kad setia secara solo atau berkumpulan.
"Apabila memikirkan mata ganjaran yang terkumpul, anda akan berasa lega. Berbelanja pun, ada kebaikannya. Mata ganjaran terkumpul ini boleh diguna semula untuk menebus barang atau tunai belian. Ini satu amalan yang hebat," kata Suresh yang memiliki lebih 10 kad setia di dalam dompetnya.
Menghargai pelanggan
Sebagai personaliti umum, Suresh tidak dapat mengelakkan dirinya daripada berbelanja khususnya untuk pakaian dan aksesori, namun bercakap mengenai sikap berbelanja, lelaki muda itu mempunyai minat tersendiri.
"Ketika masih belajar, saya menggemari gajet dan selalu membeli aksesori komputer, radio, perakam dan permainan video. Ketika itu, tidak ada kedai yang menawarkan kad setia sehinggalah suatu hari ketika saya berbelanja di sebuah kedai komputer.
"Di kedai itulah, buat pertama kalinya saya ditawarkan kad setia, lalu saya terpengaruh dan membelanjakan sebanyak RM6,000 selepas dijanjikan diskaun sehingga 30 peratus," ujar lelaki yang berumur lewat 20-an itu.
Walaupun selepas insiden itu dia dipengaruhi elemen hadiah dan mata ganjaran, namun dia tidak menyalah guna atau terlebih belanja.
Lebih menarik, bapa Suresh juga seorang pengguna tegar kad setia jenama petrol Mobil. "Pernah sekali ketika pulang dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur, walaupun petrol hampir kosong, bapa enggan mengisi minyak di stesen petrol lain. Beliau menggunakan jalan kampung semata-mata untuk mencari stesen Mobil kerana mahu mengumpul mata ganjaran," katanya sambil menggeleng kepala.
Kesetiaan terhadap kad setia dilihat sebagai satu ikatan bagi sesetengah pengguna.
Menurut Pembantu Pengurus Program One Card, 1 Utama, Bandar Utama City Center Sdn. Bhd., Miki Ong, tujuan utama sesebuah pusat beli-belah atau syarikat menawarkan kad setia adalah untuk menghargai dan memberi ganjaran terhadap amalan perbelanjaan yang berterusan.
Diperkenalkan pada tahun 2007, kad Onecard yang mencapai 200,000 keahlian menawarkan pelbagai kemudahan dari segi ganjaran membeli-belah dan kemudahan.
"Kad kami tidak hanya terhad di pusat beli-belah. Malah, pemilik Onecard boleh mendapat keutamaan untuk memarkir kereta di kawasan Bandar Utama, pusat komersial Centrepoint. Tetapi di dalam pusat beli-belah 1 Utama itu sendiri pun, pengguna boleh menggunakannya untuk pelbagai kemudahan dan membeli-belah," kata Miki.
"Mereka menjana mata ganjaran yang boleh ditukar milik kepada tunai tebusan. Selain itu, mereka diberi keutamaan menyertai kebanyakan majlis dan musim jualan utama di sini. Kami mahu pelanggan menjadi sebahagian daripada keluarga 1Utama apabila memiliki kad ini," kata Miki menambah, kad setia bagi kanak-kanak berusia hingga 13 tahun turut diperkenal 1 Utama.
Pengenalan kad setia oleh sesebuah syarikat dilihat sebagai pelan insentif yang membenarkan syarikat jualan atau perkhidmatan mengumpul data pelanggan untuk tujuan menyambut kesetiaan mereka melalui mata ganjaran tebusan, hadiah, diskaun dan sebagainya.
Terperangkap
Seperti kata Miki, secara psikologinya kad setia bertujuan menarik pelanggan untuk membeli-belah di tempat yang sama kerana terikat dengan mata ganjaran. Bagi seorang pelajar kolej dari Petaling Jaya yang hanya mahu dikenali Harith Ikhsan, 20, kad setia baginya hanyalah satu lagi strategi untuk pelanggan berbelanja lebih.
Berdasarkan pengalamannya, Harith yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang pemasaran di sebuah universiti di Shah Alam mengakui, dirinya seringkali terperangkap dengan helah kad setia.
"Mungkin kerana saya tertarik apabila ada barangan berjenama, khususnya pakaian dan aksesori. Ditambah pula dengan tawaran kad setia, seperti diskaun tambahan untuk pemegang kad. Ia terus menarik minat saya untuk berbelanja lebih. Akhirnya, saya terpaksa berdepan dengan bil kad kredit terlebih guna," kata Harith yang menggunakan kad kredit suplimentari bapanya.
Atas sebab terlalu obses dengan tawaran kad setia, Harith juga terpaksa membatalkan kad kredit itu kerana tidak mahu berdepan dengan bapanya.
"Walaupun begitu, saya tetap menyimpan dan menggunakannya, tetapi lebih berhati-hati dan terkawal," katanya yang menyimpan kad setia hampir kebanyakan pusat beli-belah terkemuka, pusat makanan dan kad isi petrol.
Kebanyakan individu yang ditemui Kosmo! mendapati, hampir sebahagian besar memiliki sekurang-kurangnya sekeping atau dua keping kad setia. Senario ini sekali gus menunjukkan populariti terhadap kad setia berkembang dan menjadi trend.
Bagi Pembantu Pengurus Pemasaran di sebuah syarikat di Kuala Lumpur, Zulkifli Jafar, 31, menggunakan kad setia BCard oleh Berjaya Group.
Bekerja di bangunan pusat beli-belah, Zulkifli tidak mempunyai pilihan selain makan di mana-mana restoran atau kafe di situ. "Jadi saya memilih mendapatkan BCard dan membeli makanan di outlet yang boleh memberikan pulangan dalam bentuk mata ganjaran yang boleh ditebus kelak," katanya ketika ditemui.
Menggunakan kad setia BCard sejak tujuh bulan lalu, Zulkifli sudah beberapa kali menebus mata ganjaran kerana tawarannya yang meluas. Kad tersebut katanya, boleh digunakan di lebih 250 outlet di seluruh negara dan tidak terhad untuk membeli makanan sahaja.
"Apabila ia tiada had, saya rasa lebih berbaloi berbanding sesetengah kad setia yang hanya boleh digunakan di satu-satu outlet sahaja. Lagipun, dengan BCard, pada masa-masa tertentu anda boleh memperoleh tiga kali ganda mata ganjaran," katanya.
Kumpul keahlian
|
|
Pandangan Zulkifli diakui oleh Pengurus Acara dan Jualan, Berjaya Roasters, Kennie Thong ketika ditemui di outlet Kenny Rogers Roasters di Berjaya Times Square. Menurut Kennie, BCard yang diperkenalkan dua tahun lalu telah pun mengumpul keahlian sebanyak 280,000 pengguna.
"Ini membuktikan betapa kad setia berpengaruh dalam setiap sen dan ringgit yang dibelanjakan. Bcard, bukan sekadar item makanan, minuman atau membeli-belah. Ia menawarkan penyertaan dari semua rangkaian termasuklah golf, automotif, hartanah dan banyak lagi dari Kumpulan Berjaya."
Menjadi sebahagian daripada produk pemasaran, kad setia turut diperkenal oleh pemasar pasaran khusus, YTL Platinum Plus (YTL PP) oleh YTL Corporation. Menempatkan pejabat YTL PP Lounge di tingkat Relish di pusat beli-belah Starhill Galery, Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam, Yulia Dolmatova memberitahu, sebagai kad setia untuk pasaran khusus, pihaknya terikat dengan pulangan ganjaran yang bertaraf khusus.
"Kami menawarkan pelanggan setia dengan kad YTL PP menikmati pengalaman mewah. Setiap kali mereka menggunakan kad misalnya di restoran, ia akan direkodkan. Melaluinya kami dapat mengetahui cita rasa mereka dan menyambut pelanggan dengan makanan kegemaran pada masa akan datang sebagai salah satu ganjaran kami," kata Yulia.
YTL PP yang diperkenal pada tahun 2006 dengan yuran keahlian RM50 setahun juga menawarkan ganjaran berbentuk mengumpul mata ganjaran atau diskaun tambahan sama ada di restoran, outlet beli-belah dan pembelian hartanah dan penginapan. Namun, Yulia akui, YTL PP memiliki kelainan kerana pesertanya terdiri daripada golongan kelas mewah.
"Pelanggan dapat menikmati prebiu produk misalnya. Produk-produk ini pastinya yang berjenama dan mewah. Contohnya, penginapan di resort kami, antara tebusan mata ganjaran yang popular. Dengan hanya 7,000 mata ganjaran (RM1 untuk satu mata ganjaran), mereka boleh menebus untuk tinggal di mana-mana daripada tujuh buah resort YTL," kata Yulia memberi contoh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: