Thursday, April 5, 2012

Faizal lepas geram

Faizal Tahir
Faizal Tahir
Cuba sentuh hati peminat dengan Mahakarya Cinta pada malam kemuncak ABPBH2011

JIKA bukan kerana digantung daripada membuat persembahan secara langsung garagara insiden membuka baju, pastinya malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-22 menjadi acara penuh bermakna buat Faizal Tahir apabila dapat menyanyikan sendiri lagu Mahakarya Cinta ciptaan Audi Mok itu. Namun, hukuman itu membuatkan Faizal hanya mampu melihat lagunya itu dinyanyikan Bob AF dari jauh. Meskipun dalam hatinya terselit perasaan ralat dan kecewa yang teramat sangat, namun dia reda dengan apa yang berlaku.Dalam diam dia menanam impian untuk menyanyikan lagu itu di atas pentas yang sama prestijnya dengan Anugerah Juara Lagu.

Ternyata doa bapa kepada empat cahaya mata ini dimakbul akhirnya.

Sewaktu ditanya pengarah muzik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Datuk Ramli MS mengenai lagu yang ingin disampaikannya malam itu, dengan pantas Faizal memberikan judul lagu itu kepada Ramli.

“Saya memilih untuk menyanyikan lagu itu kerana saya geram apabila gagal membawakannya pada AJL ke-22.
Justeru apabila abang Ramli bertanya lagu yang ingin saya nyanyikan malam itu, lantas lagu Mahakarya Cinta menjadi pilihan.

“Sebagai lagu yang berjaya memperkenalkan diri saya dalam bidang seni, saya rasa adalah sesuai untuk saya menyanyikannya pada malam kemuncak ABPBH2011.

Memang sangat teruja dan tidak sabar untuk menyanyikan lagu itu pada Ahad nanti,” kata Faizal ketika ditemui pada majlis pelancaran Bulan Kesihatan Mulut 2012 yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Sirlin, di Bandar Utama, semalam.

Faizal bersama tiga anaknya itu Ahmad Mikaeel Zidane, Siti Raudhah Nur Iman dan Ahmad Rifa’ie Zidane dipilih sebagai jurucakap kepada kempen yang dijalankan selama sebulan itu.

Memandangkan itulah kali pertama Faizal menyampaikan lagu terbabit di sebuah pentas yang cukup gah dan menjadi tumpuan ramai, pastinya ada sesuatu yang istimewa menanti peminat yang menyaksikan secara langsung acara yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands itu.

“Ramai tahu saya memang seorang yang suka membuat persembahan berkonsep. Walaupun persembahan ABPBH bukan membabitkan pertandingan, namun itu tidak bermakna saya buat secara ala kadar. Bagi saya, sama ada AJL, ABPBH dan juga Anugerah Industri Muzik, jika saya terbabit dalam persembahannya, saya akan tetap memberikan yang terbaik.

“Pada malam kemuncak nanti, saya akan membuat persembahan yang mampu menyentuh hati penonton,” katanya.

Sempena ABPBH edisi jubli perak ini, Faizal turut dicalonkan sebagai finalis kategori Penyanyi LelakiPopular, bersaing dengan Anuar Zain, Hafiz, Aizat dan Black. Sebagaipenyandang kategori itu tahun lalu, mampukah dia mempertahankan gelaran berkenaan untuk kesekian kalinya?

“Bagi saya, populariti artis ada turun naiknya. Jika tahun lalu populariti saya berada pada kedudukan 100 peratus, tahun ini saya rasakan ia menurun menjadi 70 hingga 80 peratus. Puncanya, tidak banyak produk saya diketengahkan tahun lalu. Pilihan saya untuk tahun ini ialah Anuar Zain dan Hafiz.

“Anuar mempunyai kekuatan tersendiri. Walaupun dia jarang keluar TV, tapi popularitinya tetap kekal. Hafiz pula popular dek kemenangannya meraih dua anugerah pada AJL awal tahun ini,” ujarnya yang bakal muncul dengan album terbaru Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: