PETALING JAYA: Kegagalan single lagu pertama, Mulut Longkang ternyata tidak menjatuhkan semangat penyanyi baru, Brenda, 18, apabila dia tetap meneruskan usahanya untuk muncul dengan single kedua berjudul Manusia Biasa.
Brenda berkata, walaupun kecewa Mulut Longkang kurang mendapat sambutan, namun dia mengambilnya sebagai perkara positif untuk memperbaiki kelemahan diri.
"Saya percaya setiap 'produk' yang gagal pasti ada kelemahannya sehingga ia kurang mendapat perhatian ramai.
"Mungkin judul lagu Mulut Longkang, kasar bunyinya, membuatkan orang ramai memberi satu persepsi negatif tentang lagu ini sedangkan ia sarat dengan mesej berguna.
"Bagaimanapun, tanpa membuang masa, saya buktikan kemampuan diri menerusi lagu Manusia Biasa," katanya.
Tambah Brenda, hal tersebut membuatkan dia mula berhati-hati dalam memilih sesebuah lagu tidak kiralah daripada segi lirik dan tajuk.
Manusia Biasa merupakan lagu asal daripada penyanyi seberang, Yovie dan Nuno yang telah pun disusun semula untuk dinyanyikan balik oleh Brenda.
"Lagu ini sangat istimewa buat saya tambah pula setelah ia disusun semula dandiberi nafas baru, orang lain pasti tidak sedar bahawa Yuvie dan Nuno merupakan penyanyi asal lagu ini.
"Harap-harap karya ini dapat menarik perhatian ramai. Bagaimanapun, saya sudah pun bersedia dengan kritikan orang terhadap lagu tersebut," ujarnya yang akan menghasilkan album tidak lama lagi.
Ditanya adakah dia sudah dapat merasakan cabarannya dalam ingin membina tapak karier nyanyian yang kukuh, Brenda berkata, hal tersebut sudah mula dirasai sejak kemunculan lagu Mulut Longkang lagi pada pertengahan tahun lalu.
"Tidak apa, untuk menjadi seorang yang berjaya, seseorang itu haruslah menempuh dugaannya dahulu. Cuma saya harap ia tidak diganggu dengan kontroversi yang kurang menyenangkan," ujarnya ringkas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: