Dia menganggap peluang menjadi pengacara program TV memang bidang yang diimpikan selama ini dan menyifatkan ia sebagai kerjaya lebih terjamin berbanding lakonan.
“Apatah lagi apabila saya ditawarkan menjadi pengacara sebuah program TV yang sudah mantap dan dikenali, memang saya terima dengan gembira. Bukan setakat itu, saya juga bersyukur sebab baru saja menerima satu lagi tawaran sebagai hos, namun belum boleh diperkatakan mengenai perkara tersebut.
Saya akui sasaran saya adalah untuk berjaya dalam bidang pengacaraan.
“Melihat kepada bidang lakonan pula, saya tidak mengambil banyak tawaran berlakon drama. Lihat saja tahun ini, tidak banyak drama saya disiarkan di televisyen. Saya juga menyasarkan hanya satu atau dua drama dalam setahun,” katanya kepada Hip.
Namun, Neelofa menjelaskan ia bukanlah bermaksud dia memilih watak, tetapi memang diakui agak memilih dari segi jalan cerita yang bagus.
“Saya tidak kisah dengan watak apa sekalipun yang diberikan, tetapi jalan cerita sesuatu drama itu perlulah bagus untuk menarik minat saya berlakon.
“Tahun ini saya hanya menjayakan dua drama saja, yang mana satunya adalah arahan Erma Fatima berjudul Kau Yang Terindah dan aktiviti penggambaran akan dimulakan pada bulan depan.
“Satu lagi drama saya akan ditayangkan pada September nanti, tapi tawaran itu masih dalam pertimbangan,” katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran telefilem Nyanyian Sakaratul Maut,” katanya.
Bukan saja bergelar pelakon merangkap pengacara, anak jati Kelantan ini juga berminat dalam dunia perniagaan.
Sebelum ini kisah kreativitinya menghasilkan kasut tumit tinggi ligat diperkatakan, malah pernah menghasilkan sepatu untuk perkahwinan Ezlynn.
Bukan sekadar meletakkan ideanya itu di bawah satu jenama, Neelofa Heels, Lofa juga bakal keluar dengan produk kesihatan dan kecantikan di bawah syarikatnya sendiri pada bulan hadapan. Ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi portfolionya sebagai usahawan wanita.
Adakah beralih minat ini disebabkan rasa kecewa kerana harapannya untuk meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011) pada 8 April lalu?
Neelofa menegaskan dia tidak mahu mempersoalkan keputusan yang sudah dibuat oleh peminat tetapi memang terkejut dengan kemenangan Tasha Shila kerana jangkaannya ialah penyanyi muda berbakat besar, Najwa Latif.
“Memang agak mengejutkan.
Kerana saya sangka yang menang Najwa Latif. Tapi memang kita akui Tasha, pelakon yang banyak membintangi drama dan sering muncul di kaca TV.
“Lagi pun, ini memang sudah rezeki Tasha, bukan saja atau Najwa, Izara Aishah atau Nur Fathia yang sama-sama dicalonkan dalam satu kategori,” kata Neelofa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: