MASYARAKAT pelbagai agama dan budaya di dunia mempunyai cara berbeza untuk menyemadikan mayat. Pada zaman Mesir kuno, mereka mengamalkan kaedah pemumiaan bagi melindungi mayat daripada reput.
Orang Islam dituntut mengkebumikan jenazah manakala masyarakat Hindu dan Buddha ramai yang memilih untuk membakar mayat.
Namun, di sebalik penggunaan insinerator elektrik, masih ada penganut Hindu di Malaysia yang memilih kaedah pembakaran mayat secara tradisional iaitu menggunakan kayu api.
Salah seorang pengusaha tempat pembakaran mayat tradisional di negara ini ialah S. Balasubramaniam, 49.
Semasa ditemui di premisnya di Perkuburan India Wilayah Persekutuan di Sentul, Kuala Lumpur, Bala sedang sibuk menyusun kayu api secara bertingkat.
Wanita
“Ada satu mayat yang perlu saya uruskan hari ini. Mendiang ialah rakan sekelas saya suatu ketika dahulu,” kata Bala yang mewarisi perniagaan itu daripada bapa dan datuknya.
“Saya membantu bapa membakar mayat sejak usia 17 tahun lagi. Kerja ini dimulakan dengan menyusun kayu api sehinggalah mayat dibakar sampai menjadi abu. Abu mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada ahli keluarga mendiang,” cerita beliau.
Pada hari itu, Bala dibantu anak perempuan sulungnya, Sashidevi, 22. Dalam masyarakat India, golongan wanita, orang tua dan kanak-kanak jarang dibenarkan terlibat dalam upacara pembakaran mayat.
Ini kerana mereka dikhuatiri akan terjun ke dalam api akibat terlalu sedih dengan pemergian orang tersayang.
Ditanya sama ada beliau pernah meracau akibat diganggu roh mayat terbabit, Sashidevi menggelengkan kepalanya.
“Dahulu kami sekeluarga mendiami kawasan pembakaran mayat ini. Selama empat tahun tinggal di sini, tiada kejadian penghuni dirasuk,” katanya kepada Jurnal.
Menurut Bala, rumah pembakaran mayat itu dimulakan oleh datuknya sejak tahun 1936 di tapak yang ada sekarang.
“Saya mengambil alih tanggungjawab itu daripada bapa pada tahun 1984 selepas beliau meninggal dunia,” beritahu Bala.
Di tempat pembakaran mayat ini terdapat empat tapak bersimen khas bagi tujuan membakar mayat. Kata Bala, kos untuk membakar satu mayat adalah RM360 sahaja berbanding kaedah moden sekitar RM1,500.
“Membakar mayat menggunakan kayu lebih murah dan menjimatkan berbanding insinerator elektrik,” ujar Bala.
Menurut beliau, tempoh pembakaran mayat juga berbeza. Pembakaran tradisional mengambil masa sehingga empat jam manakala insinerator dua jam sahaja.
Abu
Bercerita mengenai bagaimana mayat itu dibakar, Bala berkata kayu getah atau kayu hutan yang telah dipotong sepanjang satu meter disusun sebanyak empat lapisan di atas lantai simen.
Kemudian, keranda berisi mayat diletakkan di atasnya dalam keadaan penutupnya dibuka. Selepas itu, dua lapis susunan kayu lagi diletakkan di atas keranda tadi.
“Ia disusuli dengan empat batang besi halus dipacak dan diikat di kiri dan kanan keranda supaya mayat tidak terangkat akibat suhu panas,” katanya yang akan membakar mayat dengan menuang minyak diesel ke dalam unggun kayu itu sebelum menyalakan api.
Bala menganggap tidak sukar untuk membezakan abu mayat dengan abu kayu.
“Abu mayat berwarna putih manakala kayu yang terbakar bertukar hitam,” ujar Bala sambil menambah, sebanyak 22 kilogram kayu diperlukan untuk sekali upacara pembakaran mayat.
Difahamkan, kayu getah seberat tiga tan berharga RM660 boleh digunakan selama antara dua hingga tiga bulan. Secara purata, terdapat tiga mayat dibakar dalam seminggu di pusat pembakaran ini.
Selepas semuanya hangus, air susu akan dituang ke atas abu bagi menyejukkan sisa-sisa kebakaran.
“Sebaik sahaja disiram susu, tulang-tulang kecil yang hangus tetapi tidak menjadi abu akan timbul sekali gus memudahkan ia dikutip.
“Abu mayat itu akan dicurahkan ke dalam sungai sesuai dengan kepercayaan Hindu bahawa orang yang telah mati akan bergabung semula dengan alam semula jadi,” ujarnya.
Bukan mayat orang India sahaja yang diuruskan Bala, malah ia turut melibatkan mayat penganut Sikh dan Buddha.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: