Friday, April 27, 2012

Azam Azran dibantu LZS

Azran Che Mat mempamerkan beberapa helai pakaian yang ditempah pelanggan.

Jejak Asnaf

DAHULU saya pernah menempah sehelai baju kepada seorang tukang jahit. Sayangnya, hasil jahitan yang dipersembahkan amat tidak memuaskan hati saya. Bermula dari detik itu, saya fikir saya harus belajar menjahit. Alhamdulillah, kini saya sudah mampu menjahit semua jenis baju."

Demikianlah awalan perkongsian kisah Azran Che Mat, 47, yang menjadi tamu Jejak Asnaf kali ini. Bermukim di Rawang, dia juga merupakan imam rawatib tetap di Masjid al-Ehsaniah, Kampung Melayu Bt. 16, Rawang, Selangor.

Azran merupakan seorang asnaf yang menerima modal dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengusahakan kedai jahitan. Buat masa ini, dia masih menjadikan rumahnya sebagai pusat menerima tempahan orang ramai.

Azran berharap, suatu masa nanti dia mampu membuka sebuah pusat pameran dan juga kedai jahit yang lebih sempurna untuk kemudahan para pelanggannya.

"Jika boleh, saya mahu semua orang di kawasan ini menempah baju dengan saya," ujarnya lagi apabila ditanya cita-citanya.

Sebelum ini, Azran yang sememangnya berasal dari Selangor tidak bekerja tetap demi menjaga kedua orang tuanya yang tidak sihat.

"Ayah saya dahulu sakit agak kronik. Ibu saya juga tidak sihat. Adik-beradik yang lain meminta saya menjaga kedua ibu bapa saya. Maka, saya tidak bekerja tetap dan hanya menjahit pakaian apabila ada tempahan. Itu pun hanya ala kadar sahaja," katanya.

Oleh kerana mengorbankan masa dan tenaganya untuk kedua ibu bapanya, Azran juga lambat mendirikan rumah tangga.

Dalam usia 44 tahun, iaitu pada tahun 2010 baharulah Azran berkahwin. Baru-baru ini, dia baharu sahaja dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

"Sekarang ini, saya masih perlu memantau kesihatan ibu. Ibu disahkan mengidap sakit jantung. Ayah saya pula telah meninggal dunia setahun yang lalu," tambah Azran.

Menurut Azran, sebelum ini beliau pernah bekerja, misalnya membawa lori dan bekerja kilang. Namun itu semua hanyalah bersifat sementara.

Azran juga merupakan graduan dari Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) di Kuala Lumpur. Di IKB, dia mengambil kursus bidang jahitan. Semua itu, gara-gara merasa amat tidak puas hati dengan mutu jahitan seorang tukang yang telah menjahit bajunya sebelum itu.

"Saya menamatkan kursus di IKB pada tahun 2002. Sebelum itu, saya juga pernah berkursus selama setahun di Giat Mara, juga dalam bidang jahitan. Hasilnya, saya mampu menjahit semua jenis baju lelaki, termasuklah jubah. Bagi wanita, saya hanya menerima tempahan baju kurung dan jubah. Saya tidak menerima baju berfesyen untuk wanita, seperti kebaya atau apa sahaja.

"Saya sebenarnya baharu sahaja diterima menjadi asnaf oleh LZS. Itupun setelah LZS mendapati saya tidak mampu bekerja demi menjaga ibu bapa. Alhamdulillah, LZS memberikan saya peluang untuk mengejar azam saya untuk membuka kedai jahit, walaupun hanya di rumah.

"Hakikatnya, dengan wang zakatlah saya kini mampu mempunyai beberapa buah mesin jahit sekarang ini. Terima kasih, kerana LZS telah membelanjakan lebih RM10,000 untuk mesin-mesin ini. Ia banyak membantu kerja-kerja saya," tambahnya.

Menurut Azran, tempahan baju adalah paling banyak sewaktu bulan puasa yakni menjelangnya hari raya. Pada bulan-bulan lain, tempahan hanyalah sekitar 30 helai sebulan.

Azran juga bercadang mencari dan melatih tukang jahit lain demi membantunya menguruskan lebih banyak tempahan.

"Dalam keadaan sekarang ini, dapatlah saya pendapatan dalam lingkungan RM1,000 sebulan." Ujarnya.

Sebelum menamatkan perbualan, Azran sempat mengalungkan ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat.

"Saya berdoa, semoga semua pembayar zakat di negeri ini dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia dan diberkati Allah SWT hidupnya, di dunia dan akhirat," ujarnya.

Nota: Mereka yang berminat menempah pakaian boleh menghubungi Azran di talian 019-6460367.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: