Abby Mandoza bukan picisan

Lambakan artis baru dalam industri bukanlah halangan buat gadis manis, Abby Mandoza, 21, mencuba nasib.

Apatah lagi, dia mempunyai banyak masa dan ruang untuk mengukuhkan nama dalam bidang seni lantaran umurnya yang masih muda.

Jika diimbau kembali sejarah penglibatannya sebagai penyanyi, Abby memiliki kisah yang agak berbeza berbanding rakan seperjuangan lain.

Menurut pemilik nama sebenar Raihana Razali ini, dia terlebih dahulu memulakan kerjayanya seninya di Singapura pada 2009.

“Sewaktu di sana, saya bekerjasama dengan komposer terkenal dari Indonesia, Panji Sakti dan pernah merakamkan sebuah single.

“Bagaimanapun, mungkin ketika itu bukan rezeki untuk saya mencipta nama apabila kehadiran saya kurang dikenali oleh masyarakat Singapura,” katanya.

Namun, itu cerita beberapa tahun lalu dan gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Bagi Abby, pengalaman di Kota Singa tetap menjadi momen berharga buatnya sebagai pendatang baru.

Tidak rapuh semangat, anak kelahiran Kuala Lumpur ini kembali ke tanah air bagi menggilap bintangnya di sini pula dan membuktikan dia bukan antara artis baru yang hadir bagai picisan.

Berlakon sebagai sampingan

Biarpun cuba mengintai peluang nyanyian, Abby tidak menyangka dia terlebih dahulu memperoleh rezeki dalam sebuah lagi cabang seni iaitu lakonan.

Menurut Abby, tiada salahnya dia mencuba kerana secara tidak langsung bidang lakonan dapat menjadi pembuka jalan untuk namanya dikenali.

“Saya mendapat peluang itu menerusi Adik Manja Return kerana kebetulan mengenali salah seorang krew filem itu.

“Rupa-rupanya berlakon pun seronok juga dan sejak itu saya mula menerima pelbagai tawaran lakonan,” katanya.

Antara drama yang dijayakan Abby ialah Takbur Seorang Isteri (TV9), Harry Fotografi (TV9) dan Menantu Tiga Rasa (TV1).

Dalam keseronokannya berlakon, Abby bagaimanapun berkata, dia hanya menjadikan lakonan sebagai sampingan kerana fokus utamanya tetap pada nyanyian.

Perkenal single pertama

Mengenai perancangannya sebagai penyanyi, jelas Abby, dia masih lagi mencari syarikat rakaman sesuai untuk dinaungi.

“Sebagai artis baru, saya tidak mahu terburu-buru menerima tawaran untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.Ini kerana, banyak aspek perlu ditekankan agar kerjaya seni saya berjalan lancar,” katanya.

Bagaimanapun, kata Abby, dia kini dalam proses menghasilkan sebuah single sebagai pengenalan untuk pendengar.

“Setakat ini, saya sudah pun mengumpul material dan sedang mempertimbangkan beberapa lagu untuk dijadikan single pertama.

“Jika tiada halangan, berkemungkinan besar single ini akan dilancarkan secepat mungkin,” katanya yang selesa membawakan genre pop.