PEMINAT sukan lasak atau aktiviti luar seperti sukan bermotor pastinya ingin aksi anda dirakamkan untuk tontonan ahli keluarga dan teman-teman.
Kebiasaannya, mereka yang terlibat dalam sukan seperti paintball, terjunan bebas, basikal gunung mahupun perlumbaan kereta mempunyai rakan lain untuk merakamkan aksi mereka sama ada dalam bentuk foto mahupun video.
Kini terdapat satu lagi kaedah merakam gambar atau video tanpa bantuan sesiapa.
Bahkan, hasil rakaman jauh lebih menarik kerana posisi kamera diletakkan di tempat unik sekali gus merakam gambar dan video dari sudut sukar.
Sungguhpun terdapat teknik menggunakan kamera biasa yang diikat pada badan atau kenderaan, tetapi ada kalanya ia berakhir dengan kerosakan pada kamera itu sendiri.
Ia kemungkinan terjatuh kerana tidak dibina dengan perlindungan untuk aktiviti lasak.
GoPro menawarkan penyelesaian kepada mereka yang inginkan secebis kenangan daripada aktiviti mereka sertai melalui kamera berdefinisi tinggi (HD).
Ia juga tahan lasak dan ditawarkan dengan pilihan beraneka aksesori yang sesuai untuk dipadankan dengan aktiviti ingin dilakukan pengguna.
Dua pilihan model
Didatangkan dengan dua model utama iaitu GoPro HD Hero yang sesuai digunakan oleh golongan amatur, manakala GoPro HD Hero2 untuk golongan profesional.
HD Hero atau lebih popular dengan panggilan HD Hero Original menawarkan beberapa submodel seperti HD Helmet Hero, HD Motorosports Hero, HD Surf Hero, HD Hero Naked dan HD Hero 960.
Mereka yang terlibat dalam sukan lasak yang memerlukan anda memakai topi keledar seperti basikal gunung dan sukan payung terjun boleh memilih HD Helmet Hero.
Ia didatangkan dengan aksesori khusus yang boleh dipasang pada topi keledar. HD Motorsports Hero pula amat sesuai bagi mereka yang gemar aksi sukan bermotor.
Tidak kira anda berkecimpung dalam sukan kereta drag atau gemar menguji jentera motosikal berkuasa tinggi di litar Sepang, Selangor, model itu dibekalkan dengan peranti khas yang membolehkan kamera tersebut dilekatkan dengan selamat pada kenderaan anda.
Air bukanlah penghalang bagi HD Surf Hero untuk mengabadikan kenangan ketika melakukan aktiviti sukan air seperti meluncur air atau selaman skuba.
Hanya pasangkan kamera pada permukaan papan luncur atau di dahi pada bahagian atas topeng muka skuba untuk merakamkan kemahiran meluncur atau aksi anda bersama hidupan bawah laut.
Perbezaan ketara antara HD Hero dengan HD Hero2 ialah dari sudut spesifikasinya. HD Hero didatangkan bersama kamera lima megapiksel, manakala HD Hero2 mempunyai kamera beresolusi 11 megapiksel.
Bagaimanapun, kedua-dua mampu merakam aksi berdefinisi tinggi dengan tempoh rakaman sehingga 2.5 jam. Namun, bagi yang inginkan rakaman lebih panjang, anda boleh memilih menggunakan kad SD berkapasiti 32 gigabait (GB) yang boleh dibeli secara berasingan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: