ALOR GAJAH - Dua beradik terselamat walaupun kereta yang dinaiki mereka terputus dua setelah terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ berhampiran Rembia di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian pukul 9.10 malam itu, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu Soo Yang Shin, 18, dari arah Rembia menghala ke bandar Melaka dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.
"Kereta ini kemudian bertembung pula dengan sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki menyebabkan Proton Iswara itu terputus dua.
"Yang Shin dan adiknya, Soo May Xin, 16, yang duduk di bahagian hadapan bagaimanapun terselamat dengan mengalami kecederaan parah," katanya di sini semalam.
Menurutnya, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Katanya, pemandu kereta jenis Honda Civic berkenaan, Salehuddin Ishak, 42, turut terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: