Tuesday, November 1, 2011

Transformasi betong ubah nasib rakyat


Kilang memproses getah yang dibina di Betong bukan sahaja memudahkan pekebun memasarkan hasil tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.


PERJALANAN menggunakan jalan darat selama lima jam dari bandar raya Kuching ke bandar Betong akhirnya disambut dengan ucapan "Selamat Datang" di pintu gerbang berbentuk parang Ilang dan Terabai (perisai Iban).

Dinaik taraf sebagai Bahagian pada 26 Mac 2002, bandar Betong dipilih sebagai pusat pentadbiran Bahagian. Nama Bahagian Betong telah dipilih mengikut nama bandar pusat pentadbiran itu.

Kawasan pentadbiran bahagian baru itu merangkumi daerah Saratok dan daerah Betong yang diperluaskan sehingga ke daerah Kecil Maludam, yang dahulunya berada di bawah pentadbiran daerah Sri Aman.

Betong sebuah penempatan yang penting dari segi sejarah negeri Sarawak kerana terdapat banyaknya peristiwa penentangan pemerintahan Brooke berlaku di sini.

Tempat dan bangunan bersejarah seperti kubu masih dapat dilihat hingga ke hari ini dan ada yang masih digunakan.

Bukit Sadok yang terkenal dengan peristiwa Pertempuran Bukit Sadok, pernah menyaksikan tiga pertempuran besar di antara Pemerintahan Rajah Brooke dengan Panglima Rentap yang mendapat gelaran Raja Pendalaman pada tahun 1857 hingga tahun 1861.

Timbalan Residen Betong, Pathi Kerni berkata, Bahagian Betong terletak antara tiga batang sungai utama iaitu Batang Lupar, Batang Saribas dan Batang Kelaka meliputi kawasan seluas 4,180 kilometer persegi.

Katanya, dengan jumlah penduduk hampir 94,000 orang Bahagian itu majoritinya dihuni oleh kaum Melayu (51,290), Iban (37,283), Cina (5,084), Bidayuh (225), Melanau (219) manakala selebihnya kaum lain di Sarawak.

"Dari segi ekonomi, aktiviti pertanian, perladangan dan perikanan adalah aktiviti utama di Bahagian Betong, selain berkhidmat dalam sektor kerajaan, swasta serta perniagaan," katanya pada taklimat kepada media sempena program Kembara Media anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata dari segi kemudahan asas hampir 90 peratus kawasan dalam Bahagian ini mempunyai sistem rangkaian jalan raya, bekalan air bersih (77 peratus) dan bekalan elektrik (75 peratus).

Menurutnya, untuk Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) hingga (RMK-10), sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan kerajaan pusat untuk pembangunan Bahagian Betong membabitkan 989 projek manakala kerajaan negeri memperuntukkan RM600 juta untuk 1,104 projek.

Antara pembangunan yang diberikan tumpuan ialah Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) Layar dan RGC Beladin.

Pathi berkata, sebagai langkah untuk meningkatkan lagi pendapatan rakyat di kawasan luar bandar beberapa langkah telah diambil pihak kerajaan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan khasnya dalam pembangunan tanah hak adat bumiputera (NCR).

Antara fokus kerajaan negeri adalah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk memajukan semula sektor penanaman getah secara mini estet di Betong.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 11,000 hektar tanah termasuk dalam kawasan Betong telah ditanam semula dengan getah membabitkan kira-kira 2,600 penanam mini estet getah.

"Hasil getah dikenal pasti boleh membantu rakyat luar bandar di sini untuk meningkatkan pendapatan mereka sekitar RM2,000 sebulan, bergantung kepada pasaran getah semasa," katanya.

Kerajaan dengan kerjasama syarikat dari China iaitu Guangken Rubber (Sarawak) Sdn. Bhd. turut membina sebuah kilang memproses getah di Bahagian ini untuk memudahkan penanam getah di kawasan sekitarnya.

Dengan kontrak selama 25 tahun dengan syarikat berkenaan, nasib penanam getah di kawasan Betong dan sekitarnya akan lebih terjamin.

Peserta skim mini estet getah di Rumah Graji Atas iaitu Inggo anak Luyoh, 58, berkata dengan adanya usaha untuk membangunkan semula industri getah di kawasan Betong, penduduk kini sudah mula merasai nikmatnya.

Katanya, seluas 120 hektar tanah melibatkan tanah NCR di kawasan Padeh Betong telah dibangunkan dengan tanaman getah.

"Dengan adanya pangalaman yang luas syarikat dari China itu dalam industri getah di beberapa negara rantau Asia Tenggara, kami yakin industri itu boleh berkembang dengan lebih baik di Betong," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: