SELAMA hampir tiga tahun, Rossamemegang gelaran Lady J atau dalam bahasa mudahnya janda. Tidak pernah habis cerita yang kurang enak mendampinginya.
Melihatkan statusnya sebagai penyanyi yang memiliki pakej lengkap - cantik dan berharta, maka tidak hairanlah dia sering menjadi mangsa gosip.
Sehinggakan Rossa sendiri bingung akan kebenaran di sebalik setiap gosip yang mengaitkan dirinya.
Namun, sebagai penyanyi yang sudah lebih sedekad berkecimpung dalam dunia seni, Rossa menganggapnya sebagai asam garam yang perlu ditempuhi.
Namun, kata Rossa, dia tidak kisah kalau gosip itu hanya sekadar untuk hiburan dan usikan manja untuknya tetapi dia sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan cerita palsu dan dusta.
Barangkali ada yang tidak tahu, sebelum ini Rossa pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan seorang menteri dari Malaysia sehinggakan Rossa mula dipandang serong oleh golongan atasan.
"Menjadi seorang artis, memang tidak dapat elak daripada menjadi mainan gosip. Saya sendiri pun tidak pernah mengambil serius akan gosip yang keluar tentang diri saya kerana menganggap ia hanyalah sekadar usikan.
"Tetapi jika cerita yang keluar itu adalah berbaur fitnah dan mampu menjejaskan reputasi, saya tidak akan mendiamkan diri. Sudah pasti saya akan bersuara dan menegakkan keadilan serta kebenarannya," jelas Rossa sambil merujuk kepada gosip liar yang pernah mengaitkannya dengan menteri yang disifatkannya tidak lebih daripada seorang teman baik.
Pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani itu ditemui pada satu pertemuan singkat di Restoran Pegaga, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.
Rossa pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain drum kumpulan Padi, Surendro Prasetyo atau Yoyo pada tahun 2004.
Namun, perkahwinan mereka tidak kekal lama apabila pasangan itu bercerai pada tahun 2009. Hasil hubungan mereka dikurniakan dengan seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadhan yang kini sudah berusia lima tahun.
Bukan mudah sebenarnya menjadi orang ternama seperti Rossa kerana gerak-geri dan tingkah-laku diperhatikan ramai.
Sehinggakan di Indonesia, ramai yang menyangka Rossa sudah bernikah dalam diam gara-gara gambarnya memakai kebaya dengan solekan menawan dimuat naik di laman sosial.
"Walhal ketika itu, saya berpakaian sebegitu kerana berada di perkahwinan adik saya di Sumedang, Jawa Barat. Tidak sangka heboh cerita yang mengatakan saya sudah bernikah.
"Agaknya selagi saya belum berkahwin, selagi itulah saya akan sentiasa menjadi buruan gosip. Memang tidak bisa mahu menutup mulut orang daripada berkata-kata," jelasnya dalam derai tawa yang berpanjangan.
Penangan
Hebatnya penangan wanita berusia 33 tahun itu sehinggakan gosip yang membabitkan dirinya bukan hanya melibatkan pria di negara kelahirannya.
Rossa juga pernah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan Indonesia setahun selepas perceraiannya, namun, ia tidak kekal lama.
Bukan itu sahaja, Rossa juga pernah dikaitkan dengan beberapa orang individu di negara ini di mana salah seorang adalah orang kuat stesen televisyen swasta yang cukup popular.
Namun, kata Rossa, cerita itu juga tidak benar dan hubungannya dengan orang kuat itu juga hanyalah sebagai teman industri.
Terbaru, Rossa dikhabarkan sedang menjalinkan hubungan dengan seorang anak hartawan yang dikenali sebagai Fariz.
Gelagat dan bahasa tubuh Rossa dan Fariz sewaktu di Restoran Pegaga pada pertemuan itu bagaikan memberi isyarat kepada pihak media bahawa kedua-duanya sedang melewati musim bahagia kini.
Sesekali mereka bercanda dan berpelukan tanpa selindung walaupun sedang diperhatikan oleh teman media ketika itu.
Baik Rossa mahupun Fariz, masing-masing memberikan jawapan selamat sambil menyatakan hubungan mereka tidak lebih daripada seorang teman.
"Ada kalanya, keramahan saya di salah erti oleh sesetengah pihak. Saya orangnya mudah didekati dan saya juga mudah mendekati sesiapa. Fariz misalnya, dia adalah teman rapat memandangkan saya bersahabat dengan ibu dan bapanya iaitu Datuk Ramli Kalam dan Datin Normila Sulaiman.
"Saya selesa menjalani kehidupan saya hari ini. Bohong kalau saya kata tiada siapa yang cuba mendekati tetapi saya lebih selesa berkawan dengan sesiapa sahaja.
"Apa yang boleh saya katakan, ketika ini saya solo tetapi I'm not available," ulas Rossa sambil ketawa ketika ditanya tentang statusnya sekarang.
Tidak sangka menang
Mengalih bicara kepada kemenangannya pada Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) baru-baru ini, Rossa dengan penuh luhur memberitahu, dia tidak menyangka akan memenangi trofi AIM buat kali ketiga.
Terus mengungguli kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara, Rossa menyangkakan trofi itu akan menjadi milik Maher Zain yang dicalonkan bagi lagu Insha Allah.
"Apabila diberitahu tentang kemenangan itu, saya sendiri terkejut dan untuk itu, saya berterima kasih kepada pihak juri yang terus mempercayai karya dan bakat saya.
"Tiga kali memenangi trofi ini membuatkan saya mahu terus bekerja keras dan memastikan lagu-lagu saya diterima dengan baik oleh pencinta muzik di Malaysia," ujar Rossa yang memenangi kategori berkenaan menerusi lagu Ku Menunggu.
Tahun 2008 menyaksikan Rossa memenangi kategori tersebut untuk lagu Terlalu Cinta dan setahun selepas itu pula bagi lagu popularnya, Ayat-Ayat Cinta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: