Tuesday, November 29, 2011

Tyzo jatuh cinta


Tuah Zoqarnain Idris, Tyzo

Tak kenal maka tak cinta. Begitulah perumpamaan boleh diibaratkan anak muda ini apabila dia mula melibatkan diri dalam bidang penyampaian radio.

Siapa sangka dorongan seorang rakan supaya mencuba bidang tersebut membuahkan kejayaan dalam diri anak jati Ipoh, Perak ini.

Tuah Zoqarnain Idris atau lebih dikenali sebagai Tyzo yang merupakan penyampai stesen radio Suria Fm ini, sebenarnya tidak pernah menyimpan angan-angan untuk bergelar seorang penyampai.

Apatah lagi bidang ini langsung tiada dalam senarai kerjaya pilihannya.

Namun, kini dia bersyukur kerana diberi peluang mencuba kerjaya ini sehingga dia ‘jatuh cinta’ dengan tugasnya sebagai penyampai.

“Secara jujurnya, kerjaya penyampai bukanlah cita-cita saya. Sebelum ini saya pernah dikenali sebagai pelakon dan penyanyi, namun rezeki saya bukan di situ.

“Lagipun bukan mudah untuk mendapat kerja ketika itu. Kebetulan pula, sebuah stesen radio kerajaan ada membuat uji bakat terbuka dan saya menerima cadangan rakan supaya menghadirinya.

“Alhamdulillah, saya diterima bekerja di situ pada 2004. Selepas itu saya mula serius dan yakin kerjaya ini adalah yang terbaik buat saya,” katanya.

Ujarnya, selama tiga tahun menimba pengalaman bersama stesen radio berkenaan, dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan setelah dilamar Suria Fm.

“Saya bermula dengan Suria pada 2007 sehinggalah hari ini. Buat masa sekarang menjadi penyampai adalah nadi hidup saya. Saya gembira kerana percubaan saya berhasil,” katanya dengan gembira.


Selesa ke udara solo

Nyata Tyzo mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian pendengar dan peminat setianya menerusi segmen Malam Suria yang dikendalikan seorang diri.

Biarpun bukan mudah ke udara secara solo, namun jejaka yang mempunyai senyuman menawan ini selesa dengan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

“Sebelum ini saya bergandingan dengan rakan penyampai, Zaff. Bagaimanapun setelah dia ditukarkan ke jawatan lain, saya perlu meneruskan segmen yang ditugaskan sendirian. Agak sukar pada awalnya kerana sudah biasa berdua, tetapi saya terima cabaran ini dengan baik.

“Bagi saya, sama ada berdua mahu pun secara solo, kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing. Sewaktu berdua, jika kita tiba-tiba kehilangan idea, kawan akan membantu. Sebaliknya bila bergerak secara solo, kita perlu menjadi lebih kreatif dan bersedia.

“Secara tidak langsung ia menguji sejauh mana kekuatan penyampai itu,” katanya yang mempunyai slot berbeza setiap malam Isnin hingga Jumaat.

Antara slot bagi malam di Suria Fm termasuklah, Ekspresi Mood, Cer Citer, Karaoke Bilik Tidur dan Malam Jumaat.

Ditanya bagaimana perasaannya mengendalikan pelbagai slot yang berbeza setiap hari, Tyzo berkata, dia tidak pernah berasa berat memikul tugasan tersebut.

“Setiap slot yang dikendalikan mempunyai keistimewaan masing-masing. Bahkan saya senang apabila mempunyai pendengar yang berbeza. Dalam setiap slot ini mereka berpeluang bercerita dan berkongsi masalah dengan saya.

“Jadi, kesempatan ini saya gunakan sebaik mungkin untuk memastikan mereka gembira dan ceria di samping saya. Bagi saya, membuat pendengar tersenyum merupakan pencapaian yang terbaik dalam hidup setiap kali ke udara,” katanya yang popular dengan tagline slot Malam Jumaat, ‘Manja-Manja Je’.


Bersikap pemalu

Apabila bercerita mengenai penyampai radio pasti kita menggambarkan personaliti mereka yang ceria, banyak bercakap dan yakin apabila berhadapan dengan orang lain.

Namun, di sebalik kerjaya dan dirinya, Tyzo mengakui dia sebenarnya pemalu. Walaupun lapan tahun berkecimpung dalam bidang ini, namun sikap pemalunya sukar dikikis.

“Saya memang seorang yang pemalu. Ketika ke udara dan bersama pendengar perasaan malu saya buang jauh-jauh. Waktu kerja saya perlu profesional.

“Adakala ketika ke udara saya juga kedengaran lebih lantang bersuara, tetapi itu bukanlah sifat saya sebenar. Apabila berhadapan dengan orang lain, percakapan saya lebih perlahan, lebih-lebih lagi jika baru mengenali seseorang itu,” akhiri Tyzo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: