Tuesday, November 29, 2011

Twinkle anugerah terbaik saya - Akshay



CINTA Akshay terhadap isterinya, Twinkle tidak pernah goyah walau dia selalu dikelilingi wanita jelita.


TAHUN ini, usia pembabitan Akshay Kumar sebagai aktor Bollywood sudah mencecah 20 tahun. Bercakap tentang perjalanan panjang dalam industri yang bermula dengan filem Saugandh pada tahun 1991 dan terkini pada tahun ke-20 muncul dengan filem Desi Boyz, Akshay memberitahu, dia tidak akan berhenti dari dunia lakonan dalam masa terdekat.

"Apabila menoleh ke belakang dan melihat perjalanan karier saya, rasanya ia sebuah perjalanan yang panjang dan sukar. Sebenarnya sukar untuk saya bertahan dengan lambakan bintang baharu, namun ia menjadi mudah apabila kita berusaha keras. Saya percaya, saya masih mempunyai perjalanan yang jauh lagi dalam industri ini," katanya.

Walau sudah tersohor, Akshay tetap menyifatkan dirinya sebagai seorang lelaki yang sama seperti 20 tahun dahulu. Dia sentiasa memegang nasihat ibunya agar sentiasa merendah diri. Namun dalam seloroh dia berkata: "Yang berubah mungkin saya kini mempunyai cermin mata hitam yang lebih cantik!"

Bercakap mengenai jadual kerjanya, aktor yang mempunyai lima buah filem setiap tahun tanpa gagal ini memberitahu jika mahu dihitung, dia tidak terlalu sibuk dan sering berada di lokasi.

Jelasnya: "Saya akan menghabiskan semua kerja mengikut jadual. Pada hari Sabtu, saya hanya bekerja dari pukul 7 pagi hingga 2 petang dan akan menghabiskan masa dengan keluarga selepas itu. Hari Ahad adalah hari cuti untuk saya. Bulan Jun setiap tahun adalah bulan cuti untuk saya membawa keluarga bercuti. Jadi itulah jadual kerja dan hidup saya."

Malah kata Akshay, kunci utama yang membuat dia terus sukses dalam hidup adalah isterinya, Twinkle Khana. Memberitahu isterinya itu sudah tidak minat untuk berlakon lagi, Twinkle adalah segala-galanya bagi dirinya.

"Anda boleh ambil semua anugerah saya, filem saya atau karier saya dan saya boleh hidup. Saya hanya tak boleh hidup walau sehari tanpa isteri dan anak saya. Saya hanya mahu menghabiskan hidup saya bersama mereka," kata Akshay bersungguh-sungguh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: