Monday, November 28, 2011

Kerusi Panas Corak Pemikiran Progresif


SEPTEMBER 2007 melakar sejarah buat segmen media tempatan apabila muncul pesaing baru dalam industri. Pun begitu, tanpa menggunakan saluran media konvensional, sebuah cabang berita baru diperkenalkan menerusi radio dan bersiaran selama 24 jam - buat julung-julung kalinya di Malaysia.

Bernama Radio24 yang disambut baik sebagai saluran berita dan informasi berterusan kepada rakyat Malaysia sama ada di dalam atau luar negara kemudiannya membawakan pula sebuah segmen baru, Kerusi Panas dalam memperjuangkan cogan kata stesen radio tersebut iaitu Berita Pantas, Info Berterusan.

Ketua Rancangan, Azlan Idris berkata, segmen tersebut merupakan rentetan daripada Apa Kata Anda yang bermula pada awal 2009 untuk membawakan isu-isu semasa untuk diperbincangkan secara ilmiah menerusi respon dan input daripada para pendengar.

“Kerusi Panas membawa segmen itu kepada satu tahap lain. Kami menjemput para pencetus berita itu sendiri untuk mengutarakan isu-isu semasa untuk memperjelaskan situasi sebenar kepada rakyat.

“Kelompok kelas A seperti pakar-pakar dalam pelbagai bidang, pemimpin politik, para pemimpin agensi kerajaan merupakan antara jemputan khas Kerusi Panas,” katanya kepada Mingguan mStar baru-baru ini.

(Dari kiri) Wan Syahrina Wan Ab Rahman, Markus Han dan Azlan Idris penggerak program bual bicara Kerusi Panas.

Menurut Azlan, sehingga kini masih belum ada pihak yang menjayakan program seumpama itu terutama di radio untuk mengupas perkembangan semasa seperti kenaikan harga, dasar politik, konflik sosio-budaya, situasi ekonomi dan banyak lagi isu relevan dan dekat di hati rakyat Malaysia.

Jelas beliau, pemilihan isu dan tetamu yang tepat untuk memperjelaskan sebarang permasalahan adalah penting bukan sahaja untuk meningkatkan rating dan respon baik terhadap saluran berita radio berkenaan, sebaliknya Kerusi Panas merupakan platform terbaru untuk membentuk minda rakyat progresif.

Katanya, evolusi minda positif mula dikesan di kalangan para pendengar Bernama Radio24 apabila lebih ramai menunjukkan corak pemikiran kelas pertama dalam memberi kritikan membina dan pandangan berhubung sesuatu isu terutama pendidikan, kebajikan, sumber tenaga kerja dan perpaduan.

“Peranan kita sebagai media berubah mengikut peredaran semasa. Kami ingin kembali kepada landasan untuk membentuk pemikiran rakyat Malaysia ke arah pemodenan dan kemajuan seiring yang dikecapi negara pada ketika ini.

“Ramai orang bercakap tentang minda kelas pertama malah ia menjadi salah satu agenda kerajaan demi mencapai kemajuan holistik,” jelasnya yang pernah menerima panggilan daripada Utah, Amerika Syarikat (AS) daripada pendengar menerusi ‘audio streaming’.

Apabila disoal mengenai rating, Azlan menjelaskan bahawa rating radio tidak sama seperti televisyen. Justeru, amat sukar untuk mengenal pasti jumlah peningkatan pendengar berbanding penonton sesebuah rancangan di televisyen. Pun begitu, dianggarkan sejumlah kira-kira 200,000 pendengar yang mengikuti saluran radio berkenaan di sekitar Lembah Klang.

Cakupan pendengar dari dalam dan luar negara, katanya, merupakan satu pencapaian penting yang dapat dikesan apabila pihaknya sering menerima panggilan daripada rakyat Malaysia dari Bangkok dan Belgium, antaranya selain AS dan United Kingdom (UK).Ia adalah bukti bahawa pihaknya berjaya menjadi penghubung dan penyalur maklumat semasa berkaitan negara secara terus dari penggubal dasar kepada rakyat tanpa mengira di mana mereka berada.

“Sama ada di dalam atau luar negara, rakyat Malaysia berhak mengetahui apa yang berlaku. Atas sebab sama, kami mahu menghapuskan jurang antara penggubal dasar dan rakyat. Pemimpin harus menerangkan situasi sebenar dan rakyat mempunyai hak untuk bersuara secara matang dan rasional untuk mencapai kata sepakat,” tegasnya.

Azlan juga menegaskan bahawa zaman sekarang tidak lagi menyebelahi satu pihak sahaja dan tidak lagi terhad kepada dua aspek - negatif atau positif. Sebaliknya, masyarakat hari ini mempunyai pelbagai pandangan berbeza berhubung satu isu dan kerumitan itu boleh dijadikan perkembangan baik jika disalurkan dengan betul.

Atas sebab sama, Kerusi Panas melantik para ‘peneraju’ untuk mengendalikan rancangan bual bicara tersebut dan bukan ‘juruhebah’ seperti kelaziman stesen radio lain. Ini bagi meletakkan para peneraju itu dalam kedudukan yang betul untuk mengendalikan kepelbagaian pendapat dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menfaat semua pihak.

Malah keberkesanan Bernama Radio24 dalam melaksanakan tanggung jawab itu mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Seri Angkasa 2010 di mana peneraju, Wan Syahrina Wan Abdul Rahman menerima anugerah Pengacara Berita Radio Terbaik selain Kerusi Panas yang dianugerahkan gelaran Program Bual Bicara Radio Terbaik.

Wan Syahrina berkata, tidak ada soalan atau skrip khusus disediakan untuk para tetamu jemputan, sebaliknya hanya beberapa garis panduan disediakan agar peneraju tidak tersasar dari topik yang diperbincangkan.

Disiplin tersebut, katanya, walaupun sedikit luar biasa namun sehingga kini diterima baik oleh para tetamu meski topik yang diperbincangkan secara langsung pada hari tersebut mengandungi unsur kontroversi atau merupakan isu sensitif untuk diperdebatkan bersama rakyat.

“Tanpa terikat dengan sebarang skrip, saya cuba sehabis mungkin untuk mengelak soalan-soalan terlalu sensitif. Bagaimanapun, kami tidak mampu mengawal apa jua persoalan yang bakal diajukan oleh para pendengar sama ada ‘pedas’ atau tidak, kami harus menerimanya dengan terbuka.

“Pernah beberapa kali kami terpaksa melanjutkan segmen selama setengah jam apabila Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan isu Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor tidak lama dahulu. Kami menerima lebih 50 panggilan dalam satu segmen itu sahaja,” ujarnya.

Bernama Radio24 bersiaran selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu menerusi saluran FM 93.9 atau laman sesawang www.radio24.ada.fm dan www.radio24.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: