Monday, November 28, 2011

Sengsara ibu tunggal Iraq


RAMAI wanita Iraq terpaksa menjadi ibu tunggal dan menyara keluarga selepas kematian suami di medan perang.


HALIMA AD DAKHIL yang kehilangan suaminya akibat serangan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada tahun 2003 kini dilanda kebimbangan kerana mengetahui gaji yang diterimanya sebanyak AS$250 (RM795) sebulan itu tidak mampu membayar sewa rumah dan menanggung perbelanjaan makan minum bersama lima orang anaknya.

Selain itu, beliau yang turut mengambil upah sebagai tukang cuci di sebuah klinik juga bergantung kepada ehsan jiran-jirannya yang menghulurkan bantuan makanan kepada keluarganya.

Menurut Ad Dakhil, ketika suaminya terbunuh pada tahun 2006 anak bongsunya Ridha masih kecil.

"Kini saya mengambil peranan sebagai ibu dan bapa. Saya menyara dan membayar sewa. Kadar sewa memang membebankan saya," ujarnya.

Ad Dakhil berkata, militan telah memancung kepala suaminya bersama abang dan anak saudaranya. Ketika itu, mereka mengembara untuk menjual kereta di Wilayah Diyala.

"Suami saya dibunuh kerana militan puak Sunni menggangap dia merupakan puak Syiah kerana kad pengenalan dia (suami) telah dikeluarkan dari perkampungan Syiah, Bandar Sadr," jelasnya.

Tentera Amerika Syarikat yang telah menduduki Iraq selama sembilan tahun dengan hampir sedekad pemerintahan telah menyebabkan golongan miskin sukar dibantu. Banyak mangsa tercedera, manakala janda-janda pula banyak yang berparut akibat peperangan tersebut.

"Saya berharap peperangan ini tidak berlaku dan suami saya mungkin hidup lagi. Apa salah suami saya?" soalnya.

Berpuluh-puluh ribu askar, polis, pejuang, pemberontak dan orang awam terbunuh dalam peperangan yang meragut lebih daripada 100,000 rakyat Iraq.

Menunggu pampasan

Menteri Hal Ehwal Wanita , Ibtihal Gasid al-Zaidi menganggarkan sebanyak dua juta wanita yang merupakan pencari nafkah di Iraq dan rata-ratanya menjadi janda selepas peperangan yang berlaku pada tahun 2003.

Pada masa yang sama, Kumpulan Kemanusiaan Antarabangsa menganggarkan mungkin terdapat 1.5 juta janda di Iraq yang kini menjadi ketua keluarga selepas kematian suami.

"Kita melihat pada hari ini wanita yang menjadi ketua isi rumah merupakan golongan yang paling lemah di Iraq," jelas Gasid al-Zaidi.

Beliau menambah, kira-kira 7 juta rakyat di Iraq hidup di bawah paras kemiskinan dan lebih daripadanya merupakan golongan wanita.

"Banyak ibu tunggal yang terpaksa berjuang dengan kehidupan yang baharu demi membesarkan anak-anak dengan menggunakan wang yang sedikit.

"Penderitaan wanita semakin besar dalam keadaan yang sukar kerana mereka adalah bapa, ibu, penjaga dan pencari nafkah. Mereka juga menggalas tanggungjawab yang besar baik di dalam rumah mahupun luar. Kami akan cuba membantu seberapa yang boleh," ujarnya.

Ketika pemerintahan Saddam, golongan ibu tunggal perlu membayar faedah secara bulanan dan mereka akan diberi tanah dan kereta yang sekurang-kurangnya dapat membantu mereka. Saddam juga memberi ganjaran kepada anggota tentera yang berkahwin dengan balu.

Kesemua faedah tersebut terhenti apabila Saddam digulingkan.

Diminta beri rasuah

Ketua jawatankuasa sebuah pertubuhan ibu tunggal, Hazem al-Haidari berkata, pada tahun 2009, undang-undang baharu telah diluluskan untuk membantu mangsa-mangsa peperangan.


SEORANG ibu tunggal menyara hidupnya dengan menjahit melalui skim sokongan NGO Ibn Sina.


"Pampasan standard sebanyak RM12,718 diberikan kepada pekerja kerajaan yang terbunuh manakala pekerja bukan kerajaan pula menerima sebanyak RM9,351 beserta dengan tanah dan pencen bulanan.

"Setakat ini, jawatankuasa itu telah menyalurkan RM138 juta dan tanah telah diberikan di beberapa wilayah tetapi tidak lagi di Baghdad," katanya.

Seorang balu akan menerima bayaran sebanyak RM250, manakala kanak-kanak pula RM38 sebulan.

Seorang profesor di Universiti Kufa di Najaf, Hassan al-Zubaidi berkata, wanita Iraq bagaimanapun mendakwa mendaftarkan diri untuk mendapat pencen kerajaan merupakan satu mimpi yang ngeri disebabkan banyak kakitangan yang meminta rasuah untuk menyiapkan kertas kerja.

"Seorang janda berkata dia menghabiskan masa hampir setahun untuk mendaftar dan apabila beliau telah berjaya menyelesaikan proses, pejabat pencen memberitahunya bahawa fail telah hilang. Dia berputus asa.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM1.2 bilion setahun untuk mengurangkan paras kemiskinan kepada 16 peratus menjelang tahun 2014," katanya.

Ad Dakhil yang membesarkan anak-anak di rumah yang berkeluasan 75 meter persegi itu tidak mempunyai kaca di tingkap. Penyejuk udaranya pula rosak menyebabkan mereka hidup dalam kepanasan.

"Anak-anak saya tidur tanpa makan malam. Saya mahu pampasan daripada kerajaan. Saya mahu mereka membina sebuah rumah," katanya.

Di sebuah kem berhampiran perkampungan kumuh Kota Sadr, Iraq, nasib ibu tunggal di situ lebih baik daripada Ad Dakhil.

Ibn Sina yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membantu balu mendapat pekerjaan.

Kumpulan itu telah membeli sebuah mesin jahit dan peti sejuk supaya mereka dapat mencari sumber pendapatan.

Seorang ibu kepada lima orang anak, Kadhmiya Mohammed, 35, berkata, walaupun telah menjual barang-barang yang ada di dalam rumahnya namun, ia tidak memenuhi keperluan keluarganya.

Suaminya telah hilang pada tahun 2005 walaupun dia telah mencarinya di hospital dan penjara namun, semua usaha itu gagal.

Mahkamah telah mengisytiharkan suaminya mati dua tahun yang lalu.

"Suami saya telah pergi tetapi saya mempunyai anak-anak. Siapa yang harus membesarkan mereka? Keadaan kami amat tragis. Untuk berapa lama kami akan kekal seperti ini?" keluhnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: