|
SEINDAH nama dan semanis orangnya, pesona Izara Aishah, 19, mudah mengingatkan khalayak kepada gadis emosional menerusi drama rantaian Keranamu Laila. Begitu juga dengan drama Soffiya yang menghadirkan Izara dalam watak antagonis sehingga karakter itu berjaya menimbulkan kebencian ramai.
Dua naskhah yang sudah menemui penonton pada waktu perdana itu cukup untuk membuktikan bahawa Izara mampu memburu sasaran yang lebih besar. Kurang setahun dalam dunia lakonan, rezekinya mencurah-curah. Biarpun sedikit terkebelakang dari segi populariti, Izara perlahan-lahan mengumpul pengikut bukan atas dasar sensasi murahan.
"Fokus saya sekarang hanyalah tentang diri saya. Tentang lakonan tapi saya mengakui ada satu kelemahan yang tidak mampu saya tangani seorang diri. Saya tidak pandai memilih atau menolak tawaran yang datang ketika ini. Saya jenis yang tidak sampai hati hendak kata 'tidak'. Sebab itulah, saya masih perlukan tunjuk ajar, saya masuk dalam industri dengan tak tahu apa-apa, syukur pengurus saya banyak membantu," kata pelakon yang lahir menerusi pertandingan Dewi Remaja 2010 itu.
Penampilan serta lontaran karakternya juga mula dikritik tetapi sudah ramai yang memuji-muji impak lakonannya. Watak penuh tipu daya, pemarah serta keras kepala seperti sudah sebati benar dengan renungan tajam pelakon berdarah kacukan Melayu-Pakistan itu. Dia kelihatan selesa dalam zon antagonis, satu sisi karakter yang sebenarnya banyak membuka ruang kepada mana-mana pemeran untuk bermain panah emosi.
"Sebelum ini saya banyak berlakon karakter lain, watak komedi dalam Jejaka J, watak baik dalam Kasih Najihah, serta Selumbar Kasih tapi orang kurang perasan.
"Bila buat watak jahat sahaja, baru orang nampak. Jujurnya, saya tidaklah begitu selesa dilabelkan pelakon antagonis. Tapi bila bermain watak antagonis, saya kena banyak bermain dengan ekspresi muka, macam-macam mimik muka, dari situ saya banyak belajar," ujarnya mengaku banyak menerima kritikan saat ditebak tentang intonasi suaranya yang kurang disenangi segelintir penonton.
Rendah diri dan menyifatkan itu antara kelemahan yang sememangnya dirasai, Izara bersifat terbuka mengambil kritikan sebagai asam garam dalam kehidupan seseorang pelakon.
"Saya tahu ada orang kurang puas hati dengan intonasi percakapan saya. Saya sedar semua ini, lagipun saya jenis yang bercakap dengan suara yang perlahan, kalau dalam perbualan seharian, ramai yang kata, sebutan saya kurang jelas dan tidak dapat didengari. Bila masuk set, selalu kena ingatkan diri supaya kena lontarkan suara.
"Lepas tu, ada pula yang kata saya 'telan' perkataan. Sebenarnya, saya tak sedar pun bagaimana ia berlaku tapi dalam situasi tertentu, seseorang pelakon itu kena 'telan' perkataan yang diucapkan atas tuntutan emosi. Mungkin sebab saya bawa watak jahat, orang benci, jadi ada sahaja komen buruk tentang saya," getus sedikit merajuk.
Kelihatan naif dalam setiap bicara namun ada ketegasan yang cuba ditekankan. Ternyata Izara mencari ruang terbaik untuk mengelak disalah erti, sedang belajar meletakkan diri dalam trek populariti yang ada kalanya boleh memakan diri.
"Kalaulah ada kontroversi atau cerita sensasi tentang saya nanti, saya sedang persiapkan diri untuk menerima semua itu dengan bijak. Lagipun, saja bukan jenis orang yang pendiam, kalau marah saya lebih suka berdiam dan pendam dalam hati," ujarnya selamba.
Hati sudah dimiliki
Tidak banyak berselindung atau bermain ayat untuk memaniskan mulut, soal hati peminat lagu Bollywood ini juga bukan lagi satu rahsia. Cuma pintanya, biarlah identiti jejaka yang bukan dari kalangan orang seni itu tidak menjadi bahan tatapan umum.
"Cukuplah dengan pengakuan bahawa saya sudah ada kekasih. Siapa, tak perlulah identitinya didedahkan, lagipun dia bukan artis," ujarnya mengambil jalan selamat.
Cinta sang jejaka sudah kemas bertakhta di hati, jadi apa lagi yang dimahukan pucuk muda yang lengkap pakej jelita dan berbakat itu selain menjejak cita-cita bergelar primadona.
"Memang cita-cita mahu jadi pelakon, saya masuk Dewi Remaja sebab mahu cari ruang untuk masuk ke dunia seni. Saya pilih untuk belajar dalam bidang seni walaupun awalnya ada mendapat tentang daripada keluarga, jadi saya kena buktikan kepada keluarga bahawa saya memang benar-benar serius mahu menjadi pelakon," kata Izara.
Bukan sekadar memasang angan-angan, barangkali atas kerja ikhlas serta komitmen yang ditumpah, namanya semakin menjadi sebutan. Sebuah blog juga pantas melabelkan Izara di kedudukan lima teratas dalam senarai bintang hangat yang sedang menjadi buruan rumah produksi ketika ini.
"Itu pandangan penulis berkenaan dan ia menjadi penghargaan kepada saya. Saya masih terlalu baru dan terlalu panjang perjalanan yang harus ditempuh untuk berdiri sebaris dalam kelompok popular," terima kasih, bisiknya perlahan sebelum beralih ke topik lain.
Bukan pelarian daripada karakter antagonis, si bintang Libra itu bakal memunculkan kelainan yang mungkin sesuatu yang ditunggu-tunggu kepada peminatnya.
Selepas Soffiya mencuri tumpuan, kelibatnya kembali ke lokasi Vanila Coklat, sebuah drama bersiri yang lebih santai berkisarkan percintaan dalam kampus yang penuh warna.
"Kali ini saya bawa watak baik, seorang pelajar cemerlang di sebuah kolej. Karakternya menarik dan saya dipaksa berkahwin dengan pemuda di kolej yang sama sedangkan kami membenci antara satu sama lain.
Dedah keburukan
"Jadi macam-macam helah dilakukan supaya keluarga tahu keburukan masing-masing, malangnya tidak berjaya menghalang perancangan perkahwinan. Kami berpakat untuk berkahwin dan berpura-pura bahagia demi keluarga dan merancang untuk bercerai selepas enam bulan. Dalam tempoh berkenaan kami mula kenal erti kasih dan sayang," cerita Izara tentang drama terbaharu yang memulakan penggambaran sehari lalu.
Bercakap lagi tentang sasaran, nama besar Datuk Siti Nurhaliza dipetik sebagai teladan.
"Saya sangat kagum dengan Siti Nurhaliza, dia fokus dengan satu bidang yang dia cintai iaitu menyanyi dan menyanyi sehingga mendapat gelaran 'Datuk.' Dia masih lagi menyanyi walaupun sudah masuk ke dunia bisnes.
"Bagi saya, fokus itu penting dan saya takkan buat benda lain, menyanyi atau mengacara sebab cinta saya hanya kepada lakonan. Saya suka filem, saya suka perhatikan dan fikir apa ada di sekeliling saya, sampai ada orang kata saya gila. Bagi saya itu salah satu cara untuk dapatkan ilmu lakonan," katanya yang turut memenuhkan dada dengan jurusan persembahan di sebuah kolej swasta di Subang Jaya.
Turut mendefinisikan pelajaran sebenar ialah pengalaman dan ilmu yang ditimba dari lokasi, apa pun itu bukan sebab untuknya mengabaikan pengajian. Anak pertama daripada tiga beradik ini memaklumkan, buat sementara waktu dia terpaksa menangguhkan pengajiannya kerana mahu memberi laluan kepada rezeki lakonan yang sedang bersinar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: