Sunday, November 27, 2011

Apabila kereta bersuara


PEMANDU juga boleh dipantau tahap kecerdasannya oleh sistem kenderaan pintar melalui kamera.


KEBANYAKAN daripada kita mengenali kereta pintar dalam siri televisyen Knight Rider yang dinamakan KITT kerana kebolehannya bercakap dengan pemandu, memandu sendiri, dilengkapi beberapa senjata perlindungan dan sebagainya.

Pemaparan pelbagai kereta futuristik dalam filem atau siri televisyen sememangnya mampu mendorong penyelidikan dan pembangunan oleh syarikat automobil yang bergabung dengan syarikat teknologi untuk merealisasikan impian manusia memiliki kereta pintar.

Kereta pintar, kereta rangkaian atau kereta saling berhubung adalah antara nama-nama yang diberikan kepada kereta masa depan tersebut dan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) pasaran kereta pintar dikenali juga sebagai kereta telematik.

“Dari segi pasaran kereta berhubung, kami melihat peningkatan yang besar,” kata penganalisis automotif kanan dari IHS iSuppli, Mark C. Boyadjis.

Katanya, OEM Monitored meramalkan kenderaan dilengkapi kemudahan telematik akan mencatatkan jualan 4.5 juta tahun ini dengan kebanyakannya dijual di AS dan Eropah Barat, yang menyaksikan pertumbuhan industri sehingga 22.7 juta menjelang 2015.

Bagaimanapun, bagaimanakah rupa atau jenis kenderaan masa depan yang dijangka boleh kita lihat? Antara ciri-ciri yang mungkin diperkenalkan dalam kereta pintar ialah:

Kereta sebagai kad kredit

Jika sekarang kita boleh melalui tol tanpa perlu memberhentikan kereta untuk membuat bayaran kerana menggunakan Smart Tag yang mempunyai kad pintar, dijangka di masa depan kereta akan akan dilengkapi dengan sistem pembayaran wayarles.

Selain membayar tol, kereta anda akan mampu melakukan transaksi pembayaran tempat letak kereta, membeli minyak, membayar kos membaiki kereta dan sebagainya.

Skymeter merupakan salah satu syarikat yang sedang membangunkan teknologi tersebut menggunakan rumusan Sistem Kedudukan Global (GPS) Kewangan yang menukar cara pemandu membayar ketika memandu.

“Dengan GPS Kewangan, pengguna boleh mendapatkan satu bil sahaja di hujung bulan bagi kos-kos berkaitan kereta seperti tol, letak kereta, insurans, bayaran pinjaman, cukai jalan dan juga kos membaiki kereta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Skymeter Corp., Kamal Hassan.

Tempat letak kereta jadi stesen pengecaj

Teknologi Wi-Fi sememangnya akan menjadi pelantar utama kepada platform kereta berhubungan atau kereta rangkaian.

Walaupun Bluetooth sangat baik digunakan untuk kemudahan dalam kereta menyalirkan muzik secara wayarles, teknologi telefon bimbit dan sambungan Internet sangat diperlukan untuk menyambungkan kereta rangkaian.

Ford baru-baru ini meningkatkan sistem Microsoft SYNC berasaskan MyTouch yang dilengkapi dengan Wi-Fi untuk digunakan pada kereta Ford Focus 2012 yang boleh mengakses Internet apabila berada di kawasan hotspot Wi-Fi.

Menurut jurutera pembangunan produk Ford,

Jason Johnson, apabila sesebuah kereta dicaj di tempat meletak kereta, sistem kereta akan dihubungkan ke Internet dan memuat turun perisian terkini untuk kegunaan aplikasi-aplikasi di dalam kereta.

Mengawal kereta dengan suara

Sesebuah kereta rangkaian sudah tentu menggunakan konsol dengan skrin sesentuh yang akan menyukarkan pemandu untuk berinteraksi dengannya ketika memandu. Sehubungan itu, aplikasi arahan menggunakan suara menjadi amat penting untuk sesebuah kereta pintar.

Aplikasi kawalan komputer menggunakan suara sememangnya semakin popular masa kini, terutama digunakan di telefon bimbit yang membolehkan pengguna membuat panggilan dengan hanya menyebut nama rakan yang ingin dihubungi.

Ford telah menggunakan perisian pengenalan suara dalam platform kereta rangkaiannya dan menurut Johnson, perisian ini akan memastikan tangan pemandu di stereng, mata memandang ke hadapan jalan raya tetapi di masa yang sama mengakses aplikasi di kereta.

Contohnya, seseorang tidak lagi perlu mengangkat panggilan telefon atau memilih lagu-lagu kegemaran tetapi hanya perlu menyebut “angkat telefon” untuk menjawab panggilan telefon atau “mainkan lagu Ramli Sarip” untuk mendengar koleksi lagu-lagu penyanyi itu dalam koleksinya.

Aplikasi yang mengawal kereta

Kebolehan mengawal kereta menggunakan telefon bimbit merupakan salah satu ciri kereta masa depan yang sedang dibangunkan masa kini.

BMW, Ford, GM dan Volvo misalnya telah menyepadukan pelbagai aplikasi ke dalam kereta untuk kegunaan membuka/tutup kereta, hidupkan enjin, bunyikan hon dan sistem penggera dari jarak jauh.

Sememangnya, beberapa aplikasi itu telah digunakan masa kini oleh beberapa syarikat penyedia perkhidmatan sistem keselamatan kereta seperti Cobra Connex yang menghubungkan kereta melalui laman web, GPS dan juga talian telefon bimbit.

Selain itu, beberapa syarikat automobil lain juga sedang membangunkan kereta masa depan yang bercirikan rangkaian seperti Brabus yang telah menukarkan Mercedes Benz S600 kepada Brabus iBusiness yang mempunyai pelbagai ciri-ciri multimedia dan kemudahan untuk bekerja walaupun berada dalam kereta.

Kereta itu dilengkapi dengan dua iPad yang mempunyai papan kekunci dan tetikus, iPod touch dan komputer Mac mini. Kereta mewah yang disasarkan untuk ahli perniagaan ini juga menggunakan skrin LCD.

Sementara itu, GM mengumumkan kenderaannya yang menggunakan sistem OnStar akan mempunyai aplikasi Facebook dan sistem suara kepada teks yang akan memudahkan pemandu untuk melakukan arahan suara untuk menaip e-mel, chat, mendengar kenyataan di Facebook yang dibacakan oleh sistem komputer dan sebagainya ketika memandu.

Selain itu, banyak lagi rekaan kereta-kereta konsep yang menggabungkan teknologi rangkaian, Internet, tenaga elektrik dan sebagainya sedang dibangunkan ketika ini yang tentu akan memberi gambaran bagaimanakah bentuk kereta kita di masa depan yang sudah tentu boleh bersuara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: