SUDAH lama mengidam untuk menyaksikan sendiri bagaimana anak jati Miri, Sarawak ini beraksi di pentas bersama gitar yang sentiasa menemani ke mana sahaja.
Seunik namanya, Zee Avi ternyata bukan satu nama asing dalam industri muzik biarpun kelibatnya tidak selalu kita nampak dalam negara.
Ini kerana, minatnya yang suka merantau telah membawa dia untuk berhijrah ke New York, Amerika Syarikat (AS) untuk melebarkan cabang seninya di bawah syarikat Brushfire Records milik pemuzik terkenal, Jack Johnson.
Selepas hampir setahun membawa diri di rantau, pemilik nama Izyan Alirahman, 26, kembali ke Malaysia, membawa buah tangan melalui persembahan showcase di KL Live baru-baru ini.
Bagai punya satu tarikan, lokasi tersebut sentiasa menjadi kesukaan Zee untuk mengadakan persembahan kerana ini merupakan kali kedua wanita ini menakluk ruang persembahan di situ.
Persembahan
Pernah mengadakan persembahan pada Mac 2010, Zee tampil sekali lagi pada tahun ini dengan membawa tema Homecoming.
Persembahan selama sejam setengah itu banyak ‘bercerita’ mengenai lagu-lagu dari kelahiran album Ghostbird yang ternyata mencairkan peminat-peminat yang setia menyokongnya selama ini.
Itu yang apa yang dijanjikan oleh Zee semasa sidang media sehari sebelum malam persembahan diadakan.
Puas juga menggali apa yang ingin ditampilkan olehnya sebagai kelainan. Namun, wanita ini pandai menyimpan rahsia di sebalik senyuman nakalnya di samping minuman kopi yang tidak lepas dari tangan.
Tirai persembahan dibuka dengan Normi, pemain deram kumpulan One Buck Short yang meraih perhatian penonton melalui persembahannya yang santai.
Usai lima buah lagu didendangkan, Normi meninggalkan pentas untuk memberi ruang buat sang puteri dan rakan-rakannya menghiburkan peminat.
Mengenakan gaun malam berwarna biru firus, Zee yang turut dikenali dengan nama KokoKaina memulakan nyanyian merdunya dengan lagu Milestone Moon, 31 Days In June dan Swell Window.
Tiga set lagu ini cukup dekat di hatinya apalagi ia disampaikan dengan penuh elemen tradisional Sarawak yang mana, ia dapat dilihat menerusi penggunaan instrumen sape.
Sambil menari manja, Zee kemudiannya santai menghiburkan penonton dengan lagu Just You And Me, Madness dan single terbarunya, The Book Of Morris Johnson.
Elemen jazz menghuni seluruh dewan dan Zee ternyata bijak menyampaikannya tanpa cacat cela.
Siboh Kitak Nangis merupakan lagu istimewa bagi Zee sementelah ia dinyanyikan dalam dialek bahasa ibundanya.
Naskhah indah
Lantaran itu, mustahil bagi Zee untuk tidak menghiasi atmosfera di malam itu dengan lagu yang sebegitu indah dengan tambahan elemen sensual yang menemani naskhah lagu tersebut.
Ia juga menjadi lagu tempatan pertama yang dimuatkan di dalam album pasaran antarabangsanya yang berbalut penuh dengan warna merah jambu itu.
Hiburan kemudian diteruskan dengan lagu Kantoi yang merupakan lagu wajib buat Zee dalam setiap persembahan yang diadakannya.
Kata Zee, Kantoi memberi kenangan manis buatnya kerana lagu itu telah mengangkat namanya sehingga dia dikenali sekarang.
Malah, dalam mana-mana persembahan yang pernah dilakukannya semasa di luar negara, cerita Zee, rata-rata mat saleh di sana turut menyanyikan lagu tersebut tanpa terlupa menyebut bahasa Melayu yang diselitkan dalam lagu itu.
Tidak dilupa, Bitter Heart dan Honey Bee yang mana kedua-dua lagu tersebut turut mendapat perhatian peminat untuk menyanyi bersama si pujaan hati.
Satu yang anda perlu tahu, Zee juga pandai berbahasa Cina maka, lagu berjudul De yen Ging (Mother’s Eyes) menjadi pilihannya untuk dipersembahkan pada malam itu.
Ia jelas menjadikan Zee seorang penyanyi yang cukup istimewa apalagi dengan bakatnya yang pandai mencipta lagu.
Tirai penutup diserikan dengan lagu Stay In The Clouds dan Roll You Head In The Sun yang memberi kesan buat semua mata yang menatapnya pada malam indah itu.
Ternyata Zee dilihat berjaya membawa tema dengan baik sepanjang malam itu menerusi seleksi lagu-lagunya yang begitu indah.
Tanpa set pentas yang keterlaluan, Zee memukau hampir 2,000 peminatnya yang hadir pada malam itu menerusi identitinya yang penuh kesederhanaan.
Elemen Wow banyak terlihat di sebalik kelebihannya bereskperimen dengan peralatan muzik tidak cuma gitar, tetapi serunai, gendang, ukulele, synthesizer dan juga cello bass.
Gabungan instrumen ini kemudian digubah dan disalurkan dengan pecahan muzik akustik, jazz, folk termasuk genre Island Indie Pop yang sinonim dengan Zee.
Umpama sebutir permata yang berharga, kehadiran Zee di persada seni sebenarnya sangat dialu-alukan dan Homecoming Zee di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi saksi bahawa bakat ini tidak harus dipersiakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: