Tuesday, November 29, 2011

Rakyat Mesir keluar mengundi


ORANG RAMAI membuang undi di sebuah pusat mengundi di Kaherah.


KAHERAH, Mesir - Beribu-ribu orang beratur di luar pusat-pusat mengundi di sini semalam untuk membuang undi dalam pilihan raya Parlimen pertama yang diadakan di Mesir sejak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan pada Februari lalu.

Orang ramai berbaris di beberapa buah pusat mengundi di sini dengan kasut mereka bersalut lumpur selepas hujan turun semalam.

Banyak pusat mengundi lewat dibuka kerana pelbagai masalah pentadbiran termasuk kekurangan kertas undi.

Di sekolah Omar Makram, pusat bandar raya ini, pengundi lelaki dan wanita beratur secara berasingan seawal pukul 8 pagi waktu tempatan untuk mengundi.

"Sebelum ini proses mengundi tidak memberi apa-apa makna kerana suara kami tidak diperlukan," kata seorang wanita, Mona Abdel Moneim yang kali pertama mengundi seumur hidupnya.

Di daerah Zamalek di sini, orang ramai beratur selama beberapa jam. Malah, ada yang membawa kerusi untuk berehat sementara menanti pos mengundi dibuka.

"Saya tidak sihat dan tidak bercadang untuk datang pada mulanya. Namun, apa yang berlaku baru-baru ini menimbulkan semangat untuk saya mengundi. Sudah cukup untuk kami berdiam diri selama 30 tahun," kata seorang wanita berusia 65 tahun, Samira.

Sementara itu, kumpulan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir yang menjadi lokasi pertempuran antara orang ramai dengan polis memilih untuk terus tinggal di dataran itu sehingga pemerintahan tentera ditamatkan.

Beberapa ketua penunjuk perasaan tersebut memberitahu, mereka sangsi pihak tentera akan mengembalikan kuasa kepada rakyat walaupun selepas pilihan raya diadakan.

Setakat tengah hari semalam, proses pilihan raya berjalan dengan aman dan lancar selepas pasukan tentera dan polis dikerah berkawal di sekitar pusat-pusat membuang undi di negara berkenaan.

Pilihan raya kali ini diadakan untuk memilih ahli-ahli Parlimen Mesir.

Sekitar 17 juta daripada 85 juta rakyat Mesir layak mengundi dalam fasa pertama selama dua hari bagi memilih ahli Dewan Rendah Parlimen Mesir yang akan berakhir pada 11 Januari depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: