Monday, November 28, 2011

Elvis Afghan pujaan wanita Kabul


PENYANYI Farhad Darya (tengah) beraksi semasa mengadakan konsert di Kabul pada 24 November lalu.


KABUL, Afghanistan - Digelar Elvis Afghanistan, Farhad Darya mungkin satu-satunya lelaki di negara paling konservatif itu yang dapat membangkitkan gelora wanita sehingga mereka menjerit, melambai dan bersiul semasa menonton kosertnya.

Dalam sebuah negara yang mana hak wanita diabai dan muzik diharamkan oleh Taliban hingga 10 tahun lalu, Darya dianggap sebagai ikon di negara itu.

Populariti penyanyi berkenaan terserlah semasa dia mengadakan konsert yang terhad kepada penonton wanita di sini pada minggu lalu.

Konsert itu berlangsung secara rahsia berikutan kebimbangan ia menjadi sasaran serangan bom kumpulan Taliban.

"Saya sentiasa memberitahu semua orang bahawa dia lelaki idaman saya, dia menyanyi dengan baik, personalitinya cukup menarik, dia hebat," kata seorang pelajar wanita berusia 18 tahun Meetra Alokozay.

Populariti Darya di Afghanistan menyebabkan dia dipilih sebagai Duta Muhibbah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Darya, konsert pada Khamis lalu itu adalah sebahagian kempen memerangi keganasan domestik yang berleluasa di Afghanistan.

"Terdapat masalah besar dalam negara ini. Mereka yang bertanggungjawab dalam politik, kerajaan cuma pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya," kata Darya.

Penyanyi berambut hitam, bermata biru itu masih kacak walaupun usianya kini mencecah 49 tahun.

Dia telah menghasilkan 35 buah album setakat ini dengan kebanyakannya bertemakan politik keamanan.

Lagunya, Kabul Jaan (Kabul yang Dicintai) merupakan lagu pertama dimainkan radio Afghanistan selepas Taliban diusir tentera Amerika Syarikat (AS) dalam tahun 2001.

Elvis Presley ialah antara penyanyi paling popular pada abad ke-20. Lebih 400 juta album penyanyi yang mendapat jolokan Raja Rock&Roll itu dijual di seluruh dunia setakat ini.

Penyanyi dari AS itu meninggal dunia pada 1977.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: