Sunday, November 27, 2011

Harry sasar ‘1 rumah 1 sabun’

KOMITED...kakitangan syarikatnya ketika melakukan promosi besar-besaran di Festival Halal Malaysia, baru-baru ini.
KOMITED...kakitangan syarikatnya ketika melakukan promosi besar-besaran di Festival Halal Malaysia, baru-baru ini.
BINCANG...sentiasa bersama kakitangan untuk berbincang mengenai perkembangan produk.
BINCANG...sentiasa bersama kakitangan untuk berbincang mengenai perkembangan produk.

LELAKI ini sanggup berpanas dan berhujan turun padang untuk melihat kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan pekerjanya ketika bergelar kontraktor elektrik. Peristiwa itu berlaku ketika perniagaannya di puncak.

Namun, dugaan terjadi apabila ekonomi negara mula merudum dan keadaan itu memaksanya menutup perniagaan yang berjalan hampir 10 tahun, tetapi diterimanya dengan hati yang tabah.

Satu demi satu kegagalan terpaksa ditempuhi dan pelbagai masalah mula timbul apabila syarikatnya gagal mendapatkan kontrak yang dibida bersama syarikat lain. Apabila memperoleh kontrak, ada segelintir pihak sukar melunaskan bayaran dan untuk mendapatkan wang itu semula kadangkala mengambil masa beberapa tahun, bahkan ada yang langsung tidak membayarnya.

Akhirnya, syarikat miliknya terus menjunam seiring dengan gelombang ekonomi ketika itu yang tidak memberangsangkan sementara pihak lawan semakin agresif dan mendominasi pihak tertentu lalu mendorongnya menutup perniagaan serta-merta.


Pengalaman pernah makan nasi kosong tanpa lauk-pauk setelah perniagaan gulung tukar adalah sisi sukar yang pernah ditempuh Harry Rasmayahadi, 40, dan pengalaman itu menjadi peringatan penting hingga kini.


Walaupun peristiwa itu sudah beberapa tahun berlalu, saat ‘jatuh terduduk’ dan pada masa sama terpaksa menerima hakikat rumah tangganya mengalami keruntuhan, titik hitam itu sukar dihakis dalam sejarah hidup lelaki ini.

“Apabila mengenangkan saat tidak terduga itu, tanyalah sesiapa saja, yang pasti penanggungan jiwa sungguh berat apabila kita tidak punya segala-galanya. Kita akan kehilangan kawan dan tahu semua orang akan menjauhkan diri.

“Sebagai lelaki dan ayah, insan yang mendorong kekuatan saya ketika itu adalah anak. Oleh kerana saya mempunyai seorang anak perempuan, pasti sukar pada mulanya untuk memulihkan kembali semangat bekerja.

“Apapun, saya harus kuatkan jati diri dan saya tidak mahu melihat anak menerima nasib malang jika saya gagal menunaikan tanggungjawab kerana anak itu amanah Allah.

“Kalau saya tak dapat makan tak mengapa, janji ada sedikit wang untuk dikirim ke kampung kerana anak perempuan dijaga bekas ibu mentua selepas kami bercerai pada 2002.

“Saya sanggup buat apa saja, termasuk kerjaya yang mungkin tidak pernah terfikir sebelum ini iaitu menceburi perniagaan berbentuk jualan langsung berkaitan makanan dan minuman kesihatan yang memerlukan saya ke luar daerah berminggu-minggu lamanya.

“Balik ke Kuala Lumpur semula dengan pelbagai idea atau pelan untuk dikembangkan kepada pelanggan dan dalam masa sama perlu mencari tapak kukuh untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Pada awal pembabitan di bidang jualan langsung dengan sebuah syarikat ternama, dia kurang berkeyakinan kerana bukan mudah untuk meyakinkan orang ramai terhadap produk makanan dan minuman kesihatan dari luar negara, apatah lagi meraih seramai mungkin pelanggan.

Selepas itu, dia juga menceburi bidang kosmetik dengan sebuah syarikat antarabangsa sebagai pegawai pemasaran dan tugasnya banyak berdepan pelanggan untuk kaji selidik terhadap produk.

Tambahan pula, bidang kecantikan yang sinonim dengan kaum Hawa menyukarkan dirinya diterima pelanggan, terutama oleh segelintir wanita.

Bagaimanapun, dengan meletakkan sasaran kerja terbaik dan memperoleh banyak pengalaman, akhirnya dia mendapat ramai kenalan.

Melihat dua perbezaan nyata dengan kerjaya diceburi sebelumnya iaitu banyak melakukan kerja-kerja kontrak di bangunan atau premis tertentu, kini kehidupannya kian berubah.

“Kalau dulu saya tidak menggunakan cara betul dalam penjagaan muka dan perawatan kulit, kini semakin selesa dan rasa betapa penting aspek cantik untuk lelaki dan wanita moden hari ini dengan menjaga wajah sejak remaja lagi.

“Lagi pula, rumusan produk ini adalah untuk semua jantina memandangkan semua orang mahukan keterampilan sentiasa berbeza serta cantik dan sihat itu biarlah seiringan,” katanya.

Pada 2010, sebaik merintis produk berasaskan makanan kesihatan serta kecantikan di syarikat yang dinamakan Zmasha Marketing Resources, lelaki ini semakin gigih bekerja.

Katanya, pengalaman dalam kerjaya sebelum itu menjadi sandaran terbaik untuknya terus bekerja kuat tanpa mengira waktu kerana yang penting dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

Antara pengalaman yang sering dikongsi bersama pelanggan ialah ketika dia bekerja di bawah terik matahari ketika pembinaan bangunan tertentu.

Kini selepas terbabit dengan produk kecantikan, dia sering menjadikan dirinya sebagai contoh atau ‘testimoni’ sambil bercerita mengenai perbandingan kulit wajahnya dulu dengan sekarang.

“Sebagai lelaki, saya tahu bagaimana hendak mengekalkan rasa segar dan penampilan berbeza dengan sebelumnya. Kalau dulu orang ketawa melihat lelaki mencuci muka dengan sabun mahupun ke pusat kecantikan untuk perawatan, kini ia tidak janggal lagi.

“Bahkan, aspek kecantikan harus diberi tumpuan oleh wanita mengikut pandangan lelaki dan saya banyak kongsikan dengan golongan Hawa dalam soal ini. Kalau orang panggil saya dengan gelaran ‘lelaki jongkong emas’, saya tidak kisah kerana yakin penampilan sangat penting.

“Pesanan saya, jangan memandang remeh atau malas untuk menilai mahupun membaca kandungan bahan digunakan dalam produk serta mencari maklumat yang lebih demi mengelak produk memudaratkan,” katanya.

Bercerita lanjut pengalamannya membangunkan empayar perniagaan sejak setahun lalu menerusi Zmasha Marketing Resources, Harry berusaha sebaik mungkin melonjakkan sabun jongkong emas hasil keluaran syarikat sebagai pertaruhan untuk tampil awet muda kepada pengguna.

Dia berhasrat menjulang ‘1 rumah 1 sabun’ sebagai falsafah perniagaan memandangkan emas adalah ‘tempawan’ atau khazanah paling tinggi statusnya dan popularitinya di Perancis serta digunakan dengan meluas dalam kosmetik di negara berkenaan menjadi inspirasi buat Harry.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini lagi, langkah perniagaan dipacunya dengan satu tekad iaitu menjelang 2014 jenamanya terus melonjak merentas sempadan negara. Kini dia berbangga kerana mempunyai rangkaian hingga ke Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura dan Thailand.



PROFIL:

NAMA: Harry Rasmayahadi
JAWATAN: Pengurus Zmasha Marketing Resources
LAHIR: 26 Februari 1971
UMUR: 40 tahun
ASAL: Pasir Gudang, Johor
STATUS: Bapa tunggal
ANAK: Eka Ratnasari (14)

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: