Monday, November 28, 2011

Gastronomi Barat K Club

LAMB shank yang disediakan menggunakan sos lada hitam.


SEKIRANYA anda seorang penggemar menu Barat, pastikan anda tidak melepaskan peluang mencuba barisan sajian yang disediakan Restoran K Club, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Menjadikan daging kambing sebagai taruhan utama, menu seperti lamb shank dan lamb rack akan membuatkan pelanggan berpuas hati dengan tekstur kambing yang diimport dari New Zealand itu.

Bagi mengekalkan kualiti serta jus daging kambing tersebut, ia diperam semalaman atau paling minimum selama empat jam.

Pengurus Bankuet dan Acara K Club, Raja Amy Raja Ismail, 29, memberitahu, sejak pengurusan baharu mengambil alih restoran tersebut pada 1 Oktober lalu, ia kerap menerima tempahan majlis.

"Kita cuba memperkenalkan menu-menu baharu dan keistimewaan kita terletak pada makanan Barat seperti grilled salmon, spageti, kentang lenyek dan lain-lain.


GRILLED SALMON.


"Sos untuk kambing pula kita fokuskan kepada lada hitam dan cendawan di samping menu-menu sajian Thai dan tempatan," jelas Raja Amy yang memberi jaminan bahawa kesemua hidangan di restoran itu adalah halal.

Bermula dengan harga serendah RM10, restoran yang terletak di tingkat dua kelab tersebut mampu memuatkan 200 pelanggan pada satu-satu masa.

Tiga bilik persendirian turut disediakan bagi mereka yang mahukan privasi ketika menjamu selera atau pun mereka yang sedang bertemu pelanggan ketika waktu makan tengah hari.

Mereka yang berminat untuk menjalankan majlis perkahwinan, hari jadi atau apa sahaja acara yang bersesuaian dengan persekitaran restoran itu tersebut amat dialu-alukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: