Tuesday, November 29, 2011

Adegan ranjang Maya, Aaron




MAYA KARIN menjadi gadis kampung? Mungkin ada yang tidak boleh menerima hakikat tersebut memandangkan imej moden cukup sinonim dengan figura jelita itu selama ini.

Namun, novel Ombak Rindu yang kini diadaptasi menjadi sebuah filem, berjaya menzahirkan watak yang sangat berbeza buat Maya.

Buat pertama kalinya Maya memegang watak Izzah, seorang gadis kampung naif dan bertudung yang mana ia sungguh kontra dengan dirinya yang merupakan seorang wanita bandar.

Lontaran jiwanya sebagai Izzah dalam Ombak Rindu juga terkesan sehingga meninggalkan sisa di hati penonton dan disifatkan antara lakonannya yang terbaik sepanjang aktif sebagai pelakon.

Watak Izzah senang benar menambat hati aktres Maya Karin kerana dia telah mengenal dan mengimpikan watak Izzah sekitar tujuh tahun lepas selepas membaca novel nukilan Fauziah Ashari itu.

Justeru, pelawaan oleh pengarah Osman Ali untuknya menjiwai watak Izzah dalam versi filem yang menggunakan judul yang sama, terus diterimanya tanpa berfikir panjang. Tanpa solekan tebal dan harus menjadi orang kampung termasuk mengenakan tudung buat pertama kalinya di layar perak, Maya dengan rela bersetuju untuk menjadi Izzah.

Ternyata, pilihan Maya tepat kerana Osman Ali berjaya membangkitkan sisi lain Maya sebagai aktres yang pernah dilihat sebelum ini.

Pada previu filem Ombak Rindu yang berlangsung di Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, ramai yang mengakui gagal mengawal air mata daripada mengalir deras di pipi.

"Filem ini antara yang mencipta rekod saya dan Aaron sebagai naskhah yang paling banyak membuatkan kami penat menangis. Semua adegan menangis dilakukan secara semula jadi tanpa bantuan air penitis mata.

"Saya sebagai Izzah wanita teraniaya harus kekalkan wajah sedih sepanjang penggambaran, sebab itu kami adakan sesi latihan bersama Elly Suriati selama tiga minggu sebelum penggambaran bermula," ujar Maya.

Suami orang

Maya juga hidup sebagai Izzah dalam tempoh sebelum penggambaran bermula sehinggalah penggambaran selesai. Dia diberi lagu tradisional Terengganu oleh Elly Suriati serta memakai tudung jika keluar ke kedai, untuk menyesuaikan dirinya dengan watak Izzah.

"Saya baca skrip berulang kali dan tertanya-tanya macam mana saya harus lakukan untuk melontarkan jiwa Izzah secara semula jadi tanpa dipaksa.

"Kiranya ini memang lakonan sepenuhnya tanpa ada sebarang aksi lasak. Sebelum ini, kebanyakan filem saya lebih kepada aksi dan kurang lakonan seperti Duyong dan Pontianak Harum Sundal Malam," jelasnya.

Meskipun terdapat adegan intim antara Maya dan Aaron di atas ranjang, dia bagaimanapun enggan adegan itu ditonjolkan atau sebagai bahan jualan sebagai pelaris filem Ombak Rindu.


PENYATUAN Maya dan Aaron untuk filem Ombak Rindu terserlah cukup intim.


"Adegan (ranjang) itu memang perlu ada untuk menggambarkan kasih sayang yang terjalin antara watak Izzah dan Hariz tetapi ia tidak berlebihan.

"Saya tidak mahu orang memperkatakan filem Ombak Rindu semata-mata kerana adegan itu sedangkan setiap jalan cerita yang ditampilkan dalam filem juga penting. Mereka harus datang menonton kerana sebuah naskhah bukan kerana sebuah adegan sahaja," tegasnya yang akan muncul dengan album baharu pada tahun hadapan.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai adegan intim yang menjalani proses penggambaran sekitar dua jam itu, kata Maya, dia sendiri berdebar-debar untuk melakonkannya kerana ia merupakan kali pertama dia melakonkan adegan sedemikian rupa.

"Saya sendiri sudah diberitahu awal tentang kewujudan adegan itu dan ketika hari penggambaran adegan itu saya memang berdebar-debar dan sejam sebelum itu saya rasa pelik kerana saya tidak pernah melakonkan adegan intim di atas katil seperti itu, tambahan pula Aaron merupakan suami orang, jadi saya agak bimbang, adakah adegan itu berlebihan.

"Tetapi Alhamdulillah, ia berjalan dengan lancar dan muncul di skrin. Rasanya orang yang menontonnya pun boleh menerimanya," tutur Maya lagi yang mengakui secara peribadi, dia sendiri menyukai filem Ombak Rindu.

Aaron yang terkenal dengan watak romantisnya di dalam drama pula memberitahu, isterinya, Diyana Halik tidak kisah, malah merestui adegan intimnya bersama Maya serta Lisa Surihani yang memegang watak antagonis buat pertama kalinya sebagai Mila Amylia.

"Isteri saya tidak kisah kerana dia memahami kerjaya saya sebagai seorang pelakon. Malah, dia yang baca skrip terlebih dahulu dan ada ketika sesi latihan serta penggambaran berlangsung. Jadi, tidak ada sebarang isu yang timbul kerana isteri saya sentiasa bersama saya ke mana sahaja saya pergi," bicara Aaron.

Air mata jantan Aaron

Aaron tidak malu untuk mengakui filem Ombak Rindu paling banyak meragut air mata jantannya selain mengakui adegan intim bersama Maya antara yang paling sukar.

"Saya dan Maya pernah bertemu untuk iklan L'oreal, sejak itu kami kenal tetapi tidak pernah bekerjasama dalam drama mahupun filem. Keserasian antara kami sedang timbul kerana dia seorang aktres yang bagus.

"Namun begitu, bagi saya, adegan intim bersama Maya antara adegan yang paling susah untuk dilakonkan kerana saya tidak tahu ekspresi wajah apa yang harus saya tonjolkan. Jadi, saya buat wajah biasa sahaja kerana watak Hariz lakonan saya itu penuh dengan sifat ego," jelas Aaron yang berjaya menunjukkan lakonan yang cukup cemerlang dalam filem yang menelan belanja sebanyak RM2.1 juta itu.

Mengulas lanjut mengenai watak Hariz, jelas Aaron, ini bukanlah kali pertama dia melakonkan watak sedemikian dan kerana pengalaman berlakon watak yang sama memudahkan perjalanan penggambaran filem Ombak Rindu yang dijalankan di Langkawi, Kedah serta Cameron Highlands, Pahang.

"Saya pernah berlakon watak yang lebih kurang sama sebelum ini tetapi dalam drama, untuk filem rasanya belum pernah lagi kerana filem kebanyakan filem saya adalah filem aksi," ulasnya.


OSMAN ALI (dua dari kiri) bersama barisan karyawan filem Ombak Rindu.


Disoal lagi mengenai Festival Filem Malaysia ke-24 yang baru sahaja melabuhkan tirainya penghujung minggu lalu, tidakkah dia kecewa kerana namanya tidak dicalonkan kerana kerakyatannya Singapura?

"Saya tidak kisah kerana anugerah yang paling penting buat saya apabila lakonan saya dapat memuaskan hati penonton. Itu sudah cukup buat saya kerana mereka bayar untuk tonton lakonan saya, biarlah mereka nilaikan saya bagus atau tidak.

"Mungkin tahun akan datang saya boleh bertanding jika permohonan saya untuk memegang status peduduk tetap diluluskan," kata Aaron yang telah lima tahun menetap di Malaysia.

Antagonis pertama Lisa

Lisa Surihani dikenali dengan watak gadis baik-baik selama ini tetapi dalam filem Ombak Rindu, Lisa berjaya memperlihatkan sisi lainnya dalam lakonan serta boleh dikatakan antara filem yang memperlihatkan Lisa benar-benar berlakon.

Watak sebagai Mila Amylia, seorang pelakon popular yang jelita serta lahir daripada keluarga kaya membuatkan dirinya mendapat segala apa yang dihajati, termasuk cintanya terhadap teman sepermainannya iaitu Hariz.

Kata Lisa, sudah lama dia mengimpikan untuk berlakon di bawah arahan pengarah Osman Ali, lantaran itu, tawaran yang datang terus diterimanya. Malah, dia juga merasakan dirinya begitu kerdil apabila pertama kali berlakon dengan Maya, Aaron dan Bront Palare.

"Rasa amat kecil sekali kerana mereka semua pelakon yang bagus serta pernah memenangi anugerah. Saya masih pelakon baharu, pengalaman empat tahun aktif dalam bidang seni jika hendak dibandingkan dengan mereka memang jauh sekali," ujar kekasih pengarah, Yusry Abdul Halim itu lagi.

Akui Lisa secara jujur, dia tidak pernah membaca novel Ombak Rindu, bagaimanapun sebelum penggambaran bermula, dia membaca novel tersebut untuk memahami dengan lebih mendalam watak Mila Amylia.

"Watak Mila memang susah untuk dilakonkan sebab ekspresi wajahnya sentiasa tegang. Bila saya baca novel dan dengan bantuan latihan bersama Elly Suriati serta pengarah, saya berjaya lakonkan mengikut kehendak skrip.

"Saya tidak berani untuk mengatakan filem ini merupakan filem terbaik yang pernah saya lakonkan kerana saya serah tanggungjawab menilai mutu lakonan saya kepada penonton," ujarnya.

Filem Ombak Rindu yang diterbitkan oleh Tarantella Pictures Sdn. Bhd. itu akan menemui penonton di pawagam bermula pada 1 Disember depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: