ADA sebab untuk pelakon dan penyanyi Azzarima Zawari menanti kehadiran tahun 2012 dengan penuh senyuman. Selain debaran yang berkocak di dada, ada keyakinan yang kukuh dan utuh dalam minda artis yang seorang ini bahawa tahun 2012 akan membawa sinar gemilang buat dirinya.
Ketika ditelah, apakah ini ada kaitan dengan percintaan ‘hangat’nya dengan seorang pramugara muda kacak, Azza hanya memberikan senyuman.
“Kita gembira tak semestinya tentang soal cinta semata-mata. Pun saya tidak menafikan, sedang mengenali hati budi ‘seseorang’ dengan lebih mendalam. Beri kami masa untuk melalui fasa perkenalan ini dengan lebih rapat tanpa sebarang gangguan.
“Kalau ada sebarang perkembangan menarik, saya tidak akan sesekali menyembunyikannya daripada sesiapa juga,” demikian kata Azza, mengulas tentang kisah cinta terbarunya dengan si kacak yang hanya mahu dikenali sebagai ‘A’ itu.
Pun, ada perkara yang lebih positif perlu diberi perhatian pada tahun depan. Kerjaya dalam dunia lakonan yang semakin membiak, adalah manifestasi keindahan sebagai seorang artis serba boleh.
Lalu tidak sia-sialah rentak yang diatur untuk beralih ke dunia baru selepas kumpulan nyanyiannya, Elite berpecah lebih lima tahun lalu.
“Sekarang baru saya tahu, ada hikmah yang besar kesan daripada perpecahan Elite dulu. Saya dan Watie misalnya, diterima dengan baik dalam dunia lakonan bersama-sama dengan Linda Rafar, Sasha dan lain-lain juga.
“Itulah yang indahnya. Bagaimanapun nyanyian tetap di hati dan selagi ada tawaran, saya tidak akan menghampakan jemputan pelanggan, selain turut aktif dijemput selaku pengacara majlis,” katanya.
Pelantikan sebagai jurucakap produk kecantikan Sabun Sulit yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat tempatan, juga adalah satu antara yang menggembirakan hatinya sejak akhir-akhir ini. Azza menganggap ia adalah satu penghormatan besar buat dirinya yang erat dengan dunia kecantikan.
“Ia adalah satu produk yang sangat bagus untuk menjaga kecantikan muka dan sekaligus badan. Istimewanya ia merupakan ketulan sabun yang dibikin dengan menggunakan minyak dan ekstrak kelapa sebagai bahan utama.
“Saya terima tawaran menjadi jurucakap Sabun Sulit selepas beberapa bulan menggunakannya. Ia bukan saja berkesan untuk merawat kulit wajah yang bermasalah, tetapi juga memutihkan bahagian sulit wanita seperti di celah ketiak, paha dan siku,” kata Azza tentang produk dengan tagline, Satu Sabun 10 Rahsia itu.
“Azza berharap agar mereka yang mahu memulakan perniagaan baru pada 2012, boleh bersama-sama kerana sistem pemasarannya yang hebat dan menjadi pilihan pelanggan. Azza mahu kongsi dengan peminat yang selama ini menyokong, kita sama-sama kongsi satu bisnes baru yang menguntungkan di tahun baru nanti,” katanya, optimis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: