Monday, November 28, 2011

ADAMAS Tempat Belajar Urus, Rancang Majlis Kahwin


MENYEDARI permintaan masyarakat semakin meningkat dalam bidang perancangan perkahwinan membuatkan Dr Khoo Kien Ling mengasaskan Adamas Weddings Sdn Bhd.

Menjadi akademi pengurusan perkahwinan pertama di Malaysia, ‘Adamas School of Wedding’ ditubuhkan bagi memberi manfaat kepada mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan dan mereka yang ingin menjadikan perancang perkahwinan sebagai profesion.

“Kini di mana-mana sahaja masyarakat bercakap tentang perancang perkahwinan. Ini satu perkembangan positif yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam masyarakat,” katanya

Dr Khoo Kien Ling

Dr Khoo berkata, sudah tiba masanya bakal pengantin hari ini meninggalkan tekanan untuk mengadakan majlis perkahwinan dan menyerahkannya kepada yang lebih pakar.

“Setiap pasangan berhak berkahwin dalam suasana yang diimpikan. Menjelang hari bahagia, mereka tak perlu berfikir tentang persiapan majlis,” katanya.

Menawarkan pakej melangsungkan perkahwinan dengan harga serendah RM20,000, mereka yang mendapatkan khidmat perancang perkahwinan tidak perlu berfikir tentang konsep, jurugambar, jurusolek, lokasi, pakaian dan sebagainya.

“Pasukan profesional kami bersedia memenuhi keperluan bakal pengantin bermula dengan tema sehinggalah perkara-perkara kecil lain,” ujarnya.

Menghabiskan masa hampir tujuh tahun dalam bidang kajian sains di Universiti Leicester, United Kingdom (UK), Dr Khoo yakin akademi yang terletak di Kota Damansara ini mampu mencapai matlamatnya.

Tahun lalu, akademi ini telah melahirkan 25 graduan dan pada tahun ini meningkat seramai 45 orang.

Dengan yuran sebanyak RM11,500, pelajar diberi penekanan terhadap aspek teori dan praktikal selama empat bulan.

“Mereka diajar kemahiran dan ilmu seperti pengurusan bajet, membentangkan proposal, kostum tradisi dan terkini serta membantu menguruskan majlis sebenar selain dapat berkongsi pengalaman dengan orang terkenal di sebalik majlis perkahwinan,” katanya.

Tamat kursus, pelajar mempunyai kelebihan kerana sijilnya diiktiraf oleh Wedding Beautiful Worldwide, salah sebuah institusi pengurusan dan perundingan perkahwinan terbesar di Amerika Syarikat sejak 1968.

Adamas menjadi satu-satunya syarikat berlesen yang melatih bakal perancang perkahwinan dan mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menjalankan perniagaan ini secara francais.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: