SEBAGAI salah sebuah stesen radio yang cukup popular di negara ini, saluran Hot FM dilihat terus agresif untuk menambahkan jumlah bilangan pendengar serta gigih memberikan saingan kepada stesen radio yang lain.
Terkini, stesen radio yang terletak di bawah rangkaian Media Prima Berhad (MPB) itu telah mengorak langkah dengan memperincikan pengisian mengikut dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul berkata, pengkhususan pengisian di kedua-dua negeri berkenaan akan bermula pada 2 Januari 2012 dan akan dikenali sebagai Hot FM Klate dan Hot FM Tganu.
“Antara sebab utama kami melaksanakan langkah sebegitu kerana berpendapat bahawa Kelantan dan Terengganu adalah dua buah negeri yang agak unik dari segi budaya serta latar belakang berdasarkan kajian serta maklum balas yang diterima.
“Untuk pengisian pula, lagu-lagu yang disiarkan nanti adalah pilihan pendengar di negeri masing-masing dan penyampai pula akan menggunakan loghat negeri masing-masing ketika ke udara,” jelasnya.
Ujarnya lagi, biarpun intipati program memberi tumpuan kepada kehendak masyarakat di kedua-dua negeri itu, tetapi segmen pagi pilihan ramai iaitu Hot FM AM Krew masih lagi terus bersiaran seperti biasa.
Ditanya tentang jumlah pendengar setia saluran tersebut di negeri Pantai Timur itu, Seelan menjelaskan setakat ini mereka sudah mempunyai seramai 600,000 pendengar setiap hari.
“Sudah tentu kami mengharapkan jumlah pendengar akan bertambah sekurang-kurangnya 15 peratus dengan pelaksanaan yang diambil ini agar bersesuaian dengan pelaburan yang telah dibuat,” ujarnya.
Bagi memperkuatkan lagi jentera Hot FM di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu, seramai lapan orang penyampai baharu telah dipilih untuk kedua-dua negeri dan dikenalpasti cukup berbakat untuk menggalas tugas menarik lebih ramai pendengar.
Antara penyampai yang telah dipilih untuk memperkuatkan saluran Hot FM Klate adalah Shazwani Mohamad Shakeri (Shaz), 26, Syed Mohd. Farid Mohd. Nor (Farid), 24, Mohamad Hafizie Roslan (Fizie), 23, dan Wan Zuraini Wan Hasan (Renny), 23, serta seorang Eksekutif Muzik iaitu Mohd Izzul Nazmi Mazri, 23.
Untuk Hot FM Tganu pula, ia diperkuatkan empat orang penyampai yang terdiri daripada Mohd. Rafly Rahamat (Rafly), 25, Mohd. Hermansani Aminudin (Bell), 28, Nurul Ain Omar (Ain), 22, dan Muhammad Azri Ismail (Azri), 23, serta seorang Eksekutif Muzik, Ahmad Zulhilmie Zainal (Zul), 25.
"Mereka yang terpilih ini adalah kerana mereka mempunyai personaliti yang menarik, mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penyiaran dan mampu bertutur dalam loghat Pantai Timur hasil tapisan seramai 500 orang yang telah menghadiri uji bakat yang telah diadakan pada bulan Oktober lalu di Kelantan dan Terengganu serta di Sri Pentas, Damansara,” jelasnya.
Menurut Seelan, pihaknya bakal mengadakan konsert mini yang digelar Hot FM Klate Yeah Yeah Tour dan Hot FM Tganu Yeah Yeah Tour bersempena dengan pelancaran kedua-dua buah konti tersebut di Kuala Terengganu (6 Januari 2012) dan Kota Bharu (7 Januari 2012).
Berhenti kerja
Salah seorang penyampai yang terpilih untuk memperkuatkan Hot FM Tganu, Mohd. Hermansani Aminudin atau Bell berkata, dia memang sudah lama meminati bidang penyiaran dan kerap menjadi pengacara di pelbagai majlis secara separuh masa.
Ujarnya, selama ini dia memang menunggu peluang untuk menjadi penyampai radio kerana mahu mengasahkan lagi bakat yang dimiliki dan bersyukur kerana terpilih untuk menyertai sebuah stesen radio yang cukup popular.
“Disebabkan minat yang mendalam ini, saya sanggup mengambil keputusan untuk berhenti kerja dalam tempoh 24 jam semata-mata mahu mengejar cita-cita yang saya impikan selama ini.
"Sudah tentu ini adalah peluang yang tidak harus dilepaskan sama sekali, apatah lagi dapat bekerja dengan sebuah saluran radio yang mempunyai pendengar yang cukup ramai,” ujar bekas Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Melaka itu.
Menurut Bell, memandangkan dia sudah mempunyai banyak pengalaman dalam mengacarakan pelbagai majlis, dia berasa tidak sukar untuk dirinya menyesuaikan diri memandangkan pihak Hot FM juga turut memberikan latihan khusus sebelum mereka memulakan tugas.
Sementara itu, seorang lagi bakal penyampai Hot FM Kelate, Wan Zuraini Wan Hasan atau Renny tidak menyangka menjadi orang terakhir yang menjalani uji bakat di Seri Pentas tempoh hari telah memberi tuah kepada dirinya.
“Sebenarnya saya adalah pelajar praktikal bersama Hot FM sebelum ini dan turut menjadi pembantu sewaktu sesi uji bakat diadakan di Sri Pentas. Kemudian ada beberapa orang rakan telah menyarankan saya supaya turut mencuba dan seperti tidak percaya apabila terpilih.
“Walaupun saya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, tetapi saya tetap bersedia untuk menjadi penyampai Hot FM Klate memandangkan kedua ibu bapa saya memang berasal dari negeri Kelantan di rumah kami sering bertutur loghat Kelantan,” jelasnya.
Menurut bekas pelajar dalam bidang penyiaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu lagi, dengan peluang yang diberikan ini akan digunakan sepenuhnya untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa di universiti dahulu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: