Tuesday, November 29, 2011

Allahyarham Zainal jadi inspirasi Hairul



Mohd. Hairul Isa (dua kiri depan) bergambar bersama pasukan unit D9 Subang Jaya.


TEMPOH khidmatnya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru berusia lima tahun, namun semangat dan kecekalan dalam mengharungi cabaran bersama pasukan itu tidak mampu disangkal.

Apatah lagi, beliau dilahirkan pada tarikh keramat 31 Ogos yang boleh dianggap sebagai pembakar semangat untuknya terus berjaya bersama PDRM.

Jadi tidak hairanlah bagi Inspektor Mohd. Hairun Isa memilih polis sebagai kerjaya kerana profesion itu sesuatu yang diidamkan sejak dari usia muda lagi.

Pegawai Operasi Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya itu berkata, sejak dari bangku sekolah, dia begitu meminati aktiviti yang mencabar selain mengamalkan disiplin.

"Ketika itu, saya merasakan kerjaya sebagai polis, tentera mahupun bomba adalah sesuatu yang bersesuaian dengan saya.

"Oleh demikian, saya sentiasa menyertai badan berpasukan seperti kadet polis serta kadet bomba ketika di bangku sekolah lagi.

"Kini Alhamdulillah, saya benar-benar memakai seragam polis dan mampu berkhidmat untuk nusa dan bangsa," katanya ketika ditemui di Balai Polis Taipan, Subang Jaya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, setelah tamat persekolahan di Sekolah Teknik Setapak, Kuala Lumpur, dia meneruskan pengajian di Politeknik Johor Bharu, Johor dalam jurusan elektronik.

Anak jati Ampang, Selangor itu memberitahu, dia tidak terus membuat permohonan memasuki polis kerana mahu meningkatkan lagi ilmu pengetahuan.

"Jika saya meneruskan pengajian ke peringkat tinggi, mungkin saya kini bekerja sebagai jurutera elektrik... Tetapi saya tidak menyesal kerana dengan segulung diploma itu, saya memohon jawatan inspektor polis.

"Setelah terbaca iklan pengambilan inspektor polis dalam akhbar beberapa bulan selepas tamat belajar, saya terus membuat permohonan berbekalkan tahap pengajian yang saya ada," katanya yang menjadi pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 2006.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga berkata, ketika mula memperoleh tawaran, dia sebenarnya baru sahaja berkahwin dan bakal menimang cahaya mata.

"Tamat sahaja latihan, isteri saya, Noorzulina Zulkifli melahirkan anak sulung. Itu adalah kegembiraan berganda buat saya apabila secara rasmi telah berkhidmat sebagai pegawai polis," jelasnya.

Menurutnya, IPD Subang Jaya merupakan balai pertama yang menjadi lokasinya menabur jasa sebagai salah seorang pegawai penyiasat pada 2007.

Katanya, menjadi pegawai penyiasat di kawasan Subang Jaya dipenuhi dengan cabaran kerana merupakan tempat tinggal mereka berpendidikan tinggi dan digelar elit.

"Sudah tentu ia menjadi tumpuan golongan yang tidak bertanggungjawab untuk memperolehi 'keuntungan' dengan melakukan perkara yang tidak baik.

"Kes jenayah seperti samun serta rompak sering terjadi dan mangsa kebanyakannya adalah mereka berpendidikan tinggi.

"Walaupun ia boleh dianggap sebagai cabaran namun, itu juga perangsang bagi kami warga polis di sini," ujarnya.

Beliau yang bertugas di bawah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya, Asisten Supritendan Rodney Pasla Harris itu sering terkenangkan keperibadian Allahyarham Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar yang juga Ketua Polis Daerah Subang Jaya.

Ujarnya, pemergian Zainal Rashid sememangnya dirindui apatah lagi arwah ialah ketua polis daerah pertamanya sepanjang lima tahun berkhidmat dalam PDRM.

"Saya masih mengingati nasihatnya ketika mula-mula berkhidmat di sini, apabila arwah memberitahu supaya melakukan kerja dengan ikhlas dan usah dibebani dengan tekanan sepanjang berkerja di bawahnya.

"Mana-mana ketua dalam institusi ini juga akan bersifat tegas dan tidak terkecuali dengan arwah. Tetapi bekerja dengan beliau adalah antara pengalaman berharga saya," tambahnya.

Mohd. Hairun menjelaskan, arwah jarang melenting jika ada pegawai melakukan kesalahan sebaliknya hanya tersenyum dan memberi galakan untuk membaiki kesilapan itu bersama-sama.

"Paling tidak, beliau akan berkata 'apa nak buat nasi sudah jadi bubur, kita pakat makan ramai-ramai'.

"Arwah juga sentiasa berfikiran terbuka dan kita bebas bersembang apa sahaja dengan beliau. Jika menegur, bahasanya amat lembut tetapi mendalam," katanya.

Jujurnya, beliau memberitahu, dia dan rakan-rakan amat terkesan apabila mendengar berita pemergian mengejut arwah pada 8 Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: