SEBAHANG unggun api memberi haba kepada insan yang bercanda di persisiran pantai, seperti itulah kepanasan dan rasa terbakar di dada setiap penghidap gastroesofagus refluks (GERD).
Penyakit yang kerap menyerang sejurus selesai menjamu selera itu terjadi apabila injap otot di bawah esofagus (lower esophageal sphincter-LES) gagal berfungsi dengan baik hingga menyebabkan asid mengalir balik memasuki ruang esofagus.
Jus asid yang terkandung dalam perut sebenarnya berfungsi mencerna serta menghapus bakteria bahaya kepada tubuh manusia.
Apabila injap terbuka, ia menyebabkan asid memasuki ruang aliran esofagus (tiub saluran yang membawa makanan ke perut) kemudian memberi kesan terhadap individu terbabit seperti terasa pedih di dada.
Wujudnya mitos di kalangan masyarakat beranggapan GERD dan pedih hulu hati ialah penyakit sama, cuma berbeza pada nama mengikut istilah saintifik tetapi perkara itu dinafikan Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk K L Goh.
“Pedih hulu hati sebenarnya simptom utama GERD. Ia membuatkan penghidap merasa senak akibat penolakan asid ke dalam esofagus, sekali gus menghasilkan rasa seakan-akan terbakar di dada.
“Pedih hulu hati yang kerap menyerang pesakit lebih dua kali seminggu dipanggil GERD, ia berbeza dengan refluks biasa.
“Harus diingatkan, GERD bukan sekadar dirasai individu berusia lanjut, bahkan setiap orang berisiko menghidapinya berdasarkan faktor usia, bangsa dan budaya pemakanan di kalangan keluarga,” katanya ketika sesi penerangan media berhubung GERD: Kebenarannya.
Hal itu terbukti apabila kajian mendapati dua hingga lapan peratus kanak-kanak berusia antara tiga hingga 17 tahun memiliki tanda-tanda GERD, malah risiko turut meningkat seiring peningkatan umur, terutama mencecah 40 tahun.
Menurutnya, penghidap GERD perlu mengambil berat mengenai kaedah rawatannya sebelum ia bertambah kronik hingga menyebabkan komplikasi serius.
Radang esofagus dihasilkan asid perut, boleh merosakkan tisu perut, selain mengakibatkan pendarahan atau ulser-esophagitis mahupun saluran esofagus menjadi sempit.
Bagi individu yang mengalami esofagus Barret (perubahan lapisan esofagus di segi bentuk dan warna), mereka mempunyai risiko kanser esofagus dan kemungkinan mengancam nyawa pesakit.
GERD juga antara penyumbang utama penyakit asma, batuk kronik, kerosakan gigi serta fibrosis pulmonari.
Katanya, ramai penghidap GERD memandang ringan kesan buruk penyakit ini dan hanya mendapatkan rawatan apabila berasa sakit serta tidak selesa bertambah kerap.
Lebih teruk, hampir separuh pesakit sanggup menanggung kesakitan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum berjumpa doktor.
Beliau berkata, beberapa faktor menyebabkan jus asid perut masuk ke esofagus, antaranya perubahan hormon ketika mengandung apabila injap tidak tertutup rapat dan peningkatan tekanan abdomen, pencernaan perlahan atau perut terlalu penuh dengan makanan bersaiz besar, sekali gus membuatkan LES berada di kedudukan lebih rendah.
GERD memberi kesan negatif kepada kehidupan individu sama ada pada waktu santai mahupun bekerja, malah kajian mengenai kesan GERD terhadap mutu kehidupan dilakukan di Asia baru-baru ini, mendapati 50 peratus penghidap mengalami gangguan tidur hingga mengurangkan produktiviti kerja masing-masing.
Bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia, Dr Tan Huck Joo, berkata bagi mengurangkan penderitaan pesakit GERD, mereka dibekalkan ubat Perencat Pam Proton (PPI) untuk menghalang pengeluaran asid dan pengalirannya ke esofagus.
Katanya, PPI mampu menyembuhkan tisu esofagus yang rosak akibat hakisan asid dalam tempoh empat hingga lapan minggu. Pesakit juga digalak mengamalkan gaya hidup sihat dan pengambilan makanan seimbang.
Penghidap GERD, Terry Tan, 37, mengakui menghidap penyakit itu sejak berusia awal 20-an dan beranggapan simptom dialami sebelum ini hanya disebabkan pedih hulu hati biasa.
Namun, keadaan bertambah kritikal apabila setiap kali menjamu selera, dadanya terasa sakit dan seolah-olah terbakar. Lebih teruk, beliau kerap termuntah hingga memaksanya menelan 10 butir pil sehari.
Ketika melakukan pemeriksaan gigi, beliau menerima teguran daripada doktor mengenai kerosakan teruk pada enamel gigi sebelum menyarankan Terry mendapatkan rawatan kesihatan berhubung GERD.
Selepas hampir 10 tahun dibelenggu kesakitan GERD, kini Terry lebih mengambil berat terhadap kesihatan serta pemakanan hariannya.
Pesara, A Susainathan, 64, pula kerap mengalami pedih hulu hati, terutama ketika tidur pada waktu malam, hingga mengganggu produktiviti kerjanya.
Pernah bergelar perokok tegar, Susainathan berusaha mendapatkan rawatan sewajarnya sebelum disahkan penghidap GERD, lantas tabiat pengambilan nikotin terus dihentikan.
Hampir 13 tahun hidup bersama GERD, beliau berkata, setiap individu yang memiliki simptom penyakit itu disaran mendapatkan rawatan segera bagi mengelakkannya bertambah kronik.
CARA PENCEGAHAN GERD:
JANGAN:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: