SAAT BAHAGIA...Imran dan Jemima di hari pernikahan mereka pada 1995.
BUAH HATI... Jemima bersama Sulaiman ketika baru dilahirkan di London.
LONDON: Pemain kriket terkemuka Pakistan, Imran Khan, berkata dia hilang semangat untuk hidup selepas perkahwinannya dengan Jemima Glodsmith musnah Dipetik media tempatan semalam, Imran berkata, enam bulan sebelum perceraian dan enam bulan selepasnya adalah detik “paling perit” dalam hidupnya.
Kata Imran, dia juga berasa amat sedih apabila tidak dapat bertemu dua anak lelakinya, Sulaiman, 8, dan Kasim, 5.
“Membesarkan mereka adalah pengalaman paling indah dalam hidup dan kini tanpa mereka di sisi menjadi cabaran terbesar untuk ditangani,” katanya.
Untuk kali pertama, kata Imran, dia memahami bagaimana seseorang boleh patah semangat untuk hidup.
Katanya, kesan terhadap anak-anak ternyata memburukkan lagi keadaan.
“Melihat kesedihan Sulaiman menjadikan kesengsaraan saya berganda.
“Saya sangat rindukan mereka dan tiada apa dapat mengubatinya,” katanya.
Melalui buku terbaru Imran yang diterbitkan dalam usahanya mendapatkan kuasa politik, dia turut menulis bagaimana politik dan kehidupan berkeluarga gagal diserasikan selepas berkahwin dengan Jemima pada 1995.
Ketika itu, Imran berusia 43 tahun, manakala Jemima baru 21.
Kata Imran, pengorbanan terbesarnya kerana terbabit dalam politik adalah masa yang sangat terhad untuk diluangkan bersama keluarga.
Dalam buku itu juga, Imran menceritakan bagaimana dia diperlekeh di Pakistan ketika menubuhkan parti politik sendiri, manakala Jemima didakwa menjadi sebahagian daripada rancangan Zionis menguasai negara itu.
“Jemima berharap saya tak menyertai politik.
“Sebagai wanita pemalu dan sensitif, tuduhan dilakukan ke atasnya sangat berat,” katanya.
Sejurus selepas itu, Jemima kembali ke Britain bersama Sulaiman dan Kasim untuk membolehkan kanak-kanak itu belajar mengenai Islam moden di universiti.
Jemima dan Imran bercerai pada 2004.
Kata Imran, dia lega kerana kesedihan Jemima berakhir selepas mereka berpisah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: