CABARAN...pendaki melalui rabung pergunungan untuk tiba ke puncak McKinley.
SEMAKIN hampir melengkapkan misi ke tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia, namun bagi saya tiada jalan mudah sebenarnya untuk mencapai impian itu.
Ternyata, misi pendakian ke Gunung McKinley di Alaska, Amerika Utara yang juga gunung keenam dalam senarai pendakian saya, sangat mencabar mental dan fizikal.
Bagi saya, cabaran di gunung yang tingginya 6,194 meter itu yang kedua paling teruk dilalui selepas berjaya menawan puncak tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest pada 2004.
Dari Kuala Lumpur, saya singgah di bandar Anchorage untuk bertemu jurupandu arah serta membeli beberapa peralatan serta kelengkapan persiapan untuk mendaki McKinley.
Dari Anchorage, saya mengambil satu lagi penerbangan menaiki pesawat Fokker 50, menuju terus ke Kem Induk McKinley yang terletak pada ketinggian 2,300 meter.
Keesokannya, saya terus memulakan pendakian ke Kem 1 yang terletak pada ketinggian 2,500 meter. Walaupun hanya 200 meter beza ketinggian daripada Kem Induk, pendakian saya mengambil masa lima jam 30 minit.
Keadaan cuaca pula baik dengan suhu di bawah paras beku. Permukaan buminya dilitupi salji sepenuhnya.
Gunung McKinley juga antara gunung paling sejuk serta mempunyai paling banyak rekahan salji yang berbahaya kepada pendaki.
Satu lagi kesukaran dihadapi ialah terpaksa membawa sendiri segala peralatan dan kelengkapan bermula dari kem induk. Dengan berat sekitar 30 kilogram, saya membawanya menggunakan anduh salji. Sepanjang pendakian, saya ditemani jurupandu arah, Peter Inglish dan seorang lagi pembantu, Zack Quine.
Dari Kem 1, saya mendaki ke Kem 2 yang terletak pada ketinggian 3,200 meter untuk menghantar segala peralatan dan kelengkapan, kemudian berpatah balik ke Kem 1 untuk bermalam.
Hari ketiga, saya mendaki lagi terus ke Kem 3 pada ketinggian 3,400 meter yang mengambil masa tiga jam. Sebelum itu, saya mengerah tenaga dan keringat selama lima jam menempuh perjalanan dari Kem 1 ke Kem 2.
Pendakian dari Kem 3 ke Kem 4, bermulalah cabaran getir dan cukup memeritkan bagi saya. Bagi saya, pendakian dari Kem 3 ke Kem 4 paling mencabar kerana terpaksa melalui laluan menegak. Selain itu, ketika tiba di situ, keadaan cuaca berangin sepanjang masa.
Lebih memburukkan keadaan, jurupandu arah tersalah ramalan mengenai keadaan cuaca hari itu, menyebabkan kami terpaksa berdepan angin sejuk melampau sepanjang pendakian.
Ada pendaki menyifatkan pendakian di Gunung McKinley sangat sukar dan tidak boleh bergantung kepada ramalan cuaca kerana ramalan yang dikeluarkan setiap hari sering tidak tepat.
Tiba di Kem 4, keadaan suhu mencecah negatif 15 hingga 20 darjah Celsius. Pendakian seterusnya dari Kem 4 ke High Camp pada ketinggian 5,000 meter semakin mencabar.
Laluan menegak memaksa pendaki menggunakan kaedah pendakian teknikal. Setiap pendaki diwajibkan menggunakan tali keselamatan.
Selain itu, saya terpaksa melalui rabung pergunungan sejauh 1.6 kilometer yang berbahaya kepada pendaki. Silap langkah, maut pasti menjemput. Paling tidak dapat dilupakan, beberapa pendaki lain tersilap perhitungan, menyebabkan mereka tergelincir dari rabung dan pastinya nyawa melayang.
Kejadian itu saya saksikan sendiri menyebabkan minda sedikit terganggu selepas melihat nyawa rakan sependakian melayang di depan mata.
Hari ke-10 pendakian, saya dimaklumkan tujuh pendaki menemui ajal kerana tergelincir di laluan rabung pergunungan itu.
Selepas membaca beberapa surah al-Quran, semangat saya pulih kembali untuk meneruskan pendakian. Apapun hati berdetik “walau apa sekalipun rintangan dan cabaran pendakian kali ini, aku perlu tempuh, kerana pendakian pertama kali tahun lalu sudah gagal, aku tidak mahu gagal lagi untuk kali kedua kali ini.”
Ternyata, misi pendakian ke puncak McKinley ibarat menyabung nyawa. Selepas pendakian sembilan jam dari High Camp, saya berjaya tiba di puncak McKinley.
Saya terpaksa meredah kesejukan melampau itu dengan jarak pendakian enam kilometer.
Yang pasti, semua jari tangan dan kaki mula terasa kebas. Namun, sebaik tiba di puncak, segala kesakitan kepenatan dan keletihan yang ditanggung hilang sekelip mata. Semuanya kerana semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi di benua Amerika Utara itu.
Jika mengikut perancangan awal pendakian, saya sepatutnya tiba di puncak Mckinley dalam tempoh 13 hari pendakian. Namun, usaha keras di samping keadaan cuaca yang baik, mengizinkan saya dan rakan-rakan tiba tiga hari lebih awal di puncak gunung itu berbanding sesetengah kumpulan pendaki lain yang mengambil masa 20 hari untuk tiba di puncak kerana beberapa halangan, termasuk cuaca buruk.
Tidak hairan, mengikut statistik pendakian gunung Mckinley, hanya 52 peratus pendaki berjaya menawan puncaknya. Bagi saya, berada di puncak Mckinley tidak bererti segala-galanya selesai. Perjalanan turun dari puncak ke kaki gunung, satu lagi cabaran menanti. Ini kerana perjalanan turun dari puncak Mckinley lebih berbahaya dan kebanyakan kes kematian pendaki berlaku ketika perjalanan turun kerana ramai pendaki tergelincir.
Keseluruhannya, jarak pendakian saya di Mckinley sejauh 25 kilometer membabitkan 13 hari mendaki dan dua hari perjalanan turun. Saya juga kehilangan berat badan hampir sembilan kilogram sepanjang pendakian itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: