Saat anda memilih saluran Astro Ria, pastinya kerap kali terdengar jeritan kiraan “Lima, enam, tujuh, lapan…lapan lagi", suatu ketika dulu. Pasti sudah tahu milik siapakah suara itu? Itulah suara Linda Jasmine yang terlibat secara langsung sebagai salah seorang tenaga pengajar untuk Akademi Fantasia (AF).
Dengan gaya bersahaja tanpa henti dia akan menjerit sehingga tamat pembelajaran di kelas tariannya. Begitulah hampir kesemua anak didik di AF berhadapan dengan suara yang dikatakan seperti halilintar.
Namun dengan suara nyaring itulah segala ilmu dan tunjuk ajar dicurahkan sepenuhnya oleh figura yang lebih selesa dengan panggilan Linda ini. Tengok sahaja anak-anak didiknya kini, semuanya tidak lagi berdiri kaku di atas pentas membuat persembahan.
Rasanya ramai sedia maklum isteri kepada pelakon Que Haidar ini adalah salah seorang pakar tarian dan juga koreografi di Malaysia.
Selain itu, anak bongsu lima beradik hasil perkahwinan Datuk Murad Hashim dan Datin Kay Hashim ini juga merupakan pengasas dan jurulatih di Studio Seni Persembahan Linda Jasmine (Linda Jasmine Performing Arts Studio).
Guru yang cukup anggun dan berkulit putih gebu ini merupakan anak kacukan daripada ibunya yang berasal daripada Amerika Syarikat, manakala ayahnya berasal dari Pulau Pinang.
Sejak di bangku sekolah lagi Linda sudah menunjukkan kecenderungan dalam bidang seni tari ini. Buktinya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur, dia terus memperoleh peluang untuk bekerja sebagai guru tari dan koreografi.
Menurut Linda, minatnya terhadap bidang ini sudah lama. Walaupun berpeluang menjadi guru tari pada umur masih muda, namun dia tidak teragak-agak menimba ilmu di Amerika Syarikat.
“Bertambah seronok melakukan sesuatu yang sangat diminati di usia masih muda. Pastinya masa diperuntukkan lebih banyak dan tenaga pun cukup untuk berhempas-pulas dalam bidang ini.
"Lebih mencabar apabila saya dibesarkan ibu bapa daripada latar belakang yang sungguh berbeza daripada dua benua berasingan.
“Jadi, sejak kecil saya didedahkan budaya berlainan dan pada masa sama mempunyai budaya tersendiri dan unik untuk diikuti. Lantas, saya mendapat gambaran luas terhadap seni dan budaya. Mungkin ada memandang remeh, tetapi ini semua berkaitan bidang tarian yang saya ceburi," ujarnya kepada Zass.
Aliran darah seni
Bakat menari telah diperlihatkan sejak kecil lagi ketika berumur seawal tiga tahun, lebih-lebih lagi tatkala Linda terdengar bunyi muzik.
“Disebabkan sentiasa menari, ibu lihat saya mempunyai kecenderungan ke arah tarian dan dia mendaftarkan saya ke kelas ballet ketika berumur tiga tahun.
“Bermula tarian ballet yang dikatakan asas tarian dan selepas itu pembelajaran saya semakin meluas ke tarian lain antaranya, jazz, modern ballet, tap, gimnastik dan banyak lagi. Bukan sahaja belajar malah banyak peperiksaan perlu dihadapi untuk membuktikan kita betul-betul mahir.
“Pada masa itu, jadual sekolah dan kelas tarian telah diatur sebaiknya oleh ibu. Kehidupan saya memang sibuk dan tidak ada masa untuk bermain-main atau melakukan sebarang aktiviti seperti orang lain,” ujarnya yang berusaha bersungguh-sungguh untuk berada di tahap sekarang.
Linda merasakan bakat seninya dan adik beradik yang lain diwarisi daripada ibu yang mempunyai ijazah kesenian di Universiti Boston manakala sebelah ayahnya, mempunyai suara merdu dan ritma muzik tersendiri.
“Walaupun mempunyai sedikit sahaja darah seni, namun dalam bidang yang diceburi ini, bukan saya yang memilih bidang tarian ini sepenuhnya kerana hakikat sebenarnya bidang ini yang telah memilih saya.
“Tarian dekat dengan jiwa saya. Bila saya menari, melakukan sebarang koreografi atau mengajar, itu merupakan momen dan masa paling berharga.
“Pastinya setiap orang ingin hidup selesa. Bagi saya, berada dalam dunia tarian memberi keselesaanmutlak dan itulah diri saya sebenarnya,” katanya.
Merubah perspektif
Falsafah Linda, selagi ada insan seni mempunyai minat dan rasa cinta yang utuh dalam bidang hiburan ini pastinya mampu menggalakkan bidang tarian ini berkembang luas.
“Saya rasa bidang tarian ini akan sentiasa wujud. Bukan sahaja dalam industri hiburan tempatan malah seantero dunia.
“Saya yakin memandangkan tarian tidak boleh dipisahkan dengan hiburan sama ada nyanyian atau lakonan malah kehidupan manusia itu sendiri.
“Tarian merupakan salah satu perkara yang mencerminkan budaya kita dan juga secara semula jadi ia juga datang melalui pendirian seseorang yang minat terhadap bidang ini," ujarnya.
Menurut Linda, penglibatannya dalam AF sangat bererti baginya yang cuba mengembangkan lagi bidang tarian di mata umum.
Dirinya turut bangga apabila pembelajaran dalam program sebegini dapat membuka mata penonton dan merubah perspektif mereka terhadap bidang tarian.
“Dengan penglibatan dalam AF, saya dapat menunjukkan serba sedikit betapa susahnya untuk belajar tarian. Pada masa sama penonton juga dapat melihat betapa penting persediaan dan latihan sebelum membuat persembahan.
“Memandangkan televisyen antara medium terpantas, saya bangga bila ramai memberi respons menghargai sesebuah tarian itu terutama kepada penari baru seperti pelajar AF.
"Dari sini juga saya mungkin telah menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda yang ingin menceburi bidang tarian dan membuka mata ibu bapa yang sebelum ini merasakan bidang ini tiada masa depan cerah,” ujarnya.
Linda yakin, pandangan orang ramai kini terhadap guru tari atau penari profesional lebih ke arah positif.
“Saya bertuah kerana akhirnya mampu memberi kesan positif kepada orang luar yang tidak memahami dan memandang rendah karier juru tari, guru tari mahu pun penari profesional.
"Saya harap ia dapat memberi keyakinan dan inspirasi kepada mereka yang bercita-cita tinggi di luar sana tidak kira apa jua bidang sekalipun," katanya.
Sebagai orang seni, untuk menghasilkan sesuatu karya perlu juga kepada sumber inspirasi yang mampu memberikan sentuhan terbaik.
Bagi Linda, keadaan sekeliling banyak membantu memberi sesuatu rasa yang unik dalam dirinya ketika menari.
"Benda-benda di persekitaran kadangkala boleh memberi rasa dan jiwa dalam sesebuah persembahan kerana semua benda di dunia ini ada karakter tersendiri,” ujarnya.
Terus berkhidmat
Tidak pernah terfikir dapat bertahan lama dalam industri ini, Linda bagaimanapun akan terus memberi sumbangan dalam bidang yang dicintainya selagi termampu.
Malah, Linda juga berminat menurunkan ilmu dimilikinya kepada sesiapa berminat menceburi dunia tarian sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya.
“Sekarang saya tengah uruskan studio tarian saya sendiri yang menawarkan pakej kelas tarian, sewaan kostum, studio dan tempahan persembahan.
“Selain studio, saya sering terlibat bengkel tarian, projek senaman dan kesihatan serta pertandingan tarian anjuran Disney Channel Asia setiap tahun,” katanya.
Ketika ditanya kenangan pahit dan manis sepanjang kehidupannya, menurut Linda, setiap saat merupakan kenangan paling manis buatnya.
Menurutnya, antara yang tidak dapat dilupakan adalah kenangan ke Hawaii, Amerika Syarikat bersama Allahyarham Sudirman ketika berusia 15 tahun.
"Selain itu, pengalaman manis ketika melatih pelajar saya sewaktu menjadi guru tari AF. Memang banyak aksi lucu mereka yang tidak tahu menari dan semuanya sangat mencuit hati saya.
“Namun bila dikenang kembali, sebenarnya pengalaman yang pahit itulah menjadi paling manis. Ini kerana pengalaman pahit membuatkan saya lebih kuat dan bersedia menghadapi halangan, cabaran atau dugaan pada masa depan,” katanya.
Linda juga mengakui penglibatannya sebagai koreografi dan guru tari menaikkan namanya dalam industri ini.
Pengalaman menjadi juri pertandingan akhir Sehati Berdansa turut disenaraikan sebagai salah satu kenangan paling manis buatnya.
“Pada masa itu saya baru kembali muncul di kaca televisyen selepas melahirkan anak perempuan. Saya terharu sambutan orang ramai melihat saya terlibat kembali sebagai juri tarian di rancangan tersebut,” katanya.
Berkongsi pengalamannya itu, Linda turut menyelitkan kata-kata nasihat buat masyarakat di luar sana yang ingin berjaya sepertinya.
“Kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya dalam bidang seni terutama bidang tarian, perkara paling penting perlu mengenali diri bagi mengetahui kelemahan dan kekuatan kita.
Berkongsi perkembangan terbarunya, selain sibuk dunia tarian, umum mengetahui Linda juga ibu dua cahaya mata, Qalif Khan dan Tengku Ratu Haidar. Kini, Linda hamil anaknya yang ketiga.
Walaupun banyak masa dihabiskan untuk kerjaya dan keluarga, Linda juga sering melakukan kerja amal.
“Saya ahli sebuah kumpulan wanita yang mengendalikan dan menguruskan acara serta projek membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Tuesday, November 29, 2011
Cinta seni tari tiada noktah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: