CANTIK...model Bangunan Sultan Abdul Samad.
MESKIPUN baru setahun jagung dalam mereka cipta, bakat dimiliki empat anak muda berusia 13 tahun ini sukar dipertikaikan. Tidak gentar dan segan antara petua diamalkan anak remaja ini sebaik menyertai Pertandingan Mereka Cipta Model Bangunan Bersejarah Berasaskan Barangan Terpakai anjuran Jabatan Muzium bersama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, baru-baru ini.
Tidak sangka, percubaan tunggal si cilik ini berjaya sebaik model mereka mendapat perhatian juri. Sekali gus usaha mereka mengharumkan nama Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail di peringkat negeri kerana ia turut disertai 27 sekolah lain sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Malah, model Bangunan Sultan Abdul Samad yang dihasilkan daripada 100 peratus barang terpakai oleh kumpulan pelajar turut dipamerkan di ruang khas dalam muzium bagi tatapan umum.
Menurut ahli kumpulan, Nurul Eeman Mansor, cadangan menyertai pertandingan tercetus sebaik dia mendengar pengumuman mengenai pertandingan itu di sekolah.
“Saya tahu mengenainya menerusi guru yang membuat pengumuman terbuka kepada pelajar yang berminat menyertainya.
“Disebabkan pertandingan ini memerlukan empat ahli kumpulan, saya mempelawa rakan rapat untuk bekerjasama bagi menghasilkan model bangunan pilihan iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad,” katanya yang meminati aktiviti melukis.
Katanya, sebaik membuat keputusan menyertai pertandingan, mereka mula berbincang bagi pembahagian tugas masing-masing.
“Memastikan projek membina model bersejarah ini berjalan lancar, saya dan rakan berbincang mengenai bahagian kerja kami.
“Bermula dengan mencari gambar bangunan yang sesuai hinggalah kepada tugas mengecat, kami membahagikan tugas berkenaan.
“Tugas saya ialah mencari rekaan dan membuat lakaran bagi menghasilkan ‘base’ (tapak asas) sebelum perincian dilakukan,” kata anak bongsu tiga adik beradik itu.
Rakannya, Siti Khairiah Khalidan, berkata rekaan bukan bidang kepakarannya, sebaliknya lebih senang dengan usaha mengumpul bahan dan memotong kepingan untuk perincian bangunan.
“Walaupun tidak pandai melukis dan melakar, peranan saya sama penting dalam kumpulan ini.
“Saya ditugaskan mengumpul bahan seperti tisu dan kotak. Sebahagian besar bahan itu digunakan dalam rangka asas bangunan.
“Oleh itu, saya perlu mengumpul bahan itu pada kadar segera supaya kerja membina asas dapat dibuat terlebih dulu,” katanya yang tinggal di Sungai Penchala.
Dia yang bercita-cita ingin menjadi doktor menyifatkan pengalaman membuat model bersama tiga rakannya sebagai kenangan paling manis buat dirinya. Bukan saja dapat mengisi masa bersama rakan, pada masa sama dia bertambah yakin pada diri sendiri.
“Ketika mengumpul bahan buangan berkenaan, saya menebalkan muka meminta pertolongan daripada orang tidak dikenali.
“Bayangkan saya terpaksa meminta botol daripada orang yang sedang minum. Saya tidak pernah berbuat hal demikian sebelum ini.
“Namun ia tetap menyeronokkan kerana sebaik menerima respons positif daripada orang ramai, saya tidak lagi segan melakukannya,” katanya yang tidak pernah menyertai sebarang pertandingan sebelum ini kerana tiada keyakinan.
Bagi ahli ketiga kumpulan itu, Hafizah Idris, kemenangan mereka di luar jangkaan kerana ada pasukan lebih berpengalaman menyertai pertandingan berkenaan.
“Sebaik nama kumpulan ‘senior’ diumumkan sebagai sagu hati, saya turut gembira bagi pihak mereka dan tidak berharap kumpulan saya memenanginya.
“Namun memang ia kejutan buat saya kerana pertama kali menyertai pertandingan model ini sudah berjaya menjadi juara.
“Kepenatan dan usaha keras saya bersama ahli lain berasa berbaloi dan terbayar kerana masih ada yang sudi menghargai usaha kami dengan memilih kami selaku pemenang,” katanya yang turut menyatakan dia dan rakan terpaksa mengukir 150 keping kayu aiskrim untuk dibuat tiang menghiasi model itu.
Manakala Muhammad Zairul Arif Ahmad Zaki, selaku peserta lelaki tunggal dalam kumpulan itu, tentu saja dia berasa kekok. Mujur ahli kumpulan lain kerap berbincang menyebabkan rasa malu hilang.
“Tentu saya berasa malu dan janggal sebab saya lelaki tunggal, tetapi saya berusaha berbual dan ia membantu saya berasa selesa.
“Tambah pula mereka mudah mesra dan sering bergurau, ini berjaya menimbulkan keserasian ketika bekerjasama menghasilkan model berkenaan,” katanya yang turut mempunyai minat melukis seperti Nurul Eeman.
Kata Zairul, pengorbanan dilakukan sepanjang tiga minggu menghasilkan model berkenaan ialah masa cutinya, di mana dia perlu menyiapkan model berkenaan sebelum tarikh akhir pertandingan pada 16 September lalu.
Pengetua sekolah berkenaan, Datin Hasmah Abu berkata, dia berbangga dengan pencapaian pelajarnya.
“Saya kagum mereka berani menyertai pertandingan ini meskipun usia masih muda.
“Kejayaan ini bukan saja dimainkan oleh sekolah tetapi juga adanya sifat prihatin ibu bapa yang menyokong pembabitan anak dalam aktiviti luar.
“Diharap kelak lebih ramai akan tampil dan berani menyertai pertandingan dalam usaha mencapai kecemerlangan pelbagai bidang tidak terhad kepada bidang akademik saja,” katanya.
INFO:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: