PEMBELI berpusu-pusu masuk ke kompleks Macy di New York, kelmarin.
NEW YORK: Detik bermula musim belah-belah sebelum perayaan Krismas yang digelar ‘Black Friday’ di Amerika Syarikat memalit tragedi hitam selepas orang ramai bersesak merebut membeli permainan video, pembuat waffle dan tuala hingga ada yang menggunakan taktik ganas.
Satu daripada insiden paling luar biasa pada hari itu berlaku di Los Angeles apabila 20 orang cedera selepas seorang wanita di gedung Walmart menggunakan semburan lada untuk mendapatkan permainan Xbox.
Perebutan untuk memiliki tuala direkodkan di sebuah kedai di Michigan hingga menjadi klip sensasi YouTube. Perebutan hingga membawa kepada pergaduhan kerana merebut tuala murah juga berlaku di sebuah gedung Walmart di Oregon, Ohio.
“Mereka berebut untuk mendapatkan tuala mandi yang dijual pada harga AS$1.88 (RM6.01), sukar dipercayai,” kata Sarjan Jason Druckenmiller.
“Seorang wanita cuba berebut tuala apabila dia ditolak dari belakang menyebabkannya bertindak balas terhadap orang itu.”
Jurucakap syarikat itu, Greg Rossiter berkata, pergaduhan di beberapa kedai mencemarkan permulaan musim membeli belah Krismas di beribu gedung Walmart.
Rakaman video keganasan membeli belah memenuhi YouTube lewat kelmarin. Satu klip menunjukkan sekumpulan pelanggan merempuh dan mengoyakkan kotak telefon bimbit murah percuma untuk semua. Satu lagi menunjukkan pelanggan membanjiri kedai ketika pintu baru dibuka.
“Inikah apa yang sudah manusia capai?” tanya seseorang yang mengulas secara online. Seorang lagi berkata ‘keadaan seperti piranha sedang menyerbu makan dengan lahapnya.”
Contoh lagi saat klasik adalah klip video suasana huru hara di Arkansas untuk merebut pembuat waffle berharga AS$2 (RM6.39).
Klip yang bergoyang selama 48 saat itu menunjukkan sekumpulan pelanggan lelaki mencangkung dan menjerit, wanita dan kanak-kanak memanjat antara satu sama lain, merebut dan membaling kotak dengan seorang wanita tidak perasan seluarnya terlondeh.
“Oh Tuhan!” kedengaran seorang wanita menjerit dengan suara nyaring. Seorang penonton video menulis: “Inilah kemuncak tamadun Barat.”
Sebuah gedung Walmart di Cave Creek, Arizona, dikosongkan malam Khamis lalu selepas sebuah bungkusan mencurigakan ditemui dalam bilik rehat pekerja, kata jurucakap Maricopa County Jabatan Sherif, Christopher Hegstrom. Robot polis mengambil bungkusan itu manakala anjing pengesan bom menggeledah kedai sebelum ia dibuka.
Satu lagi rakaman video yang banyak dilihat di YouTube menunjukkan seorang lelaki tua yang cedera dipukul polis di Walmart Arizona.
Video menunjukkan lelaki itu tidak sedarkan diri dan berdarah pada muka ketika polis menggulingkannya dan mengelap darah. Ada yang membantah tindakan polis, menuduh mereka bertindak kejam dan menyuruh orang lain menelefon 911 untuk bantuan kecemasan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: