DINAMIK dalam skop pemikiran untuk melakukan perubahan dan pembaharuan merupakan senjata utama bagi BMW Group.Syarikat automotif gergasi itu tidak pernah mengecewakan pengikut jenama BMW yang sering mengeluarkan rekaan penuh gaya, inovasi dan berteknologi.
Melangkah satu era baru, BMW Group Malaysia merancang untuk memperkenalkan model hibrid menjelang tahun 2013.
Ketua Perancangan dan Perhubungan Kerajaan BMW Group AG, Glenn Schmidt berkata, terdapat potensi yang kukuh bagi pasaran mobiliti elektrik di negara ini.
“Pengenalan konsep ini disifatkan unik kerana ia jauh berbeza dengan model kereta elektrik di pasaran kerana masih mengekalkan rekaan yang dinamik.
“Ini kerana model elektrik jenama lain direka seolah-olah seperti mesin atau robot menyebabkan segelintir masyarakat tidak dapat mengadaptasi ‘keanehan’ itu,” katanya
Glenn berkata, adalah penting bagi BMW Group Malaysia melaksanakan langkah bagi menggalakkan inovasi teknologi sekali gus menyokong persekitaran hijau.
Mobiliti era baru ini mempunyai komponen penyimpanan elektrik dan kuasa yang dinamik bagi memastikan pemanduan terus berprestasi tinggi.
Komponen itu direka lebih ringan menerusi Konsep LifeDrive yang diperbuat daripada aluminium dan carbon fibre reinforced plastic (CFRP).
Struktur tersebut merupakan kekuatan amat tinggi meskipun 50 peratus lebih ringan daripada keluli tahan karat.
Dikenali sebagai BMW ActiveE, konsep mobiliti ini mempamerkan kehebatan gerakan motor dengan kuasa maksimum 125 kW/170 bhp.
Tork maksimum sebanyak 250 Nm seperti yang terdapat pada kenderaan elektrik lain di mana ia disediakan daripada keadaan tidak bergerak.
Buat pertama kalinya ia boleh digunakan dalam julat beban yang sangat luas. Oleh itu BMW ActiveE mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer (km) sejam dalam masa 9 saat sahaja.
Kelajuan tertinggi BMW ActiveE dihadkan secara elektronik pada 145 km/h dan sebagai enjin motor elektrik sepenuhnya di mana kenderaan ini tidak mengeluarkan karbon.
“BMW mendahului memperkenalkan pelbagai teknologi merentasi semua barisan produk selama lebih 40 tahun yang mengukuhkan syarikat dalam industri automotif.
“Oleh itu, mobiliti elektrik terus diperlengkapkan dengan BMW EfficientDynamics yang menyaksikan satu gabungan kuat bagi mobiliti elektrik,” katanya.
Menerusi kecekapan yang dinamik itu, model baru BMW akan terus memberikan penjimatan bahan api jangka panjang kepada pemilik.
Kehadiran BMW ActiveE juga bertujuan untuk mempamerkan keupayaan kenderaan elektrik di samping memberi kesedaran terhadap persekitaran hijau.
Ia selari dengan langkah memperkenalkan teknologi maju BMW, teknologi petrol maju BMW, teknologi hibrid, kenderaan elektrik dan hidrogen.
Menurut Glenn, pendekatan BMW juga membantu meneruskan usaha komitmen kerajaan untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon di negara ini.
“Komitmen ini adalah inisiatif strategik untuk memperkenalkan teknologi lebih maju untuk infrastruktur dan industri Malaysia dan memastikan kesejahteraan jangka panjang serta kesihatan rakyat,” katanya.
Apabila ia berada di pasaran kelak, kemampuan itu nyata memperlihatkan era baru dalam mobiliti elektrik yang dikuasakan oleh BMW demi kepuasan dan pengalaman pelanggan yang sering dahagakan impak dan prestasi tinggi dalam pemanduan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: