Monday, November 28, 2011

Diminati wanita berusia 40-an

SELARI...setiap pergerakan perlu sama dan selari antara satu sama lain.
SELARI...setiap pergerakan perlu sama dan selari antara satu sama lain.

DI SATU sudut sekitar Taman Tasik Shah Alam, Selangor, kelihatan sekumpulan wanita dalam lingkungan usia 40-an ke atas menari bersama-sama diiringi alunan muzik rancak.

Daripada irama Melayu, tradisi India, salsa sehingga kepada hip hop, mereka menghayunkan tangan dan gerakan kaki mengikut alunan irama. Sama dan teratur.
Penuh berseni. Walaupun ada mata memandang melihatkan aksi mereka, apa yang penting kesihatan terjaga dan mereka dapat berkumpul dan beriadah bersama kawan-kawan.


  • Foto

    MODEN...selain tarian tradisional, tarian line adalah gabungan gerak tari moden yang memerlukan pergerakan seluruh badan.

  • Foto

    AJAR...Siti Norina turut mengajar golongan korporat dan pelajar sekolah.

  • Foto

    SEMANGAT...kumpulan tarian untuk Cuti-cuti Malaysia dan Citrawarna Malaysia.


Kebiasaannya gerak tari yang pantas mengikut alunan muzik menjadi pilihan kebanyakan wanita yang ingin bersenam dengan cara berbeza.

Namun begitu tarian rancak seperti aerobik hanya sesuai untuk golongan muda saja kerana pergerakannya lebih hebat, kuat dan pantas. Sebab itu bagi wanita berusia 40-an ke atas, tarian lemah gemalai, seperti tarian line menjadi pilihan mereka.

Pada asasnya tarian line adalah gabungan tarian seperti poco-poco, latin, salsa dan beberapa tarian moden seperti jazz dan hip hop. Walaupun jika dilihat pada pandangan kasar tarian ini agak berat, tetapi sebenarnya tarian ini dikategorikan sebagai tarian paling ringan dan amat sesuai untuk golongan wanita yang mementingkan kesihatan tubuh secara menyeluruh.

Menurut ketua tari, Siti Norina Abdul Aziz, 57, tarian line berbeza dengan jenis tarian yang lain. Antara kelainannya, ia ditarikan secara berkumpulan dan kesemua gerak tari dilakukan di dalam satu barisan.

Ia tidak banyak menggunakan pergerakan tangan kerana menitikberatkan pergerakan badan dan liuk lintuk serta koordinasi tubuh. Malah setiap gerak tari memberi kebebasan untuk tubuh badan bergerak dan mengeluarkan peluh.

“Koordinasi tarian line adalah melalui empat penjuru dan ditarikan tanpa menyentuh pasangan. Ada antara jenis tarian ini ditarikan menghadap antara satu sama lain, di dalam bulatan mahupun barisan yang terdiri daripada beberapa orang penari.

“Sebab itu tarian ini semakin diminati wanita berusia 40-an kerana selain lembut, senaman ini menggerakkan kesemua anggota badan dan menjanjikan penjagaan kesihatan bagi semua organ badan,” katanya.

Menurut Siti Norina, pendekatan yang digunakan dengan membawa kumpulan tarinya menari di tempat terbuka seperti taman tasik ini kerana ia lebih bebas, berbeza dengan senaman yang diadakan di kawasan tertutup seperti dewan atau gimnasium.

Malah, segala gerak tari yang ditunjukkan adalah bebas dan tidak terikat dengan mana-mana peralatan di gimnasium. Lebih penting, perjumpaan yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad ini menjadi aktiviti riadah dan pertemuan bagi suri rumah tangga juga kepada wanita berkerjaya untuk berjumpa serta bertukar pendapat.

“Disebabkan ada antara peserta sudah bercucu dan mempunyai anak remaja justeru, aktiviti ini memberi peluang kepada suri rumah menyertai aktiviti sihat selain dapat membuka minda mereka kepada permasalahan yang berlaku apabila masing-masing saling bercerita serta bertukar pendapat,” katanya.

Selain mengadakan kelas tarian di Taman Tasik Shah Alam, Siti Norina juga adalah tenaga pengajar bagi tarian Cuti-Cuti Malaysia untuk tahun keempat.

Dia yang mula meminati tarian sejak sekolah lagi memberitahu, semua tarian dipelajari menerusi laman Youtube yang pada mulanya dipelajari hanya sekadar untuk kesihatan diri sendiri.

“Ketika itu saya sudah berusia 50 tahun, jadi saya berasa penting mencari senaman yang dapat membantu saya kekal sihat dan cergas. Disebabkan meminati tarian sejak zaman remaja, jadi saya belajar pelbagai jenis tarian di Youtube kemudian saya praktikkan

di Taman Tasik Shah Alam. Melihat keunikan senaman yang saya tampilkan, sedikit demi sedikit ada yang menawarkan diri untuk menjadi peserta,” katanya.

Tidak seperti masyarakat Cina yang sangat mementingkan kesihatan, untuk menarik orang Melayu bersenam adalah sangat susah. Apatah lagi menyertai tarian line seperti ini kerana gambaran tarian ini mungkin kurang sesuai dengan faktor usia mereka.

“Tetapi lama-kelamaan selepas melihat keistimewaannya semakin ramai yang ingin mencuba malah kumpulan ini turut mengambil bahagian dalam tarian Cuti-cuti Malaysia dan Citrawarna yang diadakan pada setiap tahun di Dataran Merdeka,” katanya yang turut mengajar tarian untuk kaki tangan korporat dan pelajar sekolah.

Baginya Siti Norina, mengajar tarian kepada wanita yang sudah berusia tidaklah sesukar mana. Biasanya dia akan mengambil video setiap kali latihan diadakan kemudian setiap peserta akan melihat kelemahan mereka di dalam video dan cuba memperbetulkannya.

“Mungkin tarian yang sukar seperti hip hop memerlukan ketekunan disebabkan langkah tarian yang agak pantas. Namun jika selalu menari, alah bisa tegal biasa,” katanya yang turut berkebolehan menarikan tarian nasional pelbagai negara seperti Siam, Indonesia, India, Cina serta tai chi dan aerobik.

Bagi Afiza Abdul Aziz, 46, bekerja selama 25 tahun dalam bidang minyak dan gas dan akhirnya menjadi suri rumah sepenuh masa menyebabkan dia mengisi masa lapang dengan menyertai pelbagai aktiviti berfaedah, seerti kelas al-Quran dan berenang.

Namun sejak tiga tahun lalu, dia bertemu Siti Norina dan mula jatuh hati pada gerak tari yang ditunjukkan rakan seusia dengannya.

“Menari bukan setakat menjaga kesihatan tetapi perjumpaan bersama lebih 15 wanita menyebabkan kami semakin akrab ibarat seperti keluarga sendiri.

“Ini mengeratkan hubungan selain membolehkan kami bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain. Apa yang penting suami memberi keizinan dan menggalakkan saya menari,” katanya.

Dulu dia menyertai sebilangan masyarakat Cina dan kagum melihat kegigihan dan kesungguhan mereka menari. Walaupun sudah berusia 70 tahun tetapi mereka masih aktif dan sentiasa menjaga kesihatan.

“Mungkin semangat inilah yang boleh diambil wanita Melayu, tidak perlu membayar pada harga yang mahal ke gimnasium tetapi mereka boleh menyertai pelbagai aktiviti riadah yang diadakan di tempat terbuka asalkan kesihatan terjaga,” jelasnya.

Pada 2010, Afiza turut menjadi peserta tarian Cuti-cuti Malaysia dan Citrawarna Malaysia, juga pada tahun ini yang akan diadakan pada awal Disember ini.

“Saya teruja dapat menyertai acara terbesar yang mempamerkan keunikan tarian tradisional Malaysia. Memang bersemangat apabila menari di hadapan ribuan pengunjung dari dalam dan luar Malaysia,” katanya.

Pendapat yang sama turut dipersetujui Shamsiah Shamsuddin, 50, yang berasal dari Klang, Selangor. Mempunyai empat anak yang kesemuanya sudah melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi, Shamsiah kesunyian di rumah lalu menyertai tarian line di Taman Tasik Shah Alam.

“Ketika anak masih kecil memang saya sukar menyertai aktiviti riadah kerana sibuk menguruskan rumah tangga. Kini apabila semua anak sudah dewasa peluang yang ada saya gunakan sebaiknya. Lagipun suami dan anak-anak memberikan galakan untuk saya menyertai aktiviti riadah ini,” katanya.

Bagi Shamsiah, usia bukan penghalang untuk memilih aktiviti tarian yang biasanya dikaitkan dengan orang muda saja. Apa yang penting selain menjaga kesihatan, pergerakan tarian mengikut alunan lagu memberikan keseronokan kerana setiap langkah membawa makna tersendiri.

“Bagi saya pada usia sebegini, apa saja yang saya lakukan adalah atas kerelaan sendiri. Mungkin senaman seperti berjoging yang dilakukan seorang diri juga menyihatkan badan namun berbeza jika dilakukan secara berkumpulan.

“Minda saya lebih terbuka, jiwa lebih tenang manakala fikiran lebih bebas apabila bergerak mengikut alunan muzik. Apa yang penting kami gembira kerana dapat berkumpul bersama serta menyertai acara tarian Cuti-cuti Malaysia dan Citrawarna Malaysia pada setiap tahun dan pada masa sama menjaga kesihatan,” katanya yang mengakui tidak mempunyai sebarang penyakit sejak menari.

Dengan kebolehan yang dimilikinya kini, Shamsiah turut membuka kelas tarian pada setiap petang Sabtu dan malam Selasa di Galeri Datuk Rahman Palil di Klang bagi memberi peluang kepada wanita di kawasan sekitar bersenam sambil beriadah bersama kawan-kawan.



Kelebihan menari:

  • Tarian rancak yang memerlukan pergerakan tubuh akan membentuk postur yang lebih menarik.

  • Memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain ketika berlatih menari.

  • Pergerakan aktif ketika menari dapat membantu melancarkan peredaran darah dan darah dipam lebih secara baik ke jantung sekali gus meningkatkan daya tahan kardiovaskular.

  • Menari adalah latihan ketajaman fikiran dan daya ingatan kerana peserta perlu menghafal gerak tari bersama-sama dengan rakan pasukan yang lain.

  • Menari adalah aktiviti riadah yang berkesan bagi menerapkan nilai sosial yang baik seperti bersabar, memahami masalah orang lain, meluahkan pendapat serta sifat tolong menolong antara satu sama lain
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: