PENGALAMAN menyaksikan persembahan bintang tersohor, Sir Elton John yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada Rabu lalu bagaikan sebuah mimpi dan pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
Persembahan yang berlangsung selama dua setengah jam itu disaksikan seramai 5,000 peminat pelbagai usia dan bangsa.
Suasana sejuk dan berkabut tebal di sekitar puncak Genting Highlands ketika itu membuatkan kita seolah-olah berada di luar negara, sesuai dengan persembahan Elton John yang bertaraf antarabangsa.
Rata-rata teman-teman wartawan yang hadir menyaksikan persembahan tersebut merasai seperti apa yang saya perkatakan.
Sekitar pukul 6 petang, para peminat sudah mula membanjiri kawasan sekitar Arena of Stars dan pintu mula dibuka pukul 7 malam. Ruang mula penuh bila jam menunjukkan tepat pukul 8 malam dan persembahan dimulakan dengan persembahan dua pemain cello bangsa Croatia, Luka Sulic da Stjepan Hauser yang menggelar kumpulan mereka 2Cellos.
Suasana di Arena of Stars agak senyap seketika dek kerana keasyikan mendengarkan gesekan cello daripada dua bintang yang popular menerusi YouTube itu.
Debaran untuk melihat Elton John muncul di atas pentas sememangnya dinantikan. Para peminat yang hadir memberikan tepukan yang begitu gemuruh apabila dia muncul dengan lagu pertamanya Saturday Night's Alright.
Selain mendendangkan lagu-lagu hitsnya dalam persembahan tersebut, kehebatannya bermain piano secara profesional sepanjang konsert berlangsung sememangnya tidak dapat disangkal lagi.
Dengan usia sedemikian, 64, Elton John dapat mempersembahkan petikan pianonya sambil menyanyikan dua puluh enam buah lagu sepanjang konsert tersebut.
Sebahagian penonton yang ada di situ tidak melepaskan peluang menyanyi bersama bila berkumandang lagu hitsnya Don't Let Sun Go Down on Me, Standing, Sacrifice dan Sad Songs.
Setelah sejam persembahan berlalu, suasana dingin di kota keriangan, Genting Highlands menjadi bertambah hangat bila persembahan Elton John mendapat reaksi penonton.
Para penonton yang mungkin pada awalnya agak segan-segan untuk berdiri dan menari serta menyanyi bersama, akhirnya tidak dapat menahan gelora ataupun aura persembahan Elton John.
Pujian harus diberikan kepada Elton John, kerana sikap sopan dan menghormati penonton yang sanggup berhabisan wang membeli tiket konsert dengan caranya tersendiri.
Setelah selesai menyanyikan setiap lagu, dia akan bangun dan berjalan ke sebelah kiri dan kanan pentas sambil tunduk ke arah penonton.
Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah, Levon, Madman, Holiday Inn. Tiny Dancer, Phily, Blues, Daniel, Sorry, Bennie, Your Song, Croc Rock, Honky Cat dan Hey Ahab.
Persembahan Elton pada malam itu dimantapkan lagi dengan paduan suara empat penyanyi latar, Rose Stone, Lisa Stone, Tata Vega dan Jean Witherspoon.
Begitulah kebiasaannya bila menyaksikan persembahan sesebuah konsert, selagi tidak menyanyi dan berdiri sambil menari, seolah-olah penonton kurang menjiwai sesebuah persembahan yang ternyata hebat.
Rata-rata para penonton yang hadir pada malam itu terdiri dari golongan usia 35 tahun ke atas. Selain beberapa artis tempatan, VVIP juga turut hadir menyaksikan persembahan tersebut.
Konsert yang diberi nama Elton John & Band Greatest Hits Tour itu merupakan projek pertama Tune Live, yang memainkan peranan penting untuk dunia hiburan dalam Tune Group.
Penyanyi yang melebihi 40 tahun berkarier sebagai penyanyi ini bagaimanapun kurang berinteraksi dengan penontonnya pada malam itu. Bagaimanapun penonton tidak merasakan perkara itu memberi impak pada keseluruhan persembahan.
Bagi mereka kehadiran penyanyi yang pernah mendapat lima anugerah Grammy Awards ini di atas pentas mendendangkan lagu-lagu hits sudah memadai.
Pada mulanya pihak penganjur telah menyatakan syarat yang agak ketat berkaitan kebenaran mengambil gambar penyanyi itu ketika mengadakan persembahan. Seperti yang saya pernah lalui sewaktu menyaksikan konsert penyanyi bertaraf antarabangsa yang lain, mengambil gambar sememangnya dilarang sama sekali.
Oleh itu ramai di antara penonton tidak membawa kamera kerana takut tidak dibenar membawa masuk. Namun syarat yang tertera di atas tiket masuk tidaklah seketat yang disangka.
Bagi mereka yang membawa masuk kamera setidak-tidaknya dapat merakamkan gambar Elton John biarpun dari jauh.
Sebelum bermulanya konsert pada malam itu, saya sempat berborak dengan pihak penganjur dan difahamkan Elton John pada awalnya dirancang menaiki helikopter ke lokasi.
Keadaan berkabut yang begitu tebal tiga jam sebelum konsert bermula di puncak Genting Highlands, rancangan itu dibatalkan.
Apa pun, persembahan Elton John pada malam itu ternyata hebat dan memukau kerana selama ini dia dan persembahannya hanya dapat dilihat menerusi kaca televisyen sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: