Monday, November 28, 2011

Bukan tamak! - Keena


iki

Berada dalam lapang sasar dunia hiburan, dapat merealisasikan sikit demi sedikit, impian bekas finalis Mentor 3, bergelar penyanyi.

Bagi pemilik nama sebenar, Suriana Ab Wahab atau Keena, peluang ini pastinya tidak akan disia-siakan. Bukan senang untuk memulakannya tambahan pula dunia hiburan kini mempunyai saingan sengit.

Berbekalkan semangat dan bakat yang ada, Keena sentiasa gigih dan tidak mengalah mencari peluang dari pelbagai ruang yang ada.

“Keena sememangnya masuk ke dunia hiburan ini untuk bergiat aktif mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian. Ini kerana sejak kecil lagi sudah didedahkan dalam bidang muzik memandangkan semua abang-abang Keena adalah peminat rock.

“Namun setelah mencuba nasib, Keena berjaya berpeluang menonjolkan diri menerusi rancangan Mentor. Platform ini yang Keena cari dan perlukan selama ini memandangkan sebelum ini Keena hanya berpeluang menjadi penyanyi di sebuah kelab sahaja.

"Syukur pada Tuhan, nampaknya rezeki Keena bukan sahaja dalam bidang nyanyian ini. Perkembangannya sihat dalam kerjaya ini dapat dilihat setelah banyak peluang lain turut hadir termasuklah dalam bidang lakonan,” ujarnya ketika ditemui Zass.

Berpeluang menerima watak yang tidak kurang hebat, Keena mampu menonjolkan bakat terpendam yang dimilikinya selama ini. Antara drama berjaya mencuri hati penerbit, Hotel Mania, Di Hujung Taubat, Durian vs Timun dan terbaru, drama 13 episod, Musim Kirana yang sedang dalam pembikinan.

“Bukan sahaja berlakon dan menyanyi, Keena akan mencuba pula nasib dalam bidang pengacaraan tidak lama lagi.

“Jangan salah anggap lagi tentang Keena, bukan bermakna tamak atau tergesa-gesa melakukannya. Bila sudah ada peluang di depan mata tidak salah rasanya untuk mencuba.
"Belum cuba belum tahu untung nasib kita, mana tahu peminat juga boleh menerima Keena dalam bidang baru ini.

"Apa yang pasti setiap apa yang diceburi akan diberi fokus agak kualiti yang diberikan tidak menghampakan banyak pihak,” katanya yang memahami orang baru sepertinya perlukan kesabaran untuk mencipta nama.

Tak Lupa Awie

Selepas berjaya menghasilkan single pertama, Cinta Luluh, protege kepada penyanyi rock, Awie, ini berusaha menghasilkan single kedua bagi menghangatkan kembali bidang nyanyiannya.

“Kejayaan Cinta Luluh amat membanggakan sebab selain daripada menjadi single pertama, turut diguna pakai dalam drama terbaru lakonan Keena, Musim Kirana.”

“Single kedua bakal keluar tidak lama lagi. Keena tidak mahu mereka yang mengenali Keena melalui bidangan nyanyian akhirnya lupa bahawa Keena berasal daripada seorang penyanyi.

"Bidang nyanyian adalah keutamaan Keena, selain turut aktif dalam bidang lakonan. Keena minat menyanyi sejak di usia lapan tahun lagi jadi Keena tidak akan tinggalkannya," ujarnya yang sangat meminati genre rock.

Menurut Keena, dia juga berharap dapat berduet dengan mentornya, Awie, yang sehingga kini dianggap sebagai sifunya.

“Dalam bidang nyanyian ini, abang Awie banyak membantu. Hubungan kami masih baik walaupun rancangan Mentor sudah berakhir. Dia masih lagi mencari ruang untuk melihat perkembangan Keena dan memberikan beberapa nasihat untuk Keena terus berjaya dari masa ke semasa.

“Dalam menghasilkan single ini pun, ada juga kami berbincang agar hasil yang Keena berikan ini memuaskan. Keena berguru dengan Awie jadi secara tidak langsung apa yang Keena hasilkan akan membawa namanya sekali,” ujarnya.

Selesa membawakan genre rock, Keena bagaimanapun, tidak menafikan ada segelintir peminat mempertikaikan konsep yang dibawa.

"Imej yang Keena bawakan adalah rock. Tidak semua rock itu adalah keras jadi bagi pendengar lagu Cinta Luluh ini mungkin agak berbeza penerimaan mereka kerana lagu ini agak meleleh dan perlahan sedikit. Jika dihayati ia lebih kepada ketuhanan.

"Namun Keena rasa ini lagu yang amat sesuai, walaupun ia agak berbeza dengan genre yang dibawa oleh Keena namun pemilihan lagu ini adalah yang tepat untuk memulakan karier.
"Perjalanan karier Keena masih panjang dan buat permulaan ini adalah hasil yang mampu diketengahkan. Jangan silap mentafsir, esok atau lusa masih ada banyak lagi yang akan Keena tampilkan. Nantikan sahaja single yang terbaru, mungkin ada lagi kelainan dan kejutan yang baru," ujarnya penuh yakin.

Wakil negara ke Bangkok

Walaupun masih boleh dikategorikan sebagai bakat baru, Keena bakal mewakili negara ke Thailand pada 29 November ini, sempena konsert yang disertai beberapa negara Asia yang lain.
Keena berkata, konsert yang diadakan di Bangkok ini, akan lebih bermakna bukan sahaja dirinya yang membawa nama Malaysia malah berpeluang membuat persembahan di hadapan pembesar-besar Thailand termasuk rajanya dan juga wakil-wakil negara seluruh Asia.

“Terasa amat bangga bukan sahaja dapat beraksi di luar negara, tetapi Keena dapat juga membuktikan keupayaan dalam bidang seni suara ini, khususnya.

“Di sana Keena akan membawakan lagu Cinta Luluh dan Wakaka oleh Syakira yang mana telah dipilih oleh pihak penganjur sendiri.

"Hampir 80 buah negara menghantar wakil dan yang pasti mereka cukup hebat dalam bidang ini. Namun semangat Keena tidak gentar untuk turut sama mempertaruhkan bakat yang dimiliki ini dan pastinya Keena akan melakukan yang terbaik,” akhirinya penuh teruja.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: