BUKAN mudah untuk artis kita mahu menembusi pasaran Indonesia. Penerimaan masyarakat di sana tidak semudah kita menerima kehadiran mereka ke sini sebaliknya perlu dilakukan dengan usaha yang lebih keras.
Satu persatu nama-nama besar kita yang mencuba nasib di sana. Tapi sayang, apa yang diharap langsung tidak dijelmakan dengan kejayaan yang mampu untuk dibanggakan. Ada yang sekadar singgah tapi tidak memberi impak besar.
Yang bertuah hanya beberapa nama. Antara yang pernah mencipta fenomena di sana termasuklah Search, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid.
Pada 19 hingga 23 November yang lalu, kumpulan Bunkface tampil ke Jakarta untuk rencana aktiviti mereka. Bunkface sebenarnya telah dijemput oleh penganjur di sana untuk menyertai festival muzik Urban Fest yang sudah menjadi festival tahunan.
Festival yang menghimpunkan ratusan kumpulan indie seluruh dunia berlangsung selama dua hari yang menyaksikan persembahan hebat kumpulan-kumpulan muzik yang dijemput khusus.
Menariknya, walaupun kehadiran Bunkface belum begitu besar impaknya di sana, kebanyakan peminat tahu dan menyanyi ke semua lagu-lagu mereka.
Melalui lagu, Bunface sebenarnya sudah mengembangkan sayap ke Indonesia. Buktinya walaupun ada di antara peminat mereka yang langsung tidak mengenali mereka, tapi mereka boleh menyanyikan lagu dengan baik.
Peranan media baru seperti Youtube, Facebook dan Twitter cukup berkesan dalam mempromosikan kumpulan yang cukup popular dengan lagu Situasi ini ke sana.
Tidak hanya melakukan persembahan di Urban Fest semata-mata, Bunkface juga turut mengadakan persembahan mereka di Hard Rock Cafe (HRC), Jakarta pada hari berikutnya.
Paling tidak pada petang 21 November itu Bukface telah membuktikan yang mereka memang kumpulan yang hebat dengan persembahan penuh bertenaga dan memukau khalayak yang hadir.
Buktinya ada lima syarikat rakaman gergasi Indonesia yang turun padang melihat sendiri persembahan mereka. Masing-masing cukup tertarik untuk membawa Bunkface ke satu fasa yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Teruja dengan impian
“INI bukan impian kami tapi impian semua. Memang kami cukup mengharapkan agar dapat masuk ke pasaran Indonesia dan melebarkan sayap di sana. Cuma semua itu perlu kerja keras yang tak pernah jemu,” kata Sam ketika diminta mengulas mengenai kehadiran mereka di Indonesia baru-baru ini.
Bagi Sam, apa yang diimpikan mereka bukan sekadar angan kosong sebaliknya melalui pelbagai perancangan yang telah diatur melalui Bunkface Production, In Digital, AirAsia, Jamu Mak Dara dan beberapa pihak lain di sana.
“Paling membanggakan kami dapat buat persembahan di HRC yang turut dihadiri oleh wakil syarikat rakaman di sini. Ada maklum balas yang positif dan hanya menunggu masa sahaja.
“Beberapa syarikat sudah ada membuat tawaran tetapi rundingan masih lagi berjalan untuk kami. Ini petanda awal yang kehadiran kami bukan sia-sia sebaliknya berjaya.
“Impian kami bertiga nak jelajah seluruh Indonesia. Itu memang hasrat kami sejak awal lagi. Bukan tak mampu untuk ke negara lain yang lebih mencabar tetapi lebih baik kita dahulukan negara serumpun.
“Kami ada lagu Inggeris dan kami ada lagu Melayu. Sudah pasti untuk ke negara luar selain Indonesia lagi mudah. Tapi adakah mereka akan menerima lagu Melayu kami dengan baik.
“Jadi lebih baik kami menumpukan kepada Indonesia terlebih dahulu sebelum ke tempat lain. Kalau apa yang kami hajatkan itu berjaya, barulah kami akan ke tempat lain,” jelas Sam.
Selain Sam, Bunkface juga turut dianggotai oleh Paan dan Youk.
Konsert HRC
Usai petang itu, Bunkface sempat mendendangkan lagu-lagu popular yang ada dalam album Phobia Phony seperti Bunk Anthem, Soldier, Situasi, Dunia, Revolusi, Prom Queen dan banyak lagi.
Juga tiga lagu baru yang turut diperdengarkan seperti Panik, Bunk Not Dead dan Kita Perang Kita Menang yang sungguh mengujakan seluruh peminat yang memenuhi HRC.
“Bunkface perlu naik satu lagi tahap sebenarnya. Bukan tak selesa dengan apa yang kami dah ada tapi kalau boleh kami semua nak lebih pendedahan di luar negara.
“Kami nak banggakan Malaysia yang pemuzik macam kami mampu untuk berdiri hebat di mata orang lain. Paling tidak pun muzik boleh menyatukan kita semua yang selalu bertelagah dalam beberapa isu sensitif,” luah Sam lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: