BAHANA cuba berjenaka tanpa mengambil kira faktor peribadi menyebabkan Sobri daripada kumpulan Bawal Power (BP) ditegur oleh pengkritik tetap Maharaja Lawak Mega (MLM), Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan) pada minggu kelima, Jumaat lepas.
Teguran Chef Wan terhadap Sobri ekoran peserta itu memberikan serangan berbaur peribadi terhadap penulis kolum hiburan akhbar mingguan arus perdana, baru-baru ini.
Kolumnis hiburan berkenaan, menegur Sobri yang mempersendakan penyanyi yang pernah popular sekitar tahun 1980-an, Zaiton Sameon.
Justeru, Sobri yang ternyata tidak berpuas hati terhadap penulisan tersebut, dilihat seolah-olah menjadikan persembahan BP minggu lepas di pentas MLM sebagai platform untuk mencabar dan mengutuk kolumnis berkenaan.
Selepas BP mengadakan persembahan, Chef Wan dalam komennya menasihati Sobri agar tidak mengulangi tindakannya yang bukan sahaja tidak profesional tetapi juga lebih cenderung ke arah serangan peribadi.
“Sepatutnya perkara sebegini tidak harus berlaku. Apa yang awak lakukan dengan mempersendakan kembali kolumnis tersebut merupakan satu langkah yang tidak bijak.
“Sepatutnya dalam situasi begini, BP seharusnya lebih profesional dan tidak menyentuh sensitiviti sebarang pihak.
“Cuba bayangkan jika dia sendiri berada di pihak keluarga Zaiton. Apakah perasaannya apabila anggota keluarga menjadi bahan jenaka dan disenda?
“Apa yang penting, ketika berjenaka, janganlah menyentuh sehingga menyakitkan hati orang lain dan sekali gus, tidak sensitif,” ujar Chef Wan dalam sidang akhbar sejurus tamat persembahan 10 peserta MLM pada minggu kelima.
Sebelum ini, Chef Wan pernah memberi peringatan kepada semua para peserta MLM yang gemar menggunakan individu termasuk barisan juri, sebagai bahan lawak mereka.
Teguran itu dibuat pada minggu ketiga MLM. Pada minggu keempat, Chef Wan tidak duduk di barisan juri kerana berada di Singapura.
Sementara itu, seperti yang telah dijangka, Hits gagal mendapatkan komen kumpulan BP terutamanya Sobri kerana difahamkan mereka terus beredar sebaik MLM tamat bersiaran.
Selain Sobri, Chef Wan turut menegur peserta tunggal solo, Adlin Aman Ramli yang masih lagi menggunakan pendekatan jenaka berunsurkan lucah atau dobule meaning.
Chef Wan berkata, bahan jenaka seperti itu agak kurang sesuai kerana program realiti televisyen itu yang disiarkan secara langsung di Astro Warna, Astro pada setiap Jumaat, 10 malam, turut ditonton oleh kanak-kanak.
“Adlin mempunyai bakat dan berkebolehan menghidupkan sesuatu karakter, namun, dalam masa yang sama dia juga harus peka dengan apa yang disampaikannya.
“Jadi, saya mengharapkan pada persembahan seterusnya nanti, bukan sahaja Adlin, malah semua peserta MLM agar peka dengan lawak mereka,” kata Chef Wan yang turut memuji persembahan kumpulan Boboi dan 3G yang dilihat konsisten.
Minggu lepas, para peserta MLM perlu membuat persembahan bertemakan purbakala yang mana, rata-rata persembahan peserta agak hambar dan kurang mencuit hati berbanding dengan persembahan pada minggu-minggu sebelum ini.
Malahan, kata Chef Wan persembahan peserta pada minggu kelima kali ini juga kurang menyengat.
“Sebenarnya kami mengharapkan persembahan yang semakin meningkat memandangkan ia kini sudah memasuki minggu kelima.
“Namun, apa yang kami jangkakan jauh meleset kerana kebanyakan peserta pada minggu ini tidak dapat mencapai tahap yang kami kehendaki.
“Ini merupakan pentas otai-otai lawak untuk beraksi, jadi kami sememangnya menjangkakan sesuatu yang berkualiti setiap kali persembahan diadakan,” tegas beliau.
Selain itu, juri yang dikenali melalui komennya yang jujur dan sedikit pedas ini juga mengatakan, kebanyakan peserta lari daripada tema.
“Saya lihat kebanyakan peserta pada malam ini lebih banyak memberi perhatian kepada kostum daripada isi persembahan mereka.
“Apa yang lebih penting sekarang ialah pengisian persembahan yang mengekalkan momentum lawak tanpa perlu membuat kita semua tertunggu-tunggu untuk ketawa,” katanya yang mengharapkan persembahan pada minggu hadapan lebih baik daripada minggu ini.
Pada minggu kelima, kumpulan Boboi mengekalkan takhta dengan 64 markah diikuti oleh 3G (56 markah), Pimai (55 markah), manakala kumpulan Syok dan Bawel dari Indonesia berkongsi kedudukan dengan 45 markah.
Menduduki tangga terakhir kedudukan MLM pada minggu kelima dengan berkongsi mata ialah BP, Adlin dan Saehu (42 markah).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: