HARI itu sangat panas. Matahari seperti berada betul-betul di atas kepala. Namun bahang matahari tidak menghalang orang ramai yang melintasi sebuah kedai yang menjual lembu korban di sebuah pekan di Depot, Jakarta Selatan, Indonesia untuk melihat siapa gerangan empat gadis jelita berpakaian ala koboi.
Tanpa menghiraukan panas terik serta pandangan orang ramai, keempat-empat gadis itu ralit melayan pertanyaan pelanggan mengenai lembu-lembu yang dijual di bilik pameran haiwan korban atau dikenali sebagai Hotel Haiwan Korban di situ.
Senario itu amat janggal sekali. Masakan tidak, tentunya aneh melihat gadis-gadis cantik seperti Avianti, Lidya, Titis dan Reyka di pusat jualan itu mempromosikan lembu.
Lembu yang mahu dijual itu pula ialah untuk digunakan sembelihan sempena ibadah korban oleh umat Islam sebagai menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha.
Berada di sekeliling ratusan lembu, pembaca pasti dapat membayangkan bagaimana suasananya.
Usahkan bau najis lembu, air kencingnya juga sudah cukup membuatkan ramai yang ‘pening kepala’.
Ruang lingkup kerja mereka yang penuh dengan kotoran lembu dan makanan berupa rumput tidak menjadi halangan kepada jelitawan-jelitawan itu.
Dan mereka sudah lali serta sangat senang dengan persekitaran sedemikian.
Kesemua mereka digajikan oleh Haji Romdoni atau lebih mesra disapa sebagai Haji Doni untuk membantu mempromosikan lembu-lembu korban jualannya sempena sambutan Hari Raya Haji pada 6 November ini.
Khidmat mereka dikenali sebagai cowgirls dengan pantas menarik perhatian pelanggan. Apa lagi dengan publisiti meluas yang diberikan oleh media tempatan menyebabkan perniagaan Haji Doni berkembang dengan pesat sekali.
Namun, Haji Doni menafikan bahawa khidmat Gadis Promosi Jualan (SPG) itu sebagai ‘umpan’ untuk melariskan jualan.
Sebaliknya, khidmat sedemikian tegasnya, membantu memberi penerangan mengenai haiwan yang ingin dibeli pelanggan bagi menyempurnakan ibadah korban.
“Tugas utama gadis-gadis (SPG) ini ialah memberi penerangan mengenai tawaran jualan lembu korban kepada pelanggan.
“Jangan sesekali dianggap mereka sebagai pelaris kerana sudah menjadi tradisi setiap kali musim korban, orang ramai yang mahu melaksanakan ibadah korban pasti akan mencari lembu atau kambing,” katanya ketika ditemui di Hotel Haiwan Korban di Depok, Jakarta Selatan, baru-baru ini.
Beliau yang memperkenalkan konsep SPG sejak tahun 2007 mengakui, khidmat gadis-gadis berkenaan banyak membantu perniagaan beliau melayani para pelanggan.
Kepada sebilangan besar daripada kita, khidmat jurujual cowgirls mungkin sesuatu yang baru namun hal ini sudah menjadi satu kebiasaan dalam perniagaan lembu di Australia, kata Haji Doni.
Untuk itu, beliau juga telah menggaji 40 cowgirls secara tetap sebagai jurujual lembu, yang merupakan perniagaan utamanya sementara di luar musim Hari Raya Korban, gadis-gadis promosi jualan ini membantu jualan lembu di ladangnya di sebuah tempat dalam kawasan Depok.
Salah seorang daripada gadis jurujual promosi di bilik pameran Haji Doni, Avianti yang ditemu Mega memberitahu, dia sangat menyenangi kerja yang dilakukannya itu biarpun suasana tempat bekerja kurang menyenangkan dengan najis lembu yang dipamerkan di situ.
Kepada Avianti, biar apa sekalipun pandangan orang ramai, dia tidak pernah mengeluh untuk bekerja sebagai jurujual lembu korban kerana yang penting dia berpeluang membantu orang ramai yang tidak memahami haiwan korban yang mahu dibeli.
“Saya senang sekali dengan pekerjaan ini. Bukan semua orang yang mengetahui hal-hal yang melibatkan sapi (lembu).
“Saya dan teman-teman sangat bertuah kerana dapat menawarkan perkhidmatan ini. Soal bau kurang senang ia hanya permulaan saja. Lama-kelamaan kami sudah lali,” akui gadis berusia 21 tahun yang juga seorang mahasiswa di sebuah universiti tempatan.
Temannya, Reyka yang sebaya dengannya juga berkongsi keseronokan bekerja sebagai jurujual lembu korban kerana dia mendapat banyak ilmu mengenai haiwan berkenaan yang selama ini tidak pernah dipedulikannya.
Sebelum turun ke gelanggang untuk menjual lembu, dia serta rakan-rakannya yang lain diberikan latihan dan pendedahan dalam waktu yang singkat mengenai hal ehwal lembu.
“Kini saya dan teman-teman sudah mampu memberikan khidmat nasihat mengenai hal-hal yang berkaitan lembu daripada jenis dan kelebihan sapi (lembu) serta memberi tawaran harga kepada yang yang berminat untuk membeli haiwan berkenaan untuk sembelihan sempena ibadah Aidiladha kelak,” jelasnya yang mengakui upah yang diterima hasil pekerjaannya itu sangat berbaloi dengan tugasnya.
Dalam perbualan dengan gadis-gadis itu, mereka petah memberi penjelasan mengenai kelayakan seekor lembu yang mahu disembelihkan harus mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan oleh agama.
Biarpun tugas sebagai jurujual promosi lembu korban di bilik pameran milik Haji Doni itu terbatas untuk tempoh kurang sebulan, namun, kesemua gadis berkenaan bekerja secara syif.
Mereka dibahagikan kepada dua syif iaitu syif pagi bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang sementara syif berikutnya pula bermula pukul 1 tengah hari dan berakhir 8 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: