|
|
LEWAT kebelakangan ini memang cukup heboh diperkatakan tentang perkahwinan pasangan kekasih, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani yang dikatakan akan berlangsung pada Februari depan.
Bukan itu sahaja, Astro juga dikatakan bakal menjadi stesen rasmi majlis perkahwinan yang bakal diadakan dalam suasana gilang-gemilang. Dalam erti kata lain, perkahwinan mereka itu bakal menjadi wedding of the year.
Atas alasan itu, Lisa dan Yusry juga dikhabarkan sibuk membuat persiapan perkahwinan mereka termasuk menempah barangan serta pakaian untuk hari bersejarah nanti.
Apakah benar desas-desus yang sedang hangat diperkatakan ketika ini? Peluang bertemu dengan Lisa usai majlis pratonton filem Ombak Rindu di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Hits mengambil kesempatan untuk bertanyakan perihal tersebut.
Dalam nada penuh diplomasi, Lisa menafikan dirinya dan Yusry kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan seperti mana yang digembar-gemburkan.
"Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita itu timbul kerana kami memang tidak membuat sebarang persiapan ketika ini.
"Abang (panggilan manja untuk Yusry) sedang sibuk dengan penggambaran filem Vikingdom dan saya juga ada agenda sendiri. Jadi, mana mungkin kami membuat persiapan ketika ini.
"Seperti mana yang pernah saya katakan sebelum ini, adalah lebih baik jika abang yang jelaskan semuanya tentang perkara selanjutnya. Kalau saya yang asyik bercerita, memang tidak manis.
"Insya-Allah, abang akan menamatkan penggambaran Vikingdom pada 20 Disember ini. Jadi, selepas itu, bolehlah mendapatkan sebarang pengesahan daripadanya," ulas Lisa yang tidak mahu berlebih-lebihan bercerita tentang kisah cintanya bersama Yusry kerana bimbang menjadi bahan cemuhan masyarakat.
Dalam perkembangan lain, pemilik nama penuh Lisa Surihani Mohamed ini memberitahu, dia tidak mahu dikaitkan dengan sebarang kisah silam Yusry.
Baginya, apa yang pernah berlaku dalam hidup Yusry adalah kenangan silam dan sebagai orang baru dalam hidup Yusry, Lisa tidak mahu mencampuri cerita lama kekasihnya itu.
Apa yang penting, kehadirannya dalam hidup Yusry bagi menempuh perjalanan mereka di masa akan datang.
"Saya tidak kisah dengan status Yusry sebagai seorang duda. Bagi saya, dalam perhubungan, masa bukanlah penentu untuk kita layak atau tidak bersama dengan orang yang kita sayangi itu.
"Sebagai contoh, saya sendiri pernah menjalinkan hubungan selama lapan tahun tetapi ia berakhir juga. Walaupun saya bersama Yusry tidak sampai setahun, tetapi kami memiliki keserasian.
"Saya fikir saya tidak mahu ulas lanjut tentang hubungan dengan Yusry. Biarlah masa yang menentukan dan apabila tiba waktunya nanti, barulah kita menerangkan perkara yang sepatutnya," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Lagenda Budak Setan.
Peluang terbaik
Menyentuh tentang lakonannya dalam Ombak Rindu, Lisa menjelaskan ia adalah peluang terbaiknya untuk bekerjasama dengan pengarah dan pelakon hebat.
Apatah lagi, dia sendiri mengagumi karya Osman Ali sebelum ini dan sebagai bakat baru, adalah menjadi impiannya untuk berlakon di bawah arahan Osman.
Begitu juga apabila dia berpeluang bergandingan bersama Maya Karin dan Aaron Aziz dalam filem yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari itu.
Membawakan watak Mila yang obses meskipun mengetahui Hariz (Aaron) tidak lagi mencintainya, Lisa menyifatkan watak tersebut memberi dimensi baru kepada lakonannya.
"Saya lebih suka mengatakan Mila bukan watak antagonis tetapi karakternya sukar diramal dan banyak dipengaruhi senario sekelilingnya.
"Malah, saya percaya dalam diri kita sendiri pun ada watak sedemikian apabila ada sesuatu yang membuatkan kita marah dan tidak puas hati kerana tidak mendapat apa yang diinginkan," katanya yang mengakui, tiada masalah ketika di lokasi .
Lisa sempat berkongsi cerita lucu sewaktu melakonkan adegan atas katil bersama Aaron.
"Sebelum adegan itu, saya baru sahaja memakan lebih kurang 10 ulas petai dan telah meninggalkan bau yang sangat kuat. Dalam masa yang sama, saya baru dapat tahu bahawa Aaron tidak sukakan petai.
"Dengan pantas saya mengunyah gula-gula getah dengan banyak untuk menghilangkan bau mulut tetapi nampaknya ia tidak hilang.
"Penggambaran perlu dilakukan dan ketika itulah wajah Aaron berubah yang memberikan hasil yang menarik seperti mana dapat ditonton di layar," kata Lisa dalam derai tawa.
Ombak Rindu terbitan Tarantella Pictures, kerjasama Astro Shaw itu akan mula ditayangkan pada 1 Disember ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: