Sistem perparitan

JOHOR BAHRU – Sistem perparitan yang didakwa tidak diselenggara dengan baik sejak sekian lama menjadi punca kepada dua keluarga di Kampung Melayu, Kangkar Pulai, di sini, sering dilanda banjir terutamanya ketika hujan lebat berterusan.

Mangsa, Mohd Bahran Dollah Kanan, 71, berkata, masalah itu menyebabkan banjir kerap berlaku sekiranya hujan lebat berterusan kira-kira tiga jam.

“Pakcik sudah tua dan tak larat nak kemas. Nasib baik ada anak dan cucu-cucu yang tinggal bersama membantu membersihkan rumah. Setiap kali banjir, pelbagai barang yang tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dibuang.

“Tahun ini sahaja sudah dua kali banjir berlaku. Macam semalam (kelmarin), banyak peralatan rumah, kami tak sempat nak alihkan. Air naik dengan cepat hingga paras lutut,” katanya ketika ditemui semasa program lawatan rumah mangsa banjir di Kampung Melayu, Kangkar Pulai, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Gelang Patah, Nasir Hashim dan Ketua Pemuda Umno Kangkar Kulai, Faizal Supada.

Bagi Md Sahak Aman, 63, berkata, dia dan anak-anaknya yang tinggal bersama sempat mengalihkan pelbagai peralatan rumah, namun mahu permasalahan itu diselesaikan segera berikutan terpaksa berdepan dengan pelbagai kerugian.

“Sejak masalah banjir ini berlaku, sudah banyak kali kami terpaksa menukar peralatan elektrik seperti peti ais dan televisyen.

“Oleh itu, saya sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan. Kerja naik taraf dan memperbesar longkang dapat dilakukan seberapa segera mungkin,” katanya yang sudah menetap di kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh berkata, sejurus mengetahui dua keluarga terbabit dengan banjir, beliau terus memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan kecemasan segera.

“Mengenai hal perparitan terbabit, kami akan mengusahakan agar tindakan susulan dapat diambil segera bagi menyelesaikan masalah yang dialami oleh kedua-dua keluarga tersebut. Harap longkang tersebut dapat dibersihkan yang sekurang-kurang bagi memudahkan pengaliran,” katanya.