60 pelajar konvoi berbasikal

PARIT KERIMON - Se­ra­mai 60 pelajar yang sedang menunggu keputusan pepe­riksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) berkonvoi dengan menaiki basikal bagi mengedarkan risalah Kempen Menjauhi Dadah kepada masyarakat setempat.

Wakil Pegawai Agensi An­ti Dadah Kebangsaan (AADK) Pontian, Faridah Sukri berkata, penyertaan golongan muda dalam program konvoi berbasikal ini adalah antara pendekatan yang diguna pakai bagi mendekati dan memotivasikan mereka supaya menjauhi najis dadah.

Menurutnya, selain aktiviti riadah yang sihat, ia juga turut memberi peluang kepada golongan pelajar ini membantu golongan kurang berkemampuan.

“Selain mengedar risalah di beberapa tempat di sepan­jang laluan dari Taman Megah Pontian, ke Benut, konvoi turut singgah di beberapa rumah orang kurang berkemampuan di Pekan Sanglang.

“Ini sedikit sebanyak membantu pembentukan jati diri pelajar supaya mempunyai sikap bantu-membantu dan bukan sekadar berkonvoi sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari Program Konvoi Kemanusiaan Remaja Berbasikal Fixie di Parit Kerimon, tengah hari semalam.

Katanya, penganjuran program konvoi ini dapat dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar yang kini sedang bercuti supaya memilih aktiviti yang bermanfaat untuk dilakukan.

Sementara itu Ketua Pasukan Konvoi, Mohd Firdaus Othman, 16, dari Sekolah Menengah Dato Ali Haji Ahmad (SDAHA), Pontian berkata, program selama sehari itu sangat menyeronokkan dan bermanfaat.

Katanya, selain dapat menambahkan lagi kenalan, dia juga dapat mempelajari sesuatu yang baru iaitu membantu orang yang dalam kesusahan tidak kira dalam apa jua bentuk sumbangan.

Firdaus yang menggemari aktiviti berbasikal itu berkata, sepanjang cuti persekolahan dia akan banyak menghabiskan masa bersama Kelab Ba­sikal SLC Pontian meman­dangkan banyak aktiviti telah dirancang.

Bagi Mohd Fazli Jailani, 16, dari Sekolah Menengah Sri Perhentian pula, peluang untuk menyertai konvoi itu adalah sesuatu yang sudah lama hendak dilakukan.

Katanya, ini kerana, aktiviti konvoi berbasikal seumpama ini jarang dilakukan di Pontian, dan jika mahu ia perlu dilakukan secara kumpulan kecil sahaja.

Justeru dia berharap penganjuran konvoi berbasikal seperti ini akan diperbanyakkan memandangkan permintaan yang cukup menggalakkan daripada golongan muda.