dadah

SEGAMAT - Seramai 32 kaki judi ditahan dalam Ops Dadu yang dilakukan sepasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada 20 November lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 12.05 pagi, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Bayu 3, Taman Seri Bayu, Labis, di sini.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis menahan 32 orang iaitu 27 lelaki dan lima wanita termasuk wanita warga Vietnam dan China.

“Kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 24 hingga 67 tahun dan dalam serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas beberapa keping cip dianggarkan bernilai RM50,000 dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian tersebut.

“Polis turut merampas sebilah pisau lipat dipercayai milik salah seorang suspek berumur 24 tahun yang ditemui dalam beg sandangnya,” katanya pada sidang media, pagi semalam.

Abdul Majid berkata, ini adalah tangkapan terbesar di Labis dan polis sudah mengenal pasti penganjur kegiatan perjudian itu berumur ling­kungan 49 tahun yang merupakan penduduk tempatan dan tinggal di Labis.

“Polis mendapati kegiatan perjudian itu sudah beroperasi selama empat hari. Manakala wanita warga Vietnam dan China yang turut ditahan adalah isteri kepada kaki judi yang ditahan itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan,” katanya.

Abdul Majid berkata, suspek yang dipercayai tuan rumah menganjurkan kegiatan perjudian itu boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.