LEKA bercerita tentang keindahan tanah Minangkabau di Sumatera Barat Indonesia, pastinya tempat-tempat tumpuan seperti Padang, Bukit Tinggi, Paya Kumbuh, Batu Sangkar atau Padang Panjang sering menjadi topik utama.
Mana tidaknya, bagi yang gemar berbelanja terutama pakaian dan aksesori seperti kain telekung yang sarat dengan sulaman atau kain ela untuk dijadikan kebaya mahupun baju kurung, Bukit Tinggi merupakan destinasi paling tepat.
Namun bagi yang gemar meneroka keindahan alam semulajadi, Pesisir Selatan yang terletak dalam kawasan Sumatera Barat menyimpan seribu satu keindahan yang harus diterokai.
Terletak dalam daerah Painan, kota ini berjarak kira-kira 77 kilometer (km) dari Padang iaitu sekitar 2 jam pemanduan menggunakan kereta.
Perjalanan menempuh laluan berliku dengan keadaan infrastruktur jalan yang masih perlu diperbaiki ternyata berbaloi tatkala pertama kali menjejak kaki ke tanah adat ini.
Warga kota kecil ini pernah dibelenggu ketakutan berikutan gempa bumi dengan kekuatan 6.7 pada skala Richter berpusat 127 kilometer di barat daya Painan pada 2007.
Kejadian itu dirasai bukan saja di Sumatera Barat malah Sumatera Selatan, termasuk di Bengkulu.
Walaupun gegaran di Painan tidak melibatkan kemusnahan besar, namun ia cukup mencemaskan penduduk tempatan yang masih dibayangi malapetaka yang meragut 23 nyawa dan memusnahkan 15,000 bangunan di Bengkulu dalam gempa sekuat 7.9 serta 7.7 skala Richter pada 12 dan 13 Ogos tahun yang sama.
Nyaman dan mendamaikan
Nyata sekali Pesisir Selatan menyimpan potensi pelancongan pesisir pantai yang cukup besar dengan jarak pantai sekitar 234 km.
Garisan pantai yang panjang menyajikan kepuasan panorama indah serta mendamaikan disulami deru ombak yang tidak pernah sunyi menghempas permukaan landai pantai yang pastinya melekakan.
Berada di Painan, kunjungan ke Pantai Corocok seakan satu kemestian dek kerna keperawanan pesisir pantai yang belum diterokai sepenuhnya.
Walaupun hanya tersedia prasarana yang minimum tidak seperti pusat peranginan lain, Pantai Corocok menjanjikan pengalaman yang tersendiri.
Dari kawasan pesisir pantai, pengunjung berpeluang melawati sebuah pulau kecil yang terletak begitu hampir hanya menggunakan titian kayu untuk kemudahan pengunjung.
Kebiasaannya kawasan pantai ini sering dipenuhi pengunjung tempatan pada waktu petang dan jumlah pelawat akan meningkat ketika hujung minggu mahupun musim cuti.
Selain menghayati keindahan alam, aktiviti laut seperti bermain banana boat, jetski, snorkeling serta flying fox turut menjadi tumpuan pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak.
Bagi yang gemar memancing, jangan lupa membawa bersama joran untuk menguji kehebatan anda tatkala berada di Pantai Corocok.
Kaki pancing seharusnya tidak melepaskan peluang melanjutkan aktiviti ke Pulau Cingkuak atau Pulau Kereta yang terletak tidak jauh daripada Pantai Corocok dengan menaiki bot.
Pulau yang dipenuhi dengan tumbuhan tropika seperti kelapa, sukun dan pala ini turut menyimpan nilai sejarah yang cukup tinggi iaitu benteng tinggalan Portugis yang dipercayai dibina pada abad ke-16.
Turut terdapat ialah sebuah makam yang dikenali sebagai Makam Madame van Kempen iaitu isteri kepada seorang pembesar Belanda.
Terlanjur berada di Painan, lengkapkan kunjungan anda dengan melawati Bukit Langkisau yang kini cukup popular bukan sahaja di kalangan rakyat Indonesia namun kini terkenal di peringkat antarabangsa.
Tidak keterlaluan jika dikatakan namanya cukup gah kerana ia menjadi salah satu arena paralayang yang cukup digemari oleh peminat sukan itu.
Peluang berada di tempat take off paralayang di Bukit Langkisau pada ketinggian 300 meter daripada permukaan laut, kita adakan dapat menyaksikan panorama Sumatera Indonesia yang cukup indah menghadap lautan.
Daripada kedudukan ini juga kita berpeluang menikmati pemandangan sekitar kota Painan seperti Pelabuhan Panasahan di arah timur dan alur sungai berliku kearah utara.
Jika dahulunya Bukit Langkisau dilitupi hutan belantara, namun kini ia berubah menjadi syurga pencinta paralayang.
Bagi yang merancang menikmati percutian sebegini, disarankan agar anda menginap di Painan supaya kepuasan percutian dapat dinikmati sepenuhnya.
Walaupun tanpa hotel mewah bertaraf lima bintang, penginapan di calet berkonsep dorm sudah cukup menghilangkan lelah seharian sepanjang berada di Painan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: