Tuesday, November 1, 2011

Arja Lee Akui Intim Dengan Bkay Nair

Arja Lee.

KUALA LUMPUR: Pelakon Arja Lee, 28, mengakui kesahihan gosip terbaru yang mendakwa dirinya sedang intim dengan aktres Bkay Nair, 29, seperti yang dilaporkan oleh media, baru-baru ini.

Menurut aktor filem ...Dalam Botol itu, mereka menjadi rapat sejak bulan Ramadan lalu tetapi buat masa ini keintiman tersebut hanyalah berlandaskan hubungan persahabatan sahaja.

“Saya akui memang rapat dengan Bkay sejak bulan Ramadan lalu. Memang benar dakwaan yang mengatakan kami dilihat keluar bersama.

“Bagaimanapun, buat masa ini kami belum sampai tahap bercinta lagi, hanya kawan biasa dan tiada ada apa-apa yang serius,” katanya yang ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Arja berkata, walaupun masih terlalu awal untuk mengulas lanjut tentang hubungan tersebut, dia tidak menolak sekiranya mereka menjalani hubungan yang lebih serius pada masa hadapan.

“Saya selesa dengan Bkay kerana sikapnya yang terbuka dan ringkas. Kebetulan pula, kami sama-sama terlibat dalam bidang seni dan kedua-duanya sedang membina nama.

“Namun, keutamaan kini adalah terhadap kerjaya. Saya tidak menolak sekiranya ditakdirkan ia (hubungan) menjadi lebih serius di kemudian hari,” katanya.

Bkay Nair

Berkongsi perkembangan semasa, Arja berkata dia kini sedang sibuk menumpukan perhatian pada pengajiannya dalam jurusan seni persembahan di Universiti Sains Malaysia.

Justeru itu, katanya dia tidak dapat bergiat aktif dalam memenuhi tawaran lakonan sehinggalah pengajiannya tamat pada Jun tahun depan.

“Semester baru pengajian saya baru bermula. Saya perlu menumpukan perhatian kerana ini adalah semester terakhir.

“Insya-Allah saya akan kembali aktif sepenuh masa selepas pengajian berakhir pada Jun tahun depan,” katanya.

Arja Lee mula dikenali umum selepas menjayakan watak transeksual bernama Ruby dan berbogel dalam filem kontroversi ...Dalam Botol terbitan JAS Production Sdn Bhd, milik penerbit sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman.

Filem yang ditayangkan pada 24 Mac lalu itu turut dibintangi Wan Raja, Diana Danielle, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri dan Jalil Hamid. Ia diarahkan oleh Khir Rahman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: