Tuesday, November 1, 2011

Siapakah Mereka Yang Bergelar Keluarga Komuter

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melancarkan Seminar Keluarga Komuter sambil diperhatikan Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman (dua dari kanan) dan Pengerusinya, Tan Sri Napsiah Omar.

PERKAHWINAN dwi-kerjaya bukan satu fenomena baru.

Sebaliknya ia pernah diperdebatkan para cendekiawan sosiologi sekitar awal 1970-an yang mendedahkan bahawa sejak Perang Dunia Kedua, semakin ramai wanita memasuki alam pekerjaan bagi membantu meringankan bebanan perbelanjaan keluarga.

Satu kajian yang dijalankan oleh Colorado State University Amerika Syarikat pada 1975 menjelaskan impak perkahwinan dwi-kerjaya terhadap kerjaya profesional di kalangan wanita menerusi kajian selama ke atas hipotesis Parsonian yang meramalkan kehancuran demi ‘kebaikan’ bersama melibatkan pasangan dwi-kerjaya.

Hasil kajian selama lima tahun itu berjaya menafikan teori skeptikal Parson tersebut apabila muncul dengan hipotesis baru bahawa endogami perkahwinan berstatus profesional menggalakkan lagi interaksi bermanfaat dan relevan terhadap profesion pasangan tersebut sekali gus menyumbang ke arah perkembangan kerjaya masing-masing.

Timbalan Pengarah Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Samsilah Roslan berkata, fenomena tersebut kemudiannya berkembang kepada perkahwinan atau keluarga komuter apabila pasangan dwi-kerjaya terpaksa tinggal berasingan demi memenuhi tuntutan tugas.

Menurut beliau, Profesor Psikologi University of Lincoln, United Kingdom Harriet Gross dan Profesor Sosiologi University of Massachusetts, Naomi Gerstel mentakrifkan perkahwinan komuter melibatkan pasangan yang hidup berasingan sekurang-kurangnya tiga malam seminggu selama tempoh minimum tiga bulan dalam lokasi geografi berbeza.

“Sehingga kini, masih belum ada kajian dilakukan di Malaysia berhubung cabaran dan impak daripada gaya hidup secara berjauhan ini ke atas ahli keluarga komuter sama ada pasangan suami isteri mahu pun anak-anak mereka.

“Disebabkan fenomena ini semakin ketara, kajian menyeluruh harus dilakukan untuk meneliti fungsi keluarga komuter dari aspek adaptasi perubahan sama ada fizikal mahu pun emosi membabitkan pasangan dan keluarga selain kesannya terhadap kerjaya dan interaksi dengan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Impak dan Cabaran Keluarga Komuter hasil kajian bersama Children at Risk in Education (C.A.R.E) dan Fakulti Pendidikan UPM pada Seminar Keluarga Komuter di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam usaha mengenal pasti langkah bagi membantu keluarga komuter dan memperakukan cadangan ke arah mewujudkan rangka kerja dasar dan program bersesuaian bagi mengatasi cabaran keluarga komuter.

Sebahagian peserta seminar mendengar dengan teliti hasil kajian daripada impak keluarga komuter daripada moderator dan para penceramah.

Samsilah memberitahu, metodologi kajian yang dilakukan menggabungkan kaedah kuantitatif dan kualitatif melibatkan responden di stesen pengangkutan awam utama, institusi pengajian tinggi, pejabat kerajaan, syarikat awam dan swasta.Katanya, ini dilakukan bagi mengenal pasti profil demografi responden komuter selain mengkaji impak dari aspek cabaran, ekonomi, psikososial, hubungan kekeluargaan, tahap kesihatan mental dan fizikal serta perkembangan potensi anak-anak.

“Penerokaan kesan ke atas pembangunan potensi anak dari segi akademik, perkembangan mental, fizikal dan tingkah laku juga perlu dilakukan bagi memastikan langkah proaktif diambil untuk mengendalikan impak tersebut,” jelasnya.

Hasil kajian mendapati bahawa responden terbahagi kepada dua kategori iaitu golongan yang berpandangan positif sebagai keluarga komuter dan golongan yang mempersepsi fenomena itu sebagai negatif.

Majoriti responden positif yang sekadar 13.4 peratus berbanding 86.6 peratus responden negatif terhadap keluarga komuter merasakan dimensi perkembangan diri semakin meningkat apabila lebih berdikari, bermotivasi, berdisiplin, sabar dan bertanggung jawab dengan hidup sendiri.

Manakala responden negatif pula berpendapat bahawa tinggal berasingan dengan pasangan dan keluarga menjejaskan hubungan dengan keluarga selain berdepan cabaran, dugaan dalam perhubungan suami isteri, mengalami tekanan emosi dan mendapati kos perbelanjaan meningkat apabila terpaksa berulang alik dengan kerap pada jarak jauh.

Dianggarkan jumlah peningkatan perbelanjaan bulanan antara RM200 hingga RM5,000 melibatkan kos pengangkutan, sara hidup, bil telefon dan kos tambahan lain seperti penjaga anak, pembantu dan sebagainya.

“Kami juta mendapati bahawa demografi responden positif memihak kepada golongan berusia 31 tahun ke atas melibatkan kakitangan berpengalaman lebih lima tahun dan berpendidikan bawah tahap ijazah.

“Sementara responden negatif merangkumi ramai lepasan ijazah dan siswazah juga kakitangan awam yang terpaksa berjauhan demi tugas atas arahan pihak majikan. Ini berbeza dengan senario di sektor swasta,” katanya sambil menambah, keluarga komuter turut membabitkan pasangan yang baru berkahwin seawal enam bulan atau kurang.

Samsilah berkata, sudah tiba masanya pihak majikan mengambil perhatian terhadap perubahan senario yang berkait rapat dengan kakitangan mereka demi memastikan sumber tenaga kerja penting kepada syarikat tidak terjejas.

Sebahagian responden, katanya, turut menyarankan agar pihak berwajib mengkaji dan menyemak semula dasar pertukaran pekerja dengan mengambil kira faktor tambang pengangkutan, lokasi, peruntukan cuti dan waktu bekerja fleksibel untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja kakitangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: